JIKA diselak kembali, 2014 boleh dianggap sebagai tahun kebangkitan semula Dayang Nurfaizah dalam industri hiburan negara.
Masakan tidak, kejayaan konsert solonya, Dayang Nurfaizah A Celebration of 15 Years In Music di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur menjadi penanda aras tertinggi kepada pencapaian seninya selama ini.
Bukan itu saja, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu juga cukup menyerlah dengan lagu berhantunya, Di Pintu Syurga ciptaan Tam Spider dan lirik nukilan Rudy Imran sehingga berjaya meraih Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) lalu.
Ternyata, kejayaan demi kejayaan yang di kecapinya itu membuatkan pemerhati seni menyifatkan tahun 2014 adalah tahun yang membawa tuah kepada wanita berusia 34 tahun itu.
Tidak mudah melatah, pelantun lagu Dayang Sayang Kamu ini bagaimanapun lebih gemar bersikap lebih berhati-hati.
"Saya akui lagu Di Pintu Syurga banyak membuahkan kejayaan dan berjaya menaikkan nama saya ke peringkat lebih tinggi sepanjang karier.
"Tapi, perkara itulah yang menjadi ketakutan kepada saya kini. Saya perlu lebih teliti untuk tampil dengan karya yang lebih baik.
"Itulah antara beban yang dipikul selepas Di Pintu Syurga. Itu juga satu cabaran kepada saya untuk cekal menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan baik," katanya.
Dalam pada itu, sehingga kini, pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta ini masih dalam proses mengumpul material baharu untuk single yang bakal dilancarkan sebelum penghujung tahun.
Bagaimanapun, penyanyi hitam manis ini meletakkan lagu Di Pintu Syurga sebagai penanda arasnya dalam mencari lagu yang setanding judul popular itu.
"Sememangnya, agak sukar mencari lagu yang sesuai dengan saya dan lagu itu juga perlu berpotensi menandingi impak Di Pintu Syurga.
"Saya berharap sangat dapat mencari lagu yang berkualiti setanding dengan lagu itu," katanya yang akan mengekalkan genre balada bagi single yang akan dihasilkan kelak.
Persembahan Minggu Setiausaha
Dalam perkembangan lain, Dayang bakal disatukan dengan Azlan The Typewritter menerusi persembahan Minggu Setiausaha, Memorable With Azlan & Dayang yang diadakan di Hotel Berjaya Times Square pada 8 April nanti.
Berkongsi rasa terujanya itu, Dayang mengakui, dia sudah lama teringin untuk bekerjasama dengan penyanyi bersuara tinggi itu.
"Sewaktu mula dijemput untuk turut serta dalam Minggu Setiausaha ini, saya berasa sangat lega kerana mendapat tahu Azlan merupakan penyanyi yang akan berkongsi pentas dengan saya.
"Perasaan lega tersebut timbul kerana saya pernah berduet dengan dia sebelum ini. Jadi, saya rasa tidak sukar untuk mencari keserasian antara kami berdua,"
Tambahnya, dia sangat mengagumi vokal pelantun lagu Idolaku itu, malah vokal bernada tinggi seperti Azlan, jarang ditemui dalam kalangan penyanyi lelaki tempatan.
"Nada suaranya yang tinggi merupakan keistimewaan yang terdapat pada Azlan.
"Walaupun perbezaan terdapat pada orientasi genre kami, namun saya rasa ia bukanlah satu masalah besar," katanya yang akan menyanyikan 17 lagu secara keseluruhan pada hari tersebut.
- Kebangkitan semula Dayang Nurfaizah
0 Comment to "Kebangkitan semula Dayang Nurfaizah"
Post a Comment