MENGENALI wanita bernama Fynn Jamal, boleh disimpulkan, orangnya cukup ringkas. Hanya dengan mengenakan sehelai jubah hitam serta solekan tipis olesan sendiri, wanita berusia 33 tahun itu tetap tampil yakin di khalayak umum.
Pun begitu, apa yang tidak enaknya, ‘uniform’ itu jugalah yang menyebabkan pemilik nama sebenar Nur Affina Yanti Jamalludin ini kerap menjadi mangsa kritikan daripada orang ramai.
Malah, pelantun lagu Arjuna Beta ini juga didakwa kononnya membawa identiti sebagai pengikut fahaman Syiah.
Terkejut dengan dakwaan itu, Fynn menyifatkan tuduhan itu langsung tidak berasas dan menyifatkannya sebagai melampau.
"Macam-macam tuduhan pelik yang dilemparkan pada saya, terutamanya di laman Instagram saya.
"Bahkan, imej saya yang sering berjubah hitam pun menjadi isu kononnya saya adalah pengikut fahaman Syiah. Tuduhan itu memang mengarut.
"Sebagai seorang wanita Islam, saya tidak akan sesekali mengamalkan fahaman yang bercanggah dengan hukum syarak," tegasnya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.
Pada masa sama, Fynn bagaimanapun mengakui selesa dengan pilihannya bahkan punya sebabnya tersendiri.
"Sebenarnya, saya selesa berpakaian seperti ini. Tapi, itu bukan bermakna, saya ada membawa apa-apa perlambangan mahupun identiti Syiah.
"Dalam almari saya, hanya ada lima jubah hitam, sehelai kardigan dan beberapa koleksi baju musim sejuk," katanya.
Tidak menganggap ia sesuatu yang pelik, katanya warna hitam bagaikan sudah menjadi cita rasanya sejak beberapa tahun lalu.
Bahkan, jubah hitam juga membantu memudahkannya untuk menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan sekalipun.
"Ia ada persamaan dengan ikon dunia seperti Mark Zuckerberg dan Steve Job. Bahkan, Rasulullah SAW juga hanya ada dua baju pada satu-satu masa. Saya pula ada lima, kira okay lah tu kan...
"Pada masa sama, saya hanya mengambil masa 10 minit saja untuk bersiap. Jadi paling senang ialah warna hitam.
"Saya rasa, zaman dah berlalu untuk saya memakai baju bermacam warna. Apa yang penting, asalkan ia baju bersih, selesa dan tidak mengganggu orang lain," katanya.
Tidak hanya Fynn, suaminya, Hazrilfitri Hadzir juga gemar memakai pakaian berwarna hitam. Situasi itu sekali gus menyebabkan pasangan ini turut ditegur oleh kaum keluarga mereka.
"Keluarga dan keluarga mertua pun ada menegur pasal ini. Kata mereka, bukannya kami tidak mampu membeli baju lain.
"Betul apa yang dikatakan itu, bukan kami tiada duit nak beli baju lain tetapi kami suami isteri kalau bab berbelanja untuk pakaian memang kami tidak berlebih-lebih sangat. Kalau pergi membeli-belah pun, kami akan lebih mengutamakan anak, Bakti Arjuna Fitri Abdullah.
"Sebenarnya kami lebih suka berbelanja besar pada yang barang yang orang tidak nampak. Contohnya, gajet dan makanan," katanya.
Lebih terbuka?
Tidak hanya daripada segi berpakaian, tanpa disedari apa saja yang dilakukan oleh Fynn terus mendapat perhatian sehingga akhirnya mencetuskan kontroversi.
Bermula daripada peralihannya dalam bidang muzik indie kepada mainstream, dihentam kerana tidak mempunyai vokal yang bagus atau dikata syok sendiri sehinggalah kepada isu Ibu Sambal, pelantun lagu Terbang Tunduk ini bagaikan tidak dapat lari daripada sebarang kontroversi yang tercipta.
Pada masa sama, Fynn juga semakin terbuka kini dan menyedari bidang hiburan banyak membina karakter baharunya.
"Kalau boleh, saya nak lari daripada sebarang kontroversi. Tetapi, itulah yang diuji oleh ALLAH SWT kepada saya, jadi saya menerimanya dengan hati terbuka.
"Memang dahulu saya agak sensitif dan pantang dicuit, lantas membalasnya dalam bentuk tulisan di laman sosial, namun saya kini mengambil pendekatan untuk bertenang.
Ketika ditanya mengapa dirinya sering 'dihinggapi' dengan usikan-usikan nakal seperti itu, duta makanan tambahan Caliph ini bagaimanapun menganggapnya sebahagian daripada kehidupan.
"Boleh dikatakan apa saja yang saya lakukan, pasti ada cerita kurang enaknya. Sampaikan saya naik takut nak buat apa-apa.
"Mungkin kerana saya ini seorang yang lantang bersuara. Tetapi, saya akan terus bercakap yang benar walaupun ia pahit.
"Lagipun, saya tidaklah tersinggung dengan setiap kontroversi yang ada, cuma kadang-kadang saya rasa penat. Penat untuk memberi penjelasan yang sama berulang-ulang kali," katanya.
Dalam perkembangan lain, Fynn bakal muncul dengan single terbaru, Kalau bekerjasama dengan kumpulan pejuang lagu-lagu puisi, Kopratasa.
"Semuanya bermula ketika saya terlibat dalam menjayakan Konsert Kembara M Nasir. Ketika itu, salah seorang ahli Kopratasa, Usop juga terlibat dalam kerja di belakang tabir.
"Saya ini sejenis 'sawan' apabila berjumpa dengan karyawan hebat lantas mengajaknya untuk berkolaborasi bersama-sama.
"Tidak sangka pula, kumpulan itu sudi bekerjasama dengan saya," katanya.
0 Comment to "Kerap berjubah hitam, Fynn Jamal bukan Syiah"
Post a Comment