Wednesday, 10 June 2015

Ungku Ismail semakin dikenali



TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Pepatah Melayu ini barangkali sesuai menggambarkan perjalanan karier seni lelaki bernama Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz ini.

Dilahirkan pada 26 Disember 1985, Ungku Ismail merupakan graduan ijazah dalam jurusan kejuruteraan mekanikal dari University of Strathclyde, Glasgow di Scotland.

Biarpun sudah beberapa tahun berkecimpung di dalam bidang seni termasuk pernah menjadi pelakon sampingan untuk drama bersiri Dunia Baru, namun sinaran lampu glamor mula hinggap pada aktor tampan ini saat dia menjayakan watak sebagai EL menerusi drama bersiri Teman Lelaki Upahan.

Dek kerana itu, tidak keterlaluan untuk penulis katakan, dia kini menjadi antara pelakon lelaki kegilaan ramai.

Namun dalam meniti ke puncak populariti, akui jejaka berusia 30 tahun ini, dia pernah melalui pelbagai cabaran untuk mendapatkan peluang termasuk menyelitkan profil di bawah pintu.

“Permulaan saya dalam industri bukan suatu yang mudah. Saya pernah pergi dari satu produksi ke satu syarikat produksi untuk hantar profil dan kad saya. Saya juga melalui proses uji bakat macam orang lain. Saya pernah selit profil dan kad melalui bawah pintu syarikat produksi kerana ketika itu ia belum buka.

“Memang latar belakang saya mekanikal tetapi saya terlalu minat seni. Ketika masih menuntut jurusan diploma lagi saya dah mula menceburi bidang ini.

“Dan hari ini saya bersyukur di dampingi orang-orang hebat. Tidak kira daripada peminat mahupun rakan-rakan dalam industri,” ujarnya kepada Zass.

Biarpun semakin dikenali dan mempunyai pertalian darah dengan kerabat diraja Johor, namun ia bukan alasan untuk Ungku Ismail mendabik dada.

“Saya jenis yang introvert. Jika tak ada apa-apa penggambaran, saya lebih suka duduk rumah dan berehat atas katil saya,” katanya yang lebih mendambakan menjadi pengarah berbanding berlakon dan menulis skrip.

Berkongsi lanjut mengenai dirinya, dedah Ungku Ismail, sebelum ini pandangannya terhadap industri hiburan agak skeptikal dan dia juga mempunyai ego tersendiri.

“Saya seorang yang perahsia, jika perkara dah nyata dan depan mata baru saya nak cakap sesuatu perkara. Namun, saya banyak berubah sejak kenal Khir Rahman. Dia bukan sahaja idola saya, tapi sahabat dalam industri dan penasihat yang baik. Terus
terang kerana Khir Rahman saya menjadi lebih terbuka untuk menerima dan menolak sesuatu dalam hidup saya, ” katanya.


Kempen kesedaran

Terbaharu, jika awal tahun lalu dia menjadi trending di laman sosial kerana Teman Lelaki Upahan, kini nama Ungku Ismail sekali lagi menjadi sebutan apabila hashtag #travellingberuang yang dimulakannya menjadi viral di laman Instagram.

Segala-galanya bermula ketika dia melawat seorang kanak-kanak yang menghidap kanser sebagai salah satu kajian yang dilakukan untuk menghayati watak yang ditawarkan kepadanya bagi telefilem bertajuk Travelling Beruang.

“Telefilem ini mengisahkan tentang saya seorang novelis yang kematian anak kerana penyakit kanser. Selepas kematiannya saya rasa tertekan dan isteri saya pula minta cerai. Suatu masa saya berjumpa kawan yang mana anaknya menghidap kanser.

“Kebetulan kanak-kanak itu menyimpan hajat melancong ke luar negara sama macam arwah anak saya. Lalu dari situ terbit keinginan untuk sampaikan hajat kanak-kanak itu, sekali gus menyampaikan hajat anak sendiri. Saya juga bawa beruang anak
kawan saya itu. Antara lokasi yang akan dilawati Lombok, Vietnam, China dan Australia.

“Ia kisah seorang bapa yang nak puaskan hati sendiri kerana tidak sempat memuaskan hati anak. Sekali lagi saya akan bergandingan dengan Elizad. Tapi mengenai watak saya tak boleh beritahu sekarang. Penggambaran akan dijalankan tidak lama lagi,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai hashtag itu, Ungku Ismail berkata, ia merupakan salah satu matlamatnya untuk menjayakan kempen kesedaran kanser terhadap kanak-kanak.

“Apabila buat kajian mengenai watak dengan melihat kanak-kanak yang menghidap kanser saya kasihan. Saya kata pada kawan saya, kita kena lakukan sesuatu dan lahirlah idea hashtag untuk mengingatkan orang ramai tentang bahaya dan risiko penyakit kanser.

“Antara organisasi yang terlibat secara langsung dalam kempen #travellingberuang ini adalah TV3, Air Asia, Altel dan Makna (Majlis Kanser Nasional),” katanya.

Travelling Beruang adalah telefilem terbaharu di TV3, di bawah produksi Balang Rimbun Sdn Bhd.

- Ungku Ismail semakin dikenali

SHARING GOOD

0 Comment to "Ungku Ismail semakin dikenali"

Post a Comment