Saturday, 14 March 2015

Cicakman 3 lebih realistik





KETIKA KRU Films mengumumkan akan menerbitkan filem Cicak-Man pada tahun 2006, ramai yang mempersoalkan kredibiliti Yusry Abdul Halim ketika itu, selaku pengarah Cicak-Man.



Namun Yusry dan KRU Films membuktikan usaha mereka melahirkan adiwira Malaysia pada ketika itu bukan sekadar syok sendiri.



Buktinya selepas Cicak-Man, KRU Studios (yang sebelum ini dikenali dengan nama KRU Films) meneruskan penerbit sekuel filem itu dengan judul Cicakman 2 : Planet Hitam pada tahun 2008.



Masih kekal dengan Imej Janaan Komputer (CGI) yang hebat, sekuel Cicakman juga memperlihatkan kehadiran pelakon Indonesia, Tamara Bleszynski selaku antara pelakon utama Cicakman 2.



Kini selepas lima tahun, KRU Studios bergabung dengan dua lagi syarikat gergasi penerbitan iaitu Grand Brilliance dan Astro Shaw menerbitkan filem Cicakman 3.



Masih mengekalkan genre aksi komedi dengan lawak jenaka yang lebih lucu dan bersahaja, aksi yang lebih mantap serta elemen drama yang menyentuh hati, filem ini juga menampilkan muka-muka baharu selaku teraju utama.







Mereka adalah Zizan Razak, Lisa Surihani dan Fizz Fairuz, serta turut dibantu adik Rykarl Iskandar, Adam Corrie, Azizah Mahzan dan Rashidi Ishak.



Trilogi ketiga filem ini turut memperlihatkan Yusry bergandingan bersama Ghaz Abu Bakar selaku pengarah.



Cicakman 3 mengisahkan Man (Zizan), seorang bapa yang bersifat keanak-anakannya telah menyebabkan isterinya, Linda (Lisa) seorang bekas penyanyi terkenal bosan dengan sikapnya lalu mahu menuntut cerai.



Man kecewa kerana terpaksa berpisah dari isteri dan anaknya Boboy (adik Rykarl), lalu cuba membuktikan yang dia mampu berubah. Keadaan Man semakin tertekan apabila Adam (Fizz), seorang anggota polis yang juga merupakan rakan persekolahan Man dan Linda dulu, cuba memenangi hati Linda.



Satu perkara berlaku lantas merubah hidup Man apabila dia menemui sebuah kotak rahsia kepunyaan Cicakman yang terkandung serum istimewa yang mampu memberikan kuasa luar biasa kepadanya. Dengan menggunakan serum tersebut, Man cuba belajar untuk menjadi Cicakman yang baharu.



Namun, kehadiran Cicakman tidak lagi dianggap relevan di Metrofulus selepas kemunculan hero baharu, Super-Bro. Man kini berada dalam misi untuk mengembalikan kepercayaan penduduk Metrofulus terhadap Cicakman di samping mengembalikan kepercayaan isteri dan anaknya kepada dirinya sendiri.



Masih mengekalkan konsep 'zero to hero' pembikinan Cicakman 3 dengan penggunaan CGI, termasuk kehidupan di Bandaraya Metrofulus yang juga direka khas untuk filem ini tampak lebih realistik.



Bahkan suntikan CGI dalam kebanyakan babak juga nampak lebih kemas dan cantik jika dibandingkan dengan pembikinan Cicak-Man dan Cicakman 2.



Malah jika anda tidak pernah menonton filem Cicakman sebelum ini, anda tidak perlu risau kerana filem terbaru ini seolah-olah adalah sebuah cerita baharu untuk anda.

Dengan pembinaan watak Zizan sebagai Man yang kosong, sehinggalah dia berjaya menjadi hero di susun satu persatu dengan begitu baik sekali.



Namun, bagi anda yang pernah mengikuti dua filem Cicakman sebelum ini, anda barangkali akan sedikit kecewa jika anda bayangkan ada kejutan atau kelainan dalam filem kali ini.







Gandingan Zizan, Bell menjadi



Seperkara lagi yang menarik mengenai filem ini adalah kehadiran watak adiwira baharu yang barang kali akan memberi keterujaan kepada penonton terutamanya golongan kanak-kanak.



Tentunya kehadiran adiwira baharu ini akan memberi tanda tanya, bagaimana dalam satu tempat mempunyai dua adiwira yang sama hebatnya.



Apatah lagi, dengan rekaan kostum yang lebih hebat dan trendy membuatkan watak Superbro lebih menarik perhatian dan dekat dengan penonton.



Dari sudut lakonan pula, pada pendapat penulis gandingan Zizan dan Bell begitu tepat, bahkan kedua-dua pelakon ini dilihat tidak cuba mengatasi sesiapa, biarpun kedua-duanya adalah bintang komedi.



Sebaliknya Zizan dan Bell sentiasa melengkapi watak masing-masing dan membuatkan ada ketikanya penonton tidak kering gusi dengan keletah mereka.



Justeru bagi anda yang belum pernah menyaksikan filem Cicakman atau peminat setia Cicakman, jangan lupa untuk menyaksikan filem Cicakman 3 di pawagam berdekatan.





Cicakman 3



PENGARAH : Yusry Abdul Halim & Ghaz Abu Bakar.

PELAKON : Zizan Razak, Lisa Surihani, Fizz Fairuz, Rykarl Iskandar, Adam Corrie, Azizah Mahzan & Rashidi Ishak.

GENRE : Aksi

DURASI : 2jam 1minit

KLASIFIKASI : P13

TAYANGAN : 12 Mac 2015

KESELURUHAN: ****





- Cicakman 3 lebih realistik

SHARING GOOD

0 Comment to "Cicakman 3 lebih realistik"

Post a Comment