Tuesday, 5 April 2016

Sudah Dapat Petunjuk, Hazama Enggan Terburu-Buru Kahwin Genervie


Penyanyi Hazama mengambil pendekatan untuk tidak mahu terburu-buru mengahwini kekasihnya yang juga pemuzik Genervie Kam walaupun mereka sudah tiga tahun menjalinkan hubungan.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 32, berkata, keputusan untuk mendirikan rumah tangga bukan perkara mudah kerana faktor pegangan agama masing-masing yang berbeza.

"Seperti yang semua sedia maklum kekasih saya bukan beragama Islam jadi kalau hendak berkahwin bukan boleh tangkap muat dan buat keputusan macam itu saja.

"Perkahwinan bukan benda main-main. Walaupun kami sudah saling mengenali antara satu sama lain dan kedua belah keluarga juga memberi restu tapi banyak perkara yang perlu saya dan dia persiapkan sebelum berkahwin," katanya kepada mStar Online.



Hazama tidak mahu terburu-buru mendirikan rumah tangga.

Hazama yang baharu muncul dengan single berjudul Di Amaran Mama ciptaan Ajai dan Ad Samad berkata, dia juga masih dalam proses membimbing teman wanitanya itu lebih mendalami ajaran Islam.

Justeru katanya, perancangan untuk berkahwin perlu dilakukan dengan teliti selepas mereka bersedia sepenuhnya.

"Kalau ikut keinginan dan kemampuan, memang saya mahu berkahwin. Lagi pun, kawan-kawan yang rapat dengan saya termasuk Akim Ahmad juga sudah berkahwin jadi tentulah hasrat itu makin membuak-buak.

"Malah, saya tidak pernah putus berdoa kepada Allah meminta petunjuk adakah Genervie orang yang tepat sebagai calon isteri dan jawapannya memang dia.

"Saya yakin dia adalah orangnya dan mahu membimbing dia sebaik mungkin. Saya juga tidak mahu mendesak atau memberikan tekanan kepadanya dalam soal agama jadi biarlah ia berjalan secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, Hazama yang tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online Anugerah Pilihan Online (APO2016) berkata, undian peminat yang menempatkan dirinya dalam lima finalis kategori itu membuatnya terharu.

"Saya gembira dan tersentuh hati bila tersenarai sebagai top five APO2016. Bukan mudah sebenarnya ada ramai penyanyi lelaki di Malaysia tapi alhamdulillah ada juga yang sudi mengundi.

"Untuk kata menang atau tidak adalah perkara nombor dua. Berada dalam top five untuk anugerah yang julung kali dibuat ini pun sudah jadi kebanggaan buat saya," katanya.

- Sudah Dapat Petunjuk, Hazama Enggan Terburu-Buru Kahwin Genervie

SHARING GOOD

0 Comment to "Sudah Dapat Petunjuk, Hazama Enggan Terburu-Buru Kahwin Genervie"

Post a Comment