Wednesday, 18 March 2015

Che Ta: Bertudung bukan ikut trend





Sebaik pulang daripada mengerjakan umrah bersama suaminya, Zain Saidin pada 5 Mac lalu, dramatis jelita, Rozita Che Wan, 41, membulatkan hati untuk bertudung.



Keputusan yang diambil itu menerima respons positif daripada peminat dan keluarga. Dalam tempoh masa yang sama, terdapat beberapa artis lain yang turut berubah imej dengan bertudung seperti Elfira Loy, Zulin Aziz dan Hanis Zalikha.



Jika dilihat dari mata kasar, ia seolah-olah satu trend semasa. Bagaimanapun, Che Ta tidak menganggap keputusan bertudung itu sekadar ikutan semasa, sebaliknya kerana permintaan suami dan tuntutan Islam.



Meskipun sudah bertudung dan membawa imej seorang Muslimah, tegas Che Ta, dia masih mengekalkan identiti dan fesyen yang sesuai dengan imej menutup aurat.







Artis Meletop!: Bagaimanakah perasaan Che Ta selepas bertudung?



ROZITA CHE WAN: Biasa sahaja, sama seperti sebelum bertudung cuma saya lebih dihormati. Namun, saya tidak sempat membeli-belah pakaian yang lebih sopan tetapi masih bergaya. Jika boleh, saya ingin berpakaian yang betul-betul menutup aurat, bukan sekadar menutup kepala.



Apakah kata keluarga apabila anda menyatakan keinginan untuk bertudung?



Suami (Zain) merupakan orang yang paling gembira. Dia suruh saya segera pergi beli pakaian baharu untuk disesuaikan dengan tudung. Dua anak lelaki saya juga gembira dengan perubahan positif ini. Adik-beradik saya semuanya sudah bertudung dan mereka amat menyokong apabila saya mengambil keputusan untuk bertudung.



Apabila ramai artis mula bertudung, ia dilihat seperti trend yang baik. Apakah komen anda mengenai perkara itu?



Bagi saya bertudung bukan satu trend. Kebetulan saya, Elfira, Hanis dan Zulin ambil keputusan untuk bertudung dalam waktu yang lebih kurang sama, sebab itu nampak seperti trend. Ingin saya tegaskan, saya bertudung kerana menunaikan tanggungjawab sebagai isteri apabila Zain minta saya bertudung.



Suami tidak akan masuk syurga jika tidak membimbing isteri untuk sama-sama masuk syurga. Jadi, apabila memikirkan perkara itu, hati saya terdetik untuk berubah. Saya sayangkan Zain dan mahu masuk syurga bersama-sama, sebab itu saya ikut cakapnya.



Apa sahaja yang anda lakukan pasti menjadi bualan orang ramai. Bagaimana anda menghadapi perkara itu?



Saya hanya menjadi diri saya sendiri. Jujur, saya tidak pernah ambil peduli tentang orang lain. Saya lakukan sesuatu perkara mengikut kemahuan diri sendiri bukan sebab persekitaran atau paksaan orang. Biarlah mereka hendak kata apa sekalipun tentang diri saya kerana bercakap tidak perlu bayaran.



Apabila artis bertudung kebanyakan mereka menjadi usahawan busana Muslimah. Apa pendapat anda apabila ada dakwaan mengatakan artis mengambil kesempatan populariti mereka untuk menceburi bidang perniagaan?



Saya menganggap perniagaan adalah bonus untuk seseorang artis. Rezeki ada pada sesiapa yang Allah mahu beri, bukan sebab status artis. Saya berusaha sama seperti orang lain. Setakat ini perniagaan saya berjalan dengan baik.



Selepas kehadiran Aaisyah Dhia Rana, adakah anda merancang untuk menambah zuriat dalam masa terdekat?



Zain merancang untuk tambah anak pada tahun depan. Kalau ikut saya, sudah bersyukur dengan tiga orang anak yang ada sekarang ini. Ikut kata orang tua-tua, setandan pisang bukan semuanya elok. Saya bimbang tidak mampu menjaga dan beri perhatian kepada anak yang ramai. Saya pula sibuk bekerja, bukannya suri rumah tangga yang ada masa seharian menjaga anak. Tambahan pula, usia saya bukannya muda lagi.



Apakah perkembangan baharu kerjaya anda?



Sekarang saya sibuk dengan rakaman program Primadona musim keempat dan bakal menandatangani kontrak sebagai duta untuk empat buah produk. Selain itu, saya juga sibuk dengan tudung jenama sendiri iaitu Zetaenrawdah yang baru dilancarkan.





- Che Ta: Bertudung bukan ikut trend

SHARING GOOD

0 Comment to "Che Ta: Bertudung bukan ikut trend"

Post a Comment