DISATUKAN buat julung-julung kalinya dalam satu sesi fotografi, Siti Saleha atau nama lengkapnya, Siti Saleha Mohd. Baharum kelihatan mesra berdampingan dengan pelakon baharu yang semakin meningkat naik, Hafreeze Adam.
Biarpun ternyata portfolio Saleha di lapangan seni lebih utuh dari sudut jangka masa berbanding Hafreez, Saleha dengan merendah diri mengakui bahawa banyak lagi yang perlu diperbaikinya untuk mengembangkan bakat sebagai seorang aktres.
Nekad mahu menjadikan tahun 2016 sebagai tahun terbaik buatnya sepanjang bergelar anak seni, Saleha, 25, yang dilahirkan di England, United Kingdom ingin memberi fokus sepenuhnya selepas beberapa tahun kebelakangan ini ia tidak menjadi seperti yang diharapkannya.
Ujar Saleha ringkas: “Saya sudah banyak melepaskan peluang yang patut dikejar sebelum ini. Jadi, tahun ini saya ingin bangkit semula.”
Berlandaskan harapan sama, Hafreez atau nama lengkapnya, Hafreez Adam Aizat Zahalan, 26, ingin terus memberikan yang terbaik supaya bakat lakonannya terus kembang mekar terutama dalam seni teater yang baru bermula buat dirinya.
TEATER Zombie La La La menampilkan jalan cerita sekumpulan zombie yang belayar ke Kuala Lumpur.
Cleopatra versi Siti Saleha
Diajak berborak lebih lanjut mengenai teater Zombie La La La arahan bersama Erma Fatima dan A. Aris Kadir, Saleha bersyukur kerana diberi peluang untuk berlakon di pentas teater.
“Ini teater ketiga saya sepanjang berkecimpung dalam arena lakonan. Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama saya beraksi di Istana Budaya.
“Saya memang suka berlakon teater kerana bagi saya keseronokan di pentas teater sangat berbeza berbanding dalam filem mahupun drama. Banyak perkara yang perlu diambil kira sewaktu bermain di pentas teater seperti intonasi dan lontaran perlakuan kita,” ujarnya.
Saleha akan melakonkan watak bernama Cleo Papa, seorang wanita cantik sombong berasal dari Mesir. Teruja dengan watak tersebut, kata Saleha, dia mengimpikan karakter sedemikian terutama di pentas teater.
“Ini adalah sebuah teater komedi dan melakonkan watak sebagai Cleo Papa bukanlah suatu perkara yang mudah. Saya perlu melakukan banyak kajian supaya penonton tidak menggelengkan kepala apabila saya beraksi di atas pentas nanti.
“Lagipun, watak Cleo Papa (inspirasi daripada Cleopatra) adalah satu karakter yang universal dan satu dunia tahu tentangnya. Saya perlu bekerja keras supaya watak Cleo Papa sesuai dibawa dengan suasana komedi yang akan dipaparkan nanti,” ulasnya.
Katanya yang tidak mahu terlalu memikirkan tentang kepayahan melakonkan watak tersebut, dia sebaliknya ingin berseronok kerana diberi kesempatan terbabit dalam teater yang menggabungkan banyak nama besar lain dalam industri hiburan.
“Saya mahu berseronok. Keseronokan di atas pentas adalah kunci kejayaan sesebuah teater. Kalau pelakon berseronok dengan watak yang diberikan kepada mereka, penonton juga akan merasai begitu.
“Memang banyak cabaran kerana teater ini juga harus memfokuskan kepada watak lain yang mempunyai aura yang kuat. Dalam masa singkat (seminggu), kami perlu berlatih dengan sehabis baik,” katanya.
OPTIMIS: Saleha dan Hafreez yang pertama kali digabungkan dalam satu pentas teater tidak sabar untuk menghiburkan penonton dengan karakter 'pelik' masing-masing. Saleha akan melakonkan watak Cleo Papa, manakala Hafreez sebagai Elvi Pasola.
Inspirasi Elvis Presley
Berbeza dengan Saleha, Hafreez bakal membawakan watak yang diilhamkan daripada legenda muzik antarabangsa iaitu Elvis Presley. Dengan nama hampir serupa, Hafreeze melakonkan watak Elvi Pasola.
Pertama kali di pentas teater, akui Hafreez, ia bukanlah semudah yang disangka. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana diberi peluang berlakon dengan pelakon-pelakon hebat lain yang banyak membantunya.
Ujarnya: “Ini adalah satu peluang keemasan buat saya. Saya juga dalam kehidupan sebenar memang merupakan penggemar muzik Elvis Presley.”
Namun begitu, ia bukan alasan buatnya untuk tidak berusaha dengan lebih tekun bagi menghidupkan watak tersebut. Menurutnya, Elvis Presley adalah legenda muzik yang tiada tolok bandingnya.
“Elvi Pasola adalah seorang yang sangat fanatik dengan Elvis Presley. Disebabkan itu, kerana terlalu fanatik membuatkan jirannya tidak menyukainya lantas memulaukannya.
“Untuk lebih mengenali siapa Elvis Presley, saya banyak membuat kajian melalui dokumentari dan video-videonya di YouTube,” ujar Hafreez lanjut bercerita mengenai wataknya.
Ditanya tentang cabaran melakonkan watak tersebut, sebagai orang baharu dalam dunia teater Hafreez menyatakan banyak perkara yang perlu diberi perhatian.
Dia sendiri mengaku masih merangkak dalam dunia lakonan. Bagaimanapun, semuanya menjadi lebih mudah kerana dia banyak dibantu oleh pelakon-pelakon lain.
“Kami cuma ada masa seminggu untuk bertarikh sebelum ia (pementasan) berlaku. Itu merupakan cabaran besar dan saya cuba sebaik mungkin untuk memberikan komitmen secukupnya. Terus terang saya katakan, kepayahannya adalah 10 kali ganda berbanding lakonan dalam drama mahupun filem,” kongsinya.
Tambah Hafreez, cabaran terbesar yang perlu dilaluinya tentulah untuk menari seperti Elvis Presley.
“Saya memang tidak akan boleh tiru gaya atau gerak geri Presley, sepenuhnya tapi saya akan cuba yang terbaik walaupun harus bersengkang mata untuk belajar tarian Presley,” ujarnya bersemangat.
TEATER KETIGA: Zombie La La La merupakan penglibatan ketiga Saleha sebagai pelakon di pentas teater. Bagaimanapun, ia merupakan pertama kali buatnya beraksi di pentas berpestij Istana Budaya. Teater pertamanya adalah Stage Theraphy pada tahun 2009, manakala yang kedua adalah Asmarama sekitar 2014.
Tentang Zombie La La La
Sementara itu Teater Zombie La La La lakonan mereka mengisahkan sekumpulan zombie terpilih dari China, Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Indonesia dan Mesir telah belayar menaiki sebuah kapal milik Kapten Cook ke Kuala Lumpur.
Mereka telah diberitahu oleh Miss K bahawa formula untuk mengembalikan kecantikan dan ketampanan mereka telah ditemui di Malaysia.
Zombie La La La menampilkan Amar Baharin (Kapten Cook), Amy Mastura (Happy Witch), Siti Saleha (Cleo Papa), Janna Nick (Me Mang Nak), Zulin Aziz (Miss K), Datuk Rahim Razali (Patih Kurnia), Hafreez Adam (Elvi Pasola), Mei Fen (Lili Poh), Syed Atiq (Jin Aprait) dan ramai lagi.
Diterbitkan oleh CTRA Production, Rumah Karya Citra, Persatuan Teater Malaysia dengan kerjasama Istana Budaya, tiket berharga dari RM37.10 hingga RM270 boleh didapati di kaunter Istana Budaya atau melalui www.AirAsiaRedTix.com.
0 Comment to "Justifikasi teater Siti Saleha, Hafreez"
Post a Comment