Thursday, 19 February 2015

Pasangan Bernikah di Hospital Selepas Kemalangan





Kuala Terengganu: "Hilang rasa sakit bila saya berjabat tangan dengan jurunikah," kata Mohd Zulkamal Yassin, 28, yang dinikahkan dengan pasangannya Nora Liana Yusof, 29, di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.



Mohd Zulkamal yang segak mengenakan baju melayu putih dan bersongkok hitam dilihat tenang di atas katil sebelum upacara akad nikah dijalankan.



Dengan sekali lafaz, Mohd Zulkamal sah memperisterikan gadis idamannya yang dikenali sejak enam bulan lalu dengan mas kahwin sebanyak RM500 beserta tujuh dulang hantaran.



Menurut jurukimpal yang tinggal di Kampung Alur Jambu Wakaf Tengah itu, saat sah bergelar suami adalah detik paling bahagia buatnya kerana hasrat untuk memperisterikan Nora Liana termakbul.

"Meskipn terpaksa dinikahkan di atas katil wad, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar atas kerjasama kedua-dua ahli keluarga dan staf di wad ini.



"Saya amat berterima kasih kepada pihak HSNZ kerana sudi memberi ruang menyatukan kami," katanya yang akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat di kaki kanannya yang patah akibat kemalangan di Kampung Banggol Pauh Isnin lalu.



Sementara itu isterinya, Nora liana berkata, dia tidak mampu menahan linangan air mata kegembiraan selepas suaminya berjaya menyelesaikan urusan akad nikah dengan sekali lafaz.



Menurutnya, perasaannya agak gemuruh tetapi pada masa sama terharu melihat kedua keluarga mereka tidak putus-putus memberi semangat kepadanya dan pasangan ketika melangsungkan majlis akad nikah.



"Jodoh kami sudah ditakdirkan begini dan saya tidak jangka ia berlaku lebih meriah daripada saya bayangkan.



"Saya benar-benar kagum dengan sikap suami yang bersungguh-sungguh untuk menyatukan kami berdua walaupun keadaannya masih terlantar Saya akan sentiasa menemaninya sepanjang rawatannya di HSNZ," katanya yang akan mengadakan kenduri di rumahnya di Kampung Alur Jambu, Wakaf Tengah, esok.



Persiapan untuk melangsungkan perkahwinan di rumah terpaksa dilupakan selepas bakal pengantin lelaki tidak mampu bergerak akibat patah kaki kanan akibat kemalangan terbabit.



- Pasangan Bernikah di Hospital Selepas Kemalangan

SHARING GOOD

0 Comment to "Pasangan Bernikah di Hospital Selepas Kemalangan"

Post a Comment