Wednesday, 18 March 2015

Farahdhiya sedia berumah tangga

PINTU hati wanita ini pernah tertutup rapat setelah dikecewakan oleh dua lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Terdetik dalam hatinya untuk terus menolak rasa cinta walaupun pernah beberapa kali perasaan itu menerjah ke jiwa.



Bagaimanapun, Farahdhiya sedar, meletakkan batas hati yang sengaja dibina tidak akan membuahkan sebarang hasil untuk hari muka.



Mengakui sedikit tercuit apabila melihat kebahagiaan teman sekelilingnya yang telah berkahwin, jendela hati penyanyi yang juga pelakon berusia 31 tahun ini sudah terkuak. Dia sudah bersedia untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidupnya.



"Rasa kecewa yang dipendam sejak dua tahun lalu banyak memberi ruang dan peluang untuk saya merehatkan diri daripada terus diburu soal cinta.



"Melihat rakan-rakan yang sedang bahagia meniti kehidupan berumah tangga, timbul perasaan untuk berkahwin kerana usia pun sudah mencecah 31 tahun," ujarnya tanpa keberatan berkongsi isi hati.







Suka lelaki Melayu



Mengimbas episod cinta luka yang pernah dilalui, Farahdhiya pernah dikaitkan dengan penyanyi tersohor, Datuk Hattan sekitar tahun 2006. Namun, hubungan itu tidak mampu bertahan lama kerana Hattan memilih untuk berkahwin semula dengan isterinya, Ariani.



Selang tidak lama kemudian, Farahdhiya dikatakan intim dengan seorang lelaki yang bergelar Datuk S. Kelibat Farahdhiya dengan lelaki tersebut terlihat ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan aktres Fasha Sandha pada tahun 2012. Bagaimanapun, fasa bahagia yang terbina itu juga terputus di tengah jalan.



"Semuanya telah berakhir. Kisah lama sudah menjadi sejarah dan tidak perlu diungkit lagi kerana saya bukan jenis orang yang suka menjilat ludah sendiri.



"Apa yang berlaku sukar untuk dijelaskan, namun saya yakin setiap yang terjadi pasti mempunyai sebab tertentu. Kalau boleh, saya enggan mengungkit cerita lama," tutur Farahdhiya bersahaja.



Menyifatkan fasa pencarian cinta selama lapan tahun yang tidak berkesudahan itu sia-sia kerana pemilik nama Farahdhiya Mohamed Amin tidak lagi percayakan istilah bercinta. Jika bertemu calon suami, Farah mahu menghadkan tempoh perkenalannya selama setahun sahaja sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.



Akui wanita yang lebih mesra dipanggil Farah itu, dia mahu lebih berhati-hati kerana takut dikecewakan sekali lagi.



Sering disifatkan sebagai wanita yang cerewet dalam kalangan sahabat baik, Farah akui meletakkan syarat terhadap lelaki yang ingin mendekatinya.



Walaupun memiliki darah kacukan Inggeris daripada sebelah ibunya, Farah mengakui yang dia lebih selesa didampingi lelaki Melayu untuk dijadikan peneman hidup.



"Lelaki itu mestilah seorang yang bijak membawa diri, bertubuh tinggi, tidak pengotor, gemar melakukan aktiviti sukan lasak dan rajin bersenam.



"Kawan-kawan baik selalu mengusik, mengatakan sampai bila-bila pun saya tidak akan berkahwin sekiranya bersikap terlalu cerewet dalam memilih pasangan," tuturnya sambil ketawa.





FARAHDHIYA kini kembali muncul dengan single terbaharu berjudul Ku Tak Rela ciptaan Eddie Hamid dan lirik oleh A.Aida.



Cerewet



Pengalaman sebelum ini juga membuatkan Farah mudah menolak cinta seseorang walaupun lelaki tersebut hanya melakukan kesilapan kecil sewaktu dalam tempoh perkenalan. Seakan-akan fobia dengan khilaf lalu, hatinya mudah menjatuhkan hukuman dengan memutuskan hubungan itu secara terburu-buru.



"Kesilapan dahulu banyak memberi pengajaran kerana perasaan kecewa itu benar-benar membuatkan saya serik untuk bercinta lagi.



"Bukan mencari kesempurnaan tetapi lelaki itu perlu memenuhi cita rasa saya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke fasa yang seterusnya. Paling penting dia harus memiliki gigi yang cantik dan senyuman manis," katanya sedikit berseloroh.



Diusik lagi, jika pada masa akan datang dipertemukan dengan lelaki yang telah berkahwin, Farah melontarkan prinsip penuh ketegasan. Tidak mengira sama ada individu itu menepati cita rasanya ataupun tidak, seboleh-bolehnya dia mahu menolak menjalin hubungan istimewa dengan lelaki berstatus suami orang.



"Namun, saya tidak mampu menyangkal kuasa Tuhan atau bercakap besar, namun sekiranya lelaki itu sudah berkahwin, saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjauhkan diri daripada terjebak dengan hubungan cinta tiga segi," ujar Farah yang baru-baru ini bercuti selama sebulan di Portsmouth, Britain bersama ibunya.



Ditemui pada majlis sidang akhbar majlis pratonton drama bersiri Super Game Boy di Golden Screen Cinemas, The Gardens, MidValley baru-baru ini, Farah turut bercerita tentang karier lakonannya.



Popular dengan watak antagonis dalam drama bersiri Spa Q, Farah berkata, sikap selektif harus ada dalam diri setiap pelakon terutama dalam watak sesebuah karya.



Bukan mahu meletakkan harga tinggi atau berlagak diva, bagi Farah sendiri dia pernah menolak beberapa tawaran yang dirasakan tidak sesuai dari segi watak dan bayaran yang diterima.



Dalam pemilihan watak pula, Farah enggan kerja lakonnya kelihatan janggal di kaca televisyen.



"Lakonan itu sesuatu perkara yang tidak ada batasnya. Sebagai pelakon, ia menjadi tanggungjawab kepada artis melakonkan pelbagai watak. Bagi saya, pemberian watak harus bersesuaian dengan keadaan dan relevan dengan penonton. Peminat juga tahu menilai, bagaimana hendak melakonkan watak ibu sedangkan pelakon yang beraksi sebagai anak kelihatan hampir sebaya dengan saya.



"Pengalaman berlakon sebelum ini banyak memberi pengajaran agar saya tidak lagi melakukan kesilapan dalam pemilihan watak. Terdapat beberapa watak yang saya terima dilihat tidak relevan dengan keadaan," katanya yang terpaksa menolak beberapa tawaran kerana watak tidak bersesuaian.



Melihat kepada perkembangan lakonannya, Farah kini muncul dengan membawa watak protagonis, menjadi wanita matang dan bergelar ibu dalam drama Super Game Boy. Meskipun teruja atas kepercayaan yang diberikan, sesekali dia rindu untuk melakonkan watak antagonis seperti peranan perempuan penggoda yang sering dilakonkannya sebelum ini.



"Walaupun sudah kurang menerima watak penggoda, sekurang-kurangnya saya berpeluang melakonkan pelbagai karakter," katanya tanpa menyimpan rasa tergugat dengan kehadiran ramai pelakon muda ketika ini.



Berbekalkan pengalaman hampir sedekad mengabdikan diri sebagai anak seni, Farah juga enggan menjadi mangsa buli oleh sesetengah produksi tangkai jering yang menginginkan lakonan berkualiti, namun memberi bayaran rendah kepada pelakon. Di mata Farah, soal bayaran pelakon juga ada kaitan dengan sikap pilih kasih yang diamalkan sesetengah rumah produksi.





DUA kali gagal dalam percintaan membuatkan Farahdhiya lebih berhati-hati untuk memilih pasangan.



Single terbaharu



Lebih dikenali sebagai pelakon, khalayak tidak pernah lupa bahawa pelakon teater muzikal Terima Kasih Cinta itu pernah meledak sebagai penyanyi sekitar 10 tahun lalu.



Selepas Bertakhta Di Hati (2004) meletakkan Farah di kerusi pencalonan Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik, momentum Farah nyanyian tenggelam timbul.



Sekian lama menanti, kerinduan Farah untuk beraksi di pentas nyanyian bakal terubat dengan buah tangan baharu berjudul Ku Tak Rela. Istimewanya lagu ciptaan komposer terkenal, Eddie Hamid, manakala lirik oleh penerbit popular A. Aida itu turut dijadikan runut bunyi bagi drama terbitan A. Aida Production dan menggunakan tajuk yang sama.



"Saya harap lagu ini dapat diterima peminat dan bakal menjadi popular seperti lagu Bertahta Di Hati yang menjadi fenomena dalam industri tempatan satu ketika dahulu.



Video muzik lagu berkenaan kini boleh disaksikan di laman perkongsian video YouTube menerusi akaun A. Aida Production. Sejak dilancarkan pada 27 Ogos tahun lalu, video muzik Ku Tak Rela telah ditonton sebanyak lebih 50,000 kali. Kehadiran lagu itu membuktikan Farahdhiya tidak mudah mengalah meneruskan survival nyanyiannya.





- Farahdhiya sedia berumah tangga

SHARING GOOD

0 Comment to "Farahdhiya sedia berumah tangga"

Post a Comment