NAMA Zara Zya di dalam industri lakonan barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi.
Mula mencipta nama menerusi drama Mr. Arrogant, Zara kemudiannya terus dikenali menerusi beberapa drama lain seperti Tuan Anas Mikail, Isteriku Bukan Tukang Masak dan banyak lagi.
Bercerita lanjut mengenai perjalanan kariernya, Zara berkata sebagai anak seni, dia melihat pengiktirafan seseorang pelakon menerusi anugerah yang dimenangi sebagai satu koleksi peribadi yang boleh dikongsikan bersama anak cucu kelak.
“Zara bukan nak kata Zara meletak harapan tinggi untuk menang anugerah. Tapi bila kita tercalon dalam sesuatu anugerah, mesti kita letak harapan untuk menang.
“Memang adalah bonus dan kalau tak menamg kita datang untuk tunjuk muka sajalah.
“Bagaimanapun pada pandangan Zara, sebagai artis kalau kita menang anugerah, kita boleh tunjuk anugerah itu kelak kepada anak cicit kita,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah MeleTop Era 2016, baru-baru ini.
Tercalon untuk kategori Pelakon MeleTOP dan Drama MeleTOP, Zara berkata, dia menyerahkan tugas mengundi kepada peminat.
Bagaimanapun dalam masa sama, dia sedar akan persaingan sengit yang perlu dihadapi dalam kategori sama.
“Tipulah kalau Zara kata tak teringin untuk menang. Kalau menang boleh tambah lagi koleksi anugerah.
“Tapi Zara tak letak harapan untuk menang kategori utama (Top Top Meletop). Kalau menang untuk kategori yang tercalon pin dah syukur,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zara berkata, dia berharap akan ada drama atau telefilem yang menaikkan kembali namanya.
“Tahun lepas Zara terpaksa memberi tumpuan kepada perniagaan dan kalau ada drama pun tak meletup sangat.
“Jadi Zara harap tahun ini ada drama yang menaikkan kembali nama Zara.
“Zara juga akan memasuki set penggambaran sebuah drama tidak lama lagi,” katanya.
0 Comment to "Zara Zya kejar anugerah?"
Post a Comment