Eizlan Yusof tidak mahu terus dikaitkan dengan bekas isterinya, Vie Santie kerana mereka telah bercerai selama setahun.
AGAK lama rasanya tidak mendengar kisah pelakon kacak ini. Sejak bercerai dengan bekas isterinya, Vie Santie Harun, 30, Datuk Eizlan Yusof, 45, kini tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Ingin terus melupakan kisah pahit penceraian yang dilaluinya sejak setahun lalu, dia memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya sebagai pelakon dan ahli perniagaan.
Baginya, kini tiada apa yang penting selain terus berjaya dan melihat anak-anaknya, Vie Zaara, 8, Zareef Yusof, 6, dan Vie Zaalia, 3, membesar dengan sempurna meskipun dia memikul status duda.
Sudah namanya bekas suami, pastinya Eizlan juga tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan gosip hangat yang sering diperkatakan berkaitan hubungan bekas isterinya bersama pelawak terkenal, Zizan Razak.
Bagaimanapun Eizlan menegaskan, dia tidak mahu terlibat dalam kisah peribadi bekas isterinya itu. Menurut Eizlan, Vie berhak menentukan kehidupannya asalkan tanggungjawab terhadap anak-anak mereka tidak terabai.
ARTISMELETOP!: Apa khabar Eizlan? Kebelakangan ini, bekas isteri anda hangat diperkatakan sedang mempunyai hubungan dengan pelawak, Zizan Razak. Hal ini secara tidak langsung membuatkan anda juga dikaitkan sama. Sebagai bekas suami, boleh komen apa reaksi anda terhadap gosip ini?
DATUK EIZLAN YUSOF: Alhamdulillah, khabar baik. Memang kebelakangan ini saya sering diterjah dan ditanya bermacam persoalan tidak kira daripada wartawan dan orang luar tentang gosip hubungan mereka. Namun, saya lebih suka untuk cakap, masing-masing mempunyai hak sendiri. Pada saya, bekas isteri berhak menentukan siapa pasangan dan jalan hidupnya sendiri kerana dia bukan lagi tanggungjawab saya.
Apabila sering ditanya persoalan sebegini, tidakkah anda berasa tertekan?
Bohonglah jika dikatakan setiap persoalan yang diajukan itu tidak memberi kesan. Ya, kadangkala saya berasa tertekan kerana masih dikaitkan dengan kehidupannya. Perkara itu juga menganggu emosi dan diri saya. Saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan bekas isteri dan jika boleh dengan siapa dia mahu berkawan, saya tidak ingin mengetahuinya kerana bukan hal saya lagi.
Bagaimanakah pula hubungan anda dengan bekas isteri selepas berpisah?
Hubungan kami masih baik. Alhamdulillah, dia merupakan seorang ibu yang bertanggungjawab kerana menjaga anak-anak dengan bagus. Malah, dia juga menghormati perjanjian kami ketika hendak berpisah dahulu dan tidak pernah menahan saya untuk berjumpa dengan anak-anak. Perkara itu membuatkan saya menghormatinya kerana dia berpegang kepada janji.
Sudah setahun anda bergelar duda, tidak pernahkah terlintas untuk menghapuskan gelaran itu?
Seperti yang diketahui, saya sudah cuba untuk kembali bersama dengan bekas isteri tetapi ia memerlukan persetujuan daripada kedua-dua pihak. Namun, dia tidak menunjukkan tanda-tanda seperti ingin kembali semula.
Jadi, saya membuat keputusan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Memang tidak dinafikan, ada perempuan yang cuba mendekati saya tetapi buat masa ini biarlah saya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya sambil membesarkan anak-anak.
Tidak berasa sunyi hidup bersendirian?
Saya sedang cuba menyibukkan diri dan membuat pelbagai kerja. Jadi dengan kesibukan itu, saya tidaklah terfikir sangat tentang kesunyian. Jika mempunyai masa terluang, saya akan bersama dengan anak-anak pula. Lagipun, saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan menyerah segalanya kepada ketentuan Ilahi.
Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?
Saya kini sedang sibuk menguruskan syarikat yang telah beroperasi sejak lapan tahun yang lalu iaitu Red Jacket Events Sdn. Bhd.. Pada 13 hingga 15 Mei depan, kami akan menganjurkan pameran Autofest Kuala Lumpur 2016 di Matrade.
Festival ini akan mengumpulkan semua pengedar kereta dari dalam dan luar negara bagi mempermudahkan urusan pengedar membuat jualan kepada pengguna dan seterusnya mendapatkan harga yang istimewa.
Selain itu, saya juga baru sahaja menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Bagaimana pula perkembangan terkini anda dalam bidang lakonan?
Setelah dua bulan bercuti daripada lakonan kerana terlalu sibuk dengan persiapan pameran, saya kini mula aktif berlakon. Saya akan menjalani penggambaran untuk drama bersiri bertajuk Lip Lap Raya dan Mr. Bos Miss Stalker. Untuk filem pula, saya akan terlibat dalam filem Mat Moto Otai arahan Ahmad Idham. Filem ini merupakan sekuel daripada filem Mat Moto.
0 Comment to "Eizlan Yusof belum sedia kahwin lagi"
Post a Comment