Hari ini tanggal pertama 2016 menguakkan tirainya. Justeru, Kosmo! sengaja menyatukan dua bintang, Shaheizy Sam dan Ayda Jebat sebagai inspirasi 1 Januari yang penuh bersemangat ini berdasarkan kejayaan yang dicipta mereka sepanjang 2015 berada pada taraf yang setara.
Jika Ayda beraksi cemerlang di layar kaca dengan deretan drama popular, serta lagunya Siapa Diriku yang berjaya menakluki carta muzik tempatan, Sam pula memukau peminat dengan lakonan berkesan dalam filem Polis Evo yang meraih kutipan tiket sebanyak RM17.4 juta.
Kejayaan filem Polis Evo berjaya meledakkan semula nama Sam sebagai aktor popular tanah air yang sebelum itu dilihat agak tenggelam dengan kemunculan ramai pelakon lelaki baharu.
Bercakap mengenai perjalanan karier sepanjang 2015, Sam mengakui, dia kini dalam proses melakukan penjenamaan semula dirinya sebagai seorang pelakon.
“Sebenarnya sejak pertengahan 2013 lagi saya sudah mula melakukan proses penjenamaan semula Shaheizy Sam. Maksudnya, saya memilih karya yang benar-benar memuaskan hati dan memberi impak terhadap kerjaya, salah satunya Polis Evo,” tuturnya yang gembira apabila peminat kembali yakin terhadap filem tempatan.
Sebelum ini Sam pernah membuat pengakuan bahawa dia tidak pernah memilih tawaran demi kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, aktor filem Songlap itu akhirnya tersedar bahawa kepuasan diri lebih penting berbanding wang ringgit.
“Saya bukan dilahirkan daripada keluarga yang kaya raya. Untuk meneruskan kehidupan, kewangan harus stabil. Namun, lama-kelamaan saya sedar bahawa wang tidak akan cukup sampai bila-bila, kepuasan diri lebih utama. Sejak itu, saya menukar corak kerja dengan memilih karya terbaik demi masa depan.
“Apabila bersikap selektif, saya terpaksa korbankan pendapatan lumayan. Memang agak tertekan apabila memikirkan bil-bil tetap yang harus dibayar setiap bulan. Jadi, saya kena bijak mengatur kewangan seperti melabur dalam beberapa perniagaan,” ujar Sam yang turut merancang membuka perniagaan berasas makanan tidak lama lagi.
Pentas antarabangsa
Sam yang kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri untuk tayangan 2016 turut berkongsi azam baharunya sebagai anak seni. Dia menyimpan cita-cita untuk membawa bendera Malaysia ke luar negara menerusi lapangan seni.
Oleh itu, Sam mencari peluang untuk bekerjasama dengan pengarah yang sering membawa karya mereka ke luar negara supaya dia boleh turut melebarkan kerjaya di peringkat antarabangsa.
Antaranya, Sam terlibat dalam filem arahan Dain Said berjudul Interchange yang bakal ditayangkan di pawagam sekitar 2016.
“Impian saya adalah untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa tidak kiralah dalam lapangan apa sekali pun. Saya mengaku mencari peluang untuk bekerjasama dengan pengarah yang rajin membawa karya mereka ke luar negara. Secara tidak langsung, mereka turut membawa saya terbang ke luar negara menerusi karya yang dihasilkan,” katanya menutup bicara.
Rezeki Ayda
Mengekalkan nilai populariti bukan satu perkara yang enteng. Sementelah, populariti dan usaha perlu bergerak seiring agar membuahkan hasil yang memuaskan.
Tidak sekadar meletakkan harapan terhadap rezeki dan peluang, Ayda Jebat melihat perkembangan karier seninya sebagai sebuah pacuan perjalanan yang tidak pernah bertitik noktah.
“Apabila bercakap mengenai peluang dan rezeki, memang ada sesetengah pelakon atau penyanyi yang diberi kesempatan itu. Cepat atau lambat, kedua-dua perkara tersebut pasti akan muncul. Malah, ia turut berlaku kepada saya selepas beberapa tahun menongkah arus dalam industri hiburan tanah air.
“Namun, itu tidak bermakna saya kini berada dalam zon selesa. Usaha perlu dilipat-gandakan dan mutu lakonan perlu ditingkatkan.
“Tiada guna jika peluang datang bertandang berulang kali jika apa yang saya beri masih di takuk lama,” ujarnya yang menyifatkan Sam sebagai contoh terbaik bagi pelakon yang bijak mengawal momentum seninya.
Bersyukur selepas namanya berbunga mekar saat drama bersiri Rindu Awak 200% mencetuskan fenomena sekitar Julai tahun lalu, Ayda atau nama lengkapnya, Nur Suhada Jebat menganggap, aura positif yang diterima sepanjang naskhah tersebut ditayangkan telah memberi inspirasi untuk terus maju sebagai seorang anak seni pada masa akan datang.
Lagu baharu
“Ramai yang mengatakan tahun 2015 ini adalah tahun Ayda Jebat. Tetapi, bagi saya tidak sama sekali.
“Mungkin ada beberapa perkara yang saya lakukan telah meninggalkan kesan di jiwa peminat. Antaranya drama bersiri M.A.I.D dan dalam masa sama saya menerbitkan lagu Siapa Diriku,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan sepanjang 2016, Ayda berkata, dia mahu menumpukan perhatian pada single kedua yang dijangka bakal dipasarkan dalam masa terdekat.
“Single kedua juga telah pun dirakam dan kali ini, saya mendapatkan khidmat produser dari Indonesia iaitu Irwan Simanjuntak.
“Insya-Allah, pada 2016 juga saya mungkin akan memperlahankan karier lakonan dan memberi fokus terhadap kerjaya nyanyian,” katanya yang bakal muncul dengan dua buah drama baharu sepanjang tahun ini iaitu Menongkah Kasih dan Sesal Separuh Nyawa.
0 Comment to "Momentum seni Sam, Ayda"
Post a Comment