Siti Fazurina
KONTROVERSI hebat dalam kehidupan peribadinya menyebabkan aktres Siti Fazurina Mohd Famir atau mesra disapa sebagai Nina dilihat semakin menyepi dalam industri hiburan negara.
Malah, seiring dengan 'kesepian' yang dicipta, teraju utama drama bersiri Dunia Anita itu turut membuat keputusan untuk berhijrah tatkala menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30, tiga tahun lalu.
"Tiada alasan spesifik kenapa saya mahu berhijrah. Ia (hijrah) datang daripada hati dan nurani saya sendiri. Apabila rasa itu hadir, saya percaya ia baik dan ‘datangnya’ pada hari dan waktu yang tepat tatkala usia saya semakin menginjak.
"Apa pun, saya sangat bahagia dengan keadaan ini kerana sudah lama terdetik bilakah waktu sesuai untuk saya mengenakan hijab dan ia kerap tertangguh untuk dilaksanakan," katanya ketika ditemui Zass, baru-baru ini.
Bagaimanapun, siapa sangka, keputusannya berhijrah turut menjadi penyumbang kepada 'kehilangannya' dalam arena seni tanah air.
"Ketika itu, banyak syarikat produksi masih belum bersifat terbuka seperti hari ini. Akibatnya, ada sesetengah syarikat produksi takut nak panggil berlakon.
"Saya berhijrah bukanlah bermakna saya segera bertudung, sebaliknya saya melakukannya secara perlahan-lahan. Ia bermula dengan mendekatkan diri kepada agama Islam dengan banyakkan membaca, mengaji al-Quran dan memperbetulkan ibadah solat.
"Masuk tahun kedua saya menyepi, saya merasakan diri sudah kuat untuk berhadapan dengan masyarakat umum. Saya faham, sebagai manusia, sememangnya perlu sesuatu perubahan dalam hidup dan kenapa tidak untuk saya meneruskan karier saya dalam bidang lakonan?," katanya.
Selektif demi tuntutan
Dalam pada itu, isteri kepada Hykal Zulkifli ini mengakui rindu untuk kembali berlakon dan bakal membuat kemunculan semula menerusi filem komedi romantik Kalaulah di bawah syarikat produksi Adam Corrie.
"Insya-ALLAH, saya akan mula sibuk ke set penggambaran sekitar Ogos nanti.
"Berhijrah bukanlah bererti hanya mengubah penampilan ataupun pemakaian semata-mata tetapi turut meliputi semua.
"Jika dulu ketika bujang, bolehlah saya berlakon dengan sekerap mungkin, tetapi kini dalam tempoh setahun saya hanya berfokus untuk menghasilkan satu drama mahupun filem," katanya yang semakin selektif memilih tawaran.
Dalam perkembangan lain, Nina kini turut bergelar usahawan muda apabila sibuk menguruskan perniagaan busana Muslimah jenamanya sendiri, Nina Fazurina Collection selain memiliki butik sendiri di Medan Mara, Kuala Lumpur.
"Alhamdulillah, inilah fokus utama saya kini. Saya memang minat berniaga dan ada kelulusan dalam bidang perniagaan.
"Saya bukan saja menjual busana Muslimah, tetapi juga untuk kanak-kanak. Untuk jubah Muslim, Insya-ALLAH, ada perancangan ke arah itu.
"Terbaharu, saya bakal mengeluarkan produk minyak wangi tidak lama lagi," katanya yang akan menyertai Karnival Borong-Borong Bazaare di samping barisan selebriti lain seperti Yatt Hamzah, Adam Corrie, Azza Elite, Siti Nordiana, Memey Suhaiza dan ramai lagi.
- Kehilangan Siti Fazurina bawa penghijrahan
0 Comment to "Kehilangan Siti Fazurina bawa penghijrahan"
Post a Comment