MEMASUKI tahun ke 87, tahun ini Academy Awards atau Oscar telah menyaksikan kemenangan berpihak kepada bintang lama dan baharu bagi kategori pelakon lelaki terbaik dan pelakon wanita terbaik anugerah berkenaan.
Berlangsung di Dolby Theatre in Hollywood, Los Angeles, kelmarin, anugerah berprestij ini berjaya mengangkat nama Eddie Redmayne dan Julianne Moore menerusi dua kategori itu.
Berkongsi mengenai kemenangan mereka, Redmayne khususnya, mungkin tidak sepopular mana-mana pelakon lelaki Hollywood lain sehinggalah dia diumumkan sebagai pemilik trofi tersebut.
Meskipun pernah membintangi filem box office, Les Miserables pada tahun 2012, tetapi wataknya sebagai Marius Pontmercy gagal membuka mata peminat seni akan kehadirannya dalam bidang ini.
Pemilihannya sebagai Stephen Hawking menerusi filem The Theory of Everything sentuhan pengarah James Marsh telah meletakkan dirinya sebaris bintang ternama Hollywood dalam sekelip mata.
Mengakui tidak menyangka rezeki berpihak kepadanya, Eddie Redmayne menyifatkan pencalonan kali pertama yang telah membawa tuah itu sebagai titik permulaan untuknya pergi lebih jauh dalam industri seni.
Katanya, pengorbanan yang dilakukan untuk menjadi Hawking berhasil meskipun pelbagai cabaran dan halangan perlu ditempuh untuk merealisasikan watak tersebut.
"Bukan mudah memainkan karakter biografi, lebih-lebih lagi Hawking masih hidup.
"Pada awalnya, saya gusar namun dengan kesungguhan yang ada, saya mencuba sebaik mungkin.
"Apapun, semuanya terjawab dengan kemenangan ini," katanya.
Dalam pada itu, Redmayne yang tidak pernah menjangka akan kemenangan tersebut masih terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang dan mengalahkan empat calon lain seperti Michael Keaton (Birdman), Bradley Cooper (American Sniper), Steve Carell (Foxcatcher) dan Benedict Cumberbatch (The Imitation Game).
"Sukar untuk saya terima keputusan tersebut. Apatah lagi, calon lain adalah individu yang sangat hebat dalam bidang lakonan.
"Saya sebagai orang baru pastinya gentar berhadapan dengan mereka," katanya.
Pada masa sama, kemenangan pelakon berusia 33 tahun ini turut mendapat perhatian Hawking sendiri.
Menerusi akaun Facebooknya, beliau turut memuji Redmayne.
"Tahniah kepada Redmayne di atas kemenangan tersebut dan saya sangat berbangga dengan Redmayne kerana mampu menjadi diri saya dengan baik," katanya.
Lima kali tercalon
Sementara itu, bagi pemenang pelakon wanita terbaik, Moore, meskipun pernah dicalonkan sebanyak empat kali menerusi anugerah tersebut sebelum ini, namun kali ini tuah telah berpihak kepadanya.
Menerusi filem Still Alice, Moore berjaya menewaskan empat calon lain iaitu Marion Cotillard (Two Days, One Night), Felicity Jones (The Theory of Everything), Rosamund Pike (Gone Girl) dan Reese Witherspoon (Wild).
Memainkan peranan sebagai Dr Alice Howland, Moore juga tidak meletakkan harapan tinggi di atas kemenangannya itu.
"Perasaan saya bercampur baur setiap kali dicalonkan untuk anugerah ini.
"Ini kali kelima saya dicalonkan dan sudah tentu saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk bergelar pelakon terbaik.
"Bagaimanapun, siapa sangka, watak Howland telah menempatkan saya di sini," kata aktres berusia 54 tahun itu.
Sedikit mengenai Still Alice, ia merupakan sebuah karya hebat adaptasi daripada novel penulisan Lisa Genova yang menggunakan judul sama.
Filem sentuhan pengarah Richard Glatzer dan Wash Westmoreland ini berkisarkan Doktor Alice Howland yang berhadapan dengan penyakit alzheimer.
- Redmayne, Moore Bukti kehebatan
0 Comment to "Redmayne, Moore Bukti kehebatan"
Post a Comment