SEJAK akhir-akhir ini, bagaikan satu fenomena apabila pihak penerbit memilih untuk mengadaptasikan cerita dongeng ke layar perak.
Antaranya seperti Snow White And The Huntsman, Mirror Mirror, Hansel & Gretel: Witch Hunters, Jack The Giant Slayer, Maleficent, Into The Woods dan banyak lagi.
Terbaru, selepas kejayaan filem Maleficent, Walt Disney Studios kembali mempertaruhkan sebuah lagi filem adaptasi, Cinderella yang sudah pun menemui penonton di Malaysia semenjak 12 Mac lalu.
Lebih istimewa, penayangan filem ini di buat sempena ulang tahun ke-65 penerbitan Cinderella yang mula ditayangkan pada 15 Februari 1950.
Bukan itu sahaja, biar pun sudah berkali-kali di bawa ke layar perak, namun populariti Cinderella bagaikan tidak pernah ditelan zaman, sebaliknya saban tahun ia mempunyai golongan peminat yang baharu.
Justeru keputusan Walt Disney Studios membawa Cinderella kembali ke layar perak di lihat sebagai satu pemilihan yang sangat tepat.
Buktinya sejak mula teaser filem ini dilancarkan kepada umum, ia telah berjaya menarik jutaan penonton walaupun paparan itu hanya menonjolkan sebelah kasut kaca sebagai simbolik kisah dongeng klasik itu.
Teaser berkenaan telah berjaya mengumpul lebih satu juta tontonan dalam tempoh kurang sehari dimuat naik. Mahu memastikan ia menjadi menjadi naskhah terbaik dan meraih kejayaan sebagaimana filem-filem keluaran Walt Disney Studios yang lain, naskhah arahan Kenneth Branagh ini dibangunkan dengan penuh ketelitian.
Tidak sekadar itu, barisan pelakon dan tenaga produksinya juga rata-ratanya terdiri daripada calon dan pemenang anugerah Oscar yang tentunya mampu memberi gambaran awal tentang apa yang bakal dipersembahkan oleh naskhah ini.
Biarpun kini, golongan kanak-kanak lebih mengenali Puteri Elsa dan Anna, yang begitu popular drama filem animasi, Frozen.
Namun ia bukanlah menjadi satu masalah atau halangan buat Walt Disney Studios mengangkat filem Cinderella ke layar perak.
Lebih istimewa, tidak ditayangkan dalam bentuk animasi, filem terbaru arahan Kenneth Branagh ini akan mengimbau nostalgia bagi peminat Cinderella yang membesar dengan kisah dongeng anak gadis yang bertemu cinta sejati dengan seorang putera raja ini.
Biarpun sudah diadaptasi ke dunia realiti, ceritanya masih bertunjangkan kisah asal Cinderella yang umum telah sedia maklum. Pun begitu, beberapa penyesuaian telah dilakukan agar naskhah adaptasi ini tampil dengan lebih segar dan menarik.
Cinderella mengisahkan tentang Ella (Lily James) yang berubah nasibnya selepas kematiannya ibunya. Bapanya berkahwin lagi dengan seorang wanita cantik, Lady Tremaine (Cate Blancett) yang mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Anastasia (Holliday Graiger) dan Drisella (Sophie McShera).
Walaupun Ella ikhlas menerima kehadiran mereka dalam keluarganya, sebaliknya pula yang dirasai oleh mereka bertiga.
Ketika bapa Ella keluar bekerja dan tiada di rumah, Ella sering dibuli dan dilayan buruk oleh keluarga tirinya itu. Selepas bapanya meninggal dunia, hidup Ella menjadi semakin sukar dan dilayan dengan begitu kejam di dalam rumahnya sendiri.
Malah namanya juga digelar menjadi Cinderella. Apa pun, gadis manis ini sentiasa mengingat pesan ibu agar berbuat baik kepada manusia lain dan menjauhi perasaan dendam.
Pada satu hari, Cinderella telah bertemu dengan seorang pemuda kacak yang sangat membuatkan dirinya selesa. Pemuda tersebut memperkenalkan dirinya sebagai pembantu istana, tetapi sebenarnya dia merupakan seorang putera yang sangat dihormati.
Secara keseluruhannya, apa yang boleh penulis katakan, filem Branagh ini digarap dengan penuh teliti dan lebih realistik, namun dalam masa yang sama masih mengekalkan jalan cerita filem ini.
Ia membawa kita mengimbau siapa itu Cinderella dan bagaimana dia digelar Cinderella sehinggalah dia bertemu cinta sejatinya.
Meskipun masih menyelitkan unsur dongeng termasuk unsur magis dalam filem ini, Branagh tetap meletakkan had dalam garapan Imej Janaan Komputer (CGI) agar tidak tampak terlalu keterlaluan.
Sebaliknya, sentuhan CGI hanya diberi penekanan ketika babak Cinderella bertemu pari-pari yang mengubah keseluruhan hidupnya pada malam itu.
Selain itu, penyusunan jalan cerita-meskipun sudah boleh dijangka, tidak mendatangkan rasa bosan bagi peminat setia Cinderella.
Namun ingin diingatkan, jika anda bukan peminat cerita dongeng, Cinderella adalah sebuah naskhah biasa sahaja untuk anda tanpa kejutan hebat.
Bagaimanapun bagi peminat setia Cinderella, filem ini akan mengimbau memori dan paling penting ia secara tidak langsung memberi gambaran visual daripada gambaran angan-angan yang sebelum ini anda bayangkan.
Lakonan berkesan
Seperkara lagi yang menarik mengenai filem ini adalah lakonan berkesan Lily James selaku Cinderella dan Cate Blancett selaku Lady Tremaine atau ibu tiri yang kejam.
Kedua-dua aktres ini dilihat berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik menerusi peranan protagonis dan antagonis serta saling melengkapi.
Lily dilihat berjaya mengawal lakonannya tanpa perlu menjadi terlalu baik, namun setiap permainan mimik mukanya berjaya mengusik rasa simpati penonton.
Manakala Cate pula dengan mimik muka berjaya meninggalkan rasa benci penonton dengan sikapnya yang mementingkan diri sendiri.
Branagh pula selaku pengarah berjaya mengadunkan kedua-dua watak ini, agar seimbang dan paling penting mempunyai keistimewaan sendiri sepanjang tayangan filem ini.
Justeru bagi anda yang meminati filem Cinderella, dan pernah membesar dengan kisah dongeng ini, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam.
Cinderella
PENGARAH: Kenneth Branagh
PELAKON: Lily James, Cate Blanchett, Richard Madden, Holliday Grainger, Sophie McShera & Helena Bonham Carter.
GENRE: Fantasi/Romantik
DURASI: 1jam 52minit
KLASIFIKASI: U
TAYANGAN: 12 Mac 2015
- Magis Cinderella
0 Comment to "Magis Cinderella"
Post a Comment