HAFIZ dan Adira tetap komited dengan penggambaran klip video Untuk Cinta walaupun terpaksa berpeluh di bawah bahang sinar matahari.
SEBAIK sahaja melangkah keluar daripada perut kereta yang diletakkan bersebelahan bangunan Muzium Diraja Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini, rasa bahang yang terbit daripada pancaran cahaya matahari pada pukul 1 tengah hari pantas menggigit tubuh.
Menerusi satu sudut antara puluhan pesawat lama yang dipamerkan di muzium yang berusia hampir 30 tahun itu, kelihatan dua figura sedang sibuk beraksi di hadapan sebuah kamera, sambil diperhatikan oleh sekumpulan kru produksi yang turut bertugas. Sesekali, kedengaran gelak ketawa mereka membelah terik matahari.
Begitulah situasi belakang tabir pembikinan klip video lagu Untuk Cinta yang kembali. Menariknya, lagu itu mempertemukan pasangan duet Hafiz Suip dan Adira selepas kedua-duanya mencipta fenomena menerusi lagu Ombak Rindu sekitar empat tahun lalu.
Ironinya, sewaktu merakamkan lagu bagi filem yang berjudul sama itu, Hafiz dan Adira sedang melalui fasa bahagia sebagai sepasang kekasih.
Namun, hubungan yang terbina itu tidak kekal lama apabila kedua-duanya mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.
Hari ini, selepas empat tahun berlalu, Adira dan Hafiz yang pernah menyulam cinta sudah bertemu cinta baharu.
Hafiz sudah bertunang dengan Nureffy Jasreel Abdullah, manakala Adira sedang mengecap bahagia dengan teman lelakinya, Shahrul Nasrun Kamaruddin.
Bagaimanapun, satu hal yang harus dipuji, kedua-dua penyanyi itu berganding lagi untuk satu kolaborasi berjudul Untuk Cinta. Demi memastikan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka berjaya, Hafiz dan Adira membuang jauh rasa kekok serta menjadi anak seni yang profesional apabila berkaitan hal karier.
Menurut Hafiz, 25, Nureffy seorang wanita yang terbuka dan tidak menyekat untuk dia kembali bekerjasama dengan bekas kekasihnya itu.
Malah, juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu memberitahu, dia bertuah kerana Nureffy sangat memahami tugasnya sebagai seorang penyanyi.
Profesional
“Dalam kelompok industri hiburan yang agak kecil ini, saya perlu bersikap profesional. Selain itu, saya harus sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Jadi, saya tidak kisah apabila diberitahu perlu bergandingan semula dengan Adira menerusi lagu Untuk Kamu. Tambahan pula, tunang saya, Nureffy sangat memahami rutin harian saya sebagai seorang penghibur,” ujar Hafiz jujur.
Bersetuju dengan pendapat tersebut, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 23, berkata, teman lelakinya, Shahrul yang juga merupakan pengerusi Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia turut memahami tugasannya sebagai seorang penyanyi.
“Dia (Shahrul Nasrun) tidak mempunyai sebarang masalah apabila saya memberitahu, perlu bergandingan semula dengan Hafiz menerusi lagu ini.
“Saya juga tidak kisah untuk berduet sekali lagi dengan Hafiz. Apabila tiba soal kerja, saya sentiasa komited,” tutur Adira panjang lebar.
Tambah Adira, dia enggan kembali ke masa silam dan memikirkan tentang hubungan yang pernah terjalin antaranya dengan Hafiz.
Menurut penyanyi genit itu lagi, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat Hafiz dan Nureffey dan berharap agar ikatan pertunangan yang terbina pada 27 Februari lalu sampai ke jenjang pelamin.
“Saya berasa bangga dan gembira kerana Hafiz telah bertemu dengan gadis yang sesuai untuk dijadikan teman hidupnya.
“Saya juga doakan agar persiapan perkahwinan mereka berjalan lancar dan hubungan tersebut kekal sehingga bila-bila,” ujarnya sambil tersenyum.
Penghayatan
Menutup kisah cinta tersebut, perbualan pada petang itu diteruskan mengenai lagu dan klip video Untuk Cinta yang dijadikan sebagai lagu runut bunyi bagi filem Pilot Cafe arahan Osman Ali.
Menurut Hafiz, lagu garapan Zaidi itu boleh dikatakan mirip dengan lagu Ombak Rindu yang turut ditulis oleh individu sama.
“Jika mahu dibandingkan soal penghayatan dan rasa, lagu Untuk Cinta boleh disifatkan mempunyai persamaan dengan Ombak Rindu.
“Kemudian daripada segi komposisi pula, lagu ini turut menampilkan susunan muzik perlahan serta bait-bait lirik yang berunsur melankolik.
“Karya ini lebih mudah untuk dirakamkan kerana saya masih menggunakan cara dan lenggok yang sama sewaktu merakamkan Ombak Rindu dahulu,” jelas Hafiz.
Bagi Adira pula, keserasian yang terbina antaranya dan Hafiz sewaktu merakamkan Ombak Rindu dijadikan sebagai platform untuk memberikan yang terbaik pada kali ini.
“Kami sudah memahami cara dan gaya nyanyian masing-masing. Ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan untuk merakamkan single baharu ini.
“Lagipun, rakaman Untuk Cinta dilakukan dengan cukup teliti bagi mendapatkan hasil akhir yang terbaik,” ujarnya.
Runut bunyi
Jika dilihat pada kronologi diskografi kedua-dua alumni rancangan pencarian bakat Akademi Fantasia itu, kebanyakan single mereka yang diputar di corong-corong radio merupakan lagu runut bunyi bagi filem serta drama.
Baik Hafiz mahupun Adira, kebanyakan lagu runut bunyi nyanyian mereka mendapat sambutan yang cukup menggalakkan.
Menerima gelaran penyanyi runut bunyi dengan hati terbuka, Adira memberitahu, dia berasa sungguh bertuah kerana lagu-lagunya dapat diperdengarkan menerusi filem mahupun drama.
Katanya, ia juga merupakan peluang yang terbaik untuk memperkenalkan namanya dalam kalangan pendengar muzik tempatan.
“Saya akui, ada beberapa lagu nyanyian saya yang dicipta khas untuk sesebuah drama atau filem. Pada masa yang sama, ada juga karya dalam album saya dijadikan sebagai lagu runut bunyi untuk drama.
“Namun, ia bukan menjadi satu masalah besar. Saya tidak kisah dilabel sebagai penyanyi runut bunyi. Selain dapat mencantikkan sesebuah naskhah drama atau filem, lagu-lagu tersebut turut membantu menaikkan nama saya sebagai seorang penyanyi,” balasnya panjang lebar.
Menyambut jawapan Adira itu, Hafiz mencelah, dia melihat setiap tawaran yang diberikan kepadanya sebagai rezeki daripada Allah SWT.
Katanya, dia tidak boleh bersikap selektif memandangkan keadaan industri muzik tempatan yang semakin tidak menentu.
“Saya anggap lagu-lagu tersebut sebagai rezeki dan tidak ada istilah malu dilabel sebagai penyanyi runut bunyi,” tutupnya ringkas.
- Hafiz, Adira buang rasa kekok
0 Comment to "Hafiz, Adira buang rasa kekok"
Post a Comment