Wednesday, 30 March 2016

Puteri Aishah idam genggam anugerah


MENJADI peserta dalam pertandingan pencarian bakat, Dewi Remaja 2014/2015 merupakan bonus buat pendatang baharu, Puteri Aishah Sulaiman.

Meskipun tidak muncul sebagai juara, gadis berusia 22 tahun ini beranggapan program realiti itu adalah platform terbaik untuk mengembangkan bakat dalam industri hiburan.

Oleh itu, pemegang Diploma Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) ini sanggup menangguhkan seketika pengajiannya demi menggapai cita-citanya.

"Pada mulanya, saya memang berniat untuk menyambung semula pengajian saya ke peringkat tertinggi.

"Tetapi, selepas tamat Dewi Remaja, tarikan untuk bekerja sangat kuat. Lagipun, saya pula sudah ada ruang untuk terus bergerak.

"Jadi, lebih baik saya menggunakan peluang yang ada untuk terus mendalami bidang ini terlebih dahulu,” katanya.

Pun begitu, pelakon drama Cik Cinderella dan Encik Tengku ini mengakui akan menyambung semula pengajiannya selepas lima tahun menceburi bidang seni.

"Insya-ALLAH, saya akan menyambung kembali pengajian. Lagipun, saya tidak mahulah selamanya bergelar artis.

"Namun, semuanya bergantung kepada rezeki," katanya.

Dalam pada itu, sebagai seorang yang memiliki rupa paras menawan, Puteri Aishah juga tidak terlepas daripada menerima kritikan.

Tambahan pula, ia sinonim dengan ‘gelaran’ sebagai peserta daripada Dewi Remaja yang sering kali dikecam lantaran lebih ‘menjual’ paras rupa berbanding bakat.

Tidak mahu dipandang dengan sebelah mata, Puteri Aishah semahunya lari daripada persepsi tipikal itu.

"Insya-ALLAH, saya bukanlah seperti itu. Itu cumalah persepsi orang semata-mata. Saya sendiri akan membuktikan usaha dan kesungguhan saya untuk berjaya di dalam bidang ini," katanya.

Bahkan, sebelum menerima tawaran lakonan, Puteri Aishah ada memasuki kelas lakonan yang dikendalikan oleh aktres hebat, Fauziah Nawi.

"Jujurnya, saya tidak mahu ‘kosong’ ketika menjalani penggambaran lantas menjejaskan produksi dan pelakon lain di lokasi penggambaran. Malah, saya juga kerap bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada pelakon lebih berpengalaman," katanya.

Pada masa sama, Puteri Aishah juga tidak mendambakan populariti sebaliknya menetapkan sasaran’ untuk menggenggam anugerah sebagai pelakon terbaik, satu hari nanti.

Selain itu, Puteri Aishah bakal tampil dalam drama bersiri Jasmin di TV3 selain akan terlibat dalam penggambaran drama bersiri, Cinta Roller Coster terbitan Suhan Movies.


Cubaan pertama

Atas dasar ingin tahu, Puteri Aishah turut berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan menerusi program hiburan, MeleTOP Kebaboom.

"Saya jadi pengacara dalam program itu untuk empat episod. Sebenarnya, saya tidak mahu terus berada dalam zon selesa.

"Jadi, saya perlu berani mencuba dan selepas melakukannya, saya merasakan ia bagaikan tidak menjadi.

"Mungkin kerana saya terlalu gugup, jadi saya tidak mahu melakukannya lagi. Buat masa ini, biarlah saya lebih berfokus dalam bidang lakonan," katanya.

Sebelum ini, Puteri Aishah pernah menjadi viral di media sosial terutamanya di platform Facebook gara-gara sepucuk surat cinta yang ditujukan kepadanya.

Ketika itu, selebriti jelita ini bertugas sebagai guru sementara dan mengajar subjek Bahasa Inggeris di sebuah sekolah awam sekitar Kuala Lumpur sehingga Mei tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, buat pertama kalinya, pelakon drama bersiri Akulah Balqis ini berpeluang beraksi di pentas teater menerusi teater muzikal randai, Cindua Mato yang dipentaskan di Istana Budaya pada 25 hingga 27 Mac lalu.

Menggalas watak Puti Bongsu, Puteri Aishah mengakui gementar apatah lagi bukanlah sesuatu yang mudah untuk menghidupkan watak itu.

"Walaupun wataknya tampak kecil tapi berat untuk diterjemah. Saya perlu memastikan pergerakan dan lemah gemalai seperti puteri raja.

"Saya perlu beraksi seperti puteri raja biarpun ketika berjalan, bertutur dan bermain emosi," katanya.

Selain Puteri Aishah, Cindua Mato turut membariskan pelakon hebat seperti Remy Ishak, Vanidah Imran, Juhara Ayob, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Azhan Rani.

Teater muzikal berteras budaya masyarakat Minang ini dihasilkan atas inisiatif Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Istana Budaya.

- Puteri Aishah idam genggam anugerah

SHARING GOOD

0 Comment to "Puteri Aishah idam genggam anugerah"

Post a Comment