Pelakon Nas-T memberitahu keputusan bernikah dengan Atita Haris dibuat sebulan awal disebabkan foto mereka menghadiri kursus perkahwinan sudah tersebar di internet.
Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 33, berkata, perkara tersebut membuatkan keluarga kedua-dua pihak berasa kurang senang dan meminta mereka mempercepatykan pernikahan.
"Pada awalnya kami rancang untuk bernikah pada 4 Mac depan tapi selepas foto-foto hari pertama kami ketika kursus kahwin tersebar di internet, keluarga kami desak agar dipercepatkan.
"Jadi, selepas dapat sahaja sijil kahwin, kami terus cari tarikh terdekat untuk bernikah," ujarnya kepada mStar Online.
Nas-T dan Atita atau nama sebenarnya Nur Atikah Haris, 24, ditemui pada majlis sidang media mengenai pernikahan mereka yang diadakan di Qna Republic Cafe, di sini, Rabu.
Pasangan ini sah sebagai suami isteri pada 29 Januari lalu dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan pada pukul 7.30 pagi di Surau Al-Ikhlas, Subang Jaya dekat sini.
Nas-T dan Atita menunjukkan cincin perkahwinan mereka.
Majlis resepsi akan diadakan pada 4 Mac depan di Hotel One City, dekat sini.
Dalam pada itu, Nas-T berkata, mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas enam bulan berkenalan.
"Kami berkenalan setahun selepas Atita bercerai dengan bekas suaminya dan selepas enam bulan berkawan saya dapat rasakan dia adalah wanita yang paling sesuai sebagai isteri.
"Dia mempunyai personaliti dan seorang ibu tunggal yang sangat muda. Saya kagum kegigihan dia menjaga anaknya dengan membahagi masa sebagai model dan ahli perniagaan," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang status ibu tunggal, kata Nas-T, dia tidak pernah membezakan status tersebut sebagai satu masalah dalam sesebuah hubungan.
Katanya, ibu dan ayahnya juga berkahwin selepas kedua-dua mereka mempunyai kehidupan berkeluarga dengan pasangan terdahulu.
"Ibu dan bapa saya tidak ada masalah dengan status dan masa saya bawa Atita, mereka terus berkenan.
"Ibu-bapa saya juga bertemu dahulu selepas mereka berpisah dengan pasangan masing-masing," ujarnya.
Sementara itu, Atita berkata, dia menerima Nas-T seadanya walaupun mengetahui sejarah hubungan pelakon itu dengan wanita lain.
Katanya, Nas-T merupakan individu pertama yang membuka hatinya untuk menerima semula lelaki dalam hidupnya selepas keruntuhan rumah tangganya sebelum ini.
"Alhamdulillah, saya tidak terfikir menerima kehadiran seorang lelaki dalam masa terdekat selepas bercerai setahun lalu, namun dia benar-benar menunjukkan kesungguhan untuk bersama saya.
"Saya pernah juga dengar banyak cerita tentang perangai Nas-T sebelum ini, tapi saya yakin dia sudah berubah menjadi seorang yang lebih baik," ujarnya.
Atita sebelum ini pernah berkahwin pada 2011 dan berpisah pada 2014.
Dia mempunyai seorang cahaya mata perempuan Nur Sofia Hazrul Fadhli berusia 4 tahun.
0 Comment to "Nas-T & Atita Nikah Awal Selepas Foto Kursus Kahwin Tersebar"
Post a Comment