BARU berumur 16 tahun, Wan Azlyn tidak menolak untuk memberi fokus terhadap bidang nyanyian sepenuh masa selepas tamat sekolah.
KATA orang, waktu muda usah dipersiakan. Sebagaimana beberapa nama besar tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, beliau mengejar impian sebagai seorang penyanyi seawal usia 16 tahun dan berjaya meletakkan namanya sebagai penyanyi terbaik tanah air sehingga kini, itu jejak yang mahu diikuti pendatang baharu ini.
Bertitik tolak daripada kejayaan penuh inspirasi tersebut, penyanyi baharu, Wan Azlyn, 16, yakin walaupun masih duduk di bangku sekolah, ia tidak membataskan minatnya untuk bergelar penyanyi.
“Walaupun sibuk menyanyi, saya tidak mengabaikan pelajaran. Buat masa ini, pelajaran adalah perkara nombor satu. Bidang nyanyian adalah perkara yang saya akan lakukan apabila mempunyai masa terluang.
“Saya memang minat nyanyi sejak kecil dan sudah bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi profesional. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya akan bergiat dalam bidang seni dengan lebih aktif,” katanya usai menjayakan sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Barangkali, ramai yang tidak mengetahui bahawa Wan Azlyn atau nama lengkapnya, Wan Azlyn Maashah merupakan bekas naib juara pertandingan nyanyian Idola Kecil pada tahun 2012.
WAN AZLYN ingin meneroka pasaran muzik luar negara terutama di China.
Terbaharu, penyanyi berbakat besar yang berasal dari Kedah itu tampil dengan lagu duet bersama kumpulan Viral berjudul Takkan Ada ciptaan komposer, DJ Fuzz.
Ceritanya: “Saya berasa sangat bertuah kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan DJ Fuzz dan ia merupakan single pertama. DJ Fuzz banyak membantu saya untuk lari daripada cara nyanyian biasa.
“Saya hanya menghantar demo, tidak sangka ia menjadi single pertama dan kini sudah dimainkan di corong-corong radio.”
Masih lagi bergelar pelajar di Sekolah Menengah Chio Min, Kulim, Kedah, Wan Azlyn berkebolehan menyanyi dalam 10 bahasa berbeza termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Kantonis, Hokkian, Hindi, Thailand, Jepun, Korea dan Arab.
“Disebabkan bersekolah di sekolah vernakular, saya banyak bergaul dengan rakan-rakan berbangsa lain dan mereka banyak membantu untuk berkomunikasi dalam bahasa lain.
“Bukan itu sahaja, di sekolah saya banyak melibatkan diri dalam bidang seni seperti nyanyian dan seni teater. Dalam arus perdana, saya pernah berlakon beberapa teater seperti teater Puteri Mek Mulung,” jelasnya.
Menyedari kritikan umum tentang isu lambakan penyanyi muda terutama mereka yang masih bersekolah, Azlyn mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkara tersebut.
“Bagi saya, tidak perlu terlalu terkesan tentang pendapat orang lain terhadap apa yang kita lakukan. Menyanyi adalah sesuatu yang menjadi minat saya sejak kecil. Pelajaran tetap keutamaan.
“Ibu bapa menyokong minat saya terhadap bidang nyanyian. Selagi mereka memberi sokongan saya akan terus menyanyi. Sebenarnya nyanyian tidak mengganggu fokus dalam pelajaran kerana ia merupakan terapi apabila saya tertekan ketika mengulang kaji pelajaran,” katanya yang bakal terbang ke China bagi memenuhi undangan persembahan nyanyian hujung bulan ini.
0 Comment to "Wan Azlyn menyanyi dalam 10 bahasa"
Post a Comment