MEMULAKAN karier seninya sejak 1995, siapa sangka tahun ini genap dua dekad penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza bergelar sebagai anak seni.
Menyingkap semula perjalanannya dalam industri hiburan tanah air kejayaan yang dicapai oleh anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini bukanlah calang-calang dan sememangnya layak diangkat sebagai penyanyi nombor satu negara.
Lebih membanggakan, penyanyi bersuara lunak ini telah memiliki kelasnya yang tersendiri menjadikan dia antara anak seni yang turut tergolong di dalam artis eksklusif.
“Alhamdulillah, 20 tahun adalah perjalanan yang indah buat saya di mana pelbagai emosi dan rasa saya lalui sepanjang tempoh masa itu.
“Namun sebenarnya masih jauh lagi perjalanan ini dari segi pengalaman kerana kalau mahu dibandingkan dengan insan-insan legenda yang lain, banyak lagi yang perlu saya lakukan.
“Saya seronok dan tidak pernah menyesal bergelar anak seni kerana inilah jalan yang saya pilih,” luahnya ketika ditemui baru-baru ini.
Lumrah buat anak seni tidak pernah terlepas daripada menghadapi ragam dan asam garam kehidupan yang tidak menentu.
Biarpun diuji dengan pelbagai cabaran, penyanyi yang terkenal dengan sikap sopan santunnya ini tidak pernah melatah malah mengharungi segala masalah dengan tenang.
“Sebagai seorang anak seni saya akur dan sentiasa bersedia untuk mengharungi semua ini.
“Sebenarnya, semua ujian dan cabaran yang berlaku buat saya lebih kuat dalam mengharungi hidup yang mendatang.
“Saya bersyukur kerana sepanjang perjalanan ini, saya tidak keseorangan apabila tidak putus-putus menerima dorongan daripada keluarga yang memahami situasi dan peminat yang tidak jemu memberi sokongan untuk saya terus bersemangat mencapai impian sebagai anak seni,” katanya sambil tersenyum manis.
Selepas 20 tahun meniti karier, Siti mengakui dalam peringkat ini, populariti bukanlah perkara yang dikejarkan namun usaha kerasnya tertumpu pada kualiti kerjanya.
“Perjalanan seni saya sekarang tidak lagi seperti dahulu untuk mengejar populariti supaya orang kenal saya.
“Tapi saya berada dalam peringkat yang mahu kekalkan apa yang telah saya ada dan lebih kepada mencari kualiti dalam kerja.
“Betullah apa yang dikatakan orang-orang tua, semakin kita belajar banyak perkara, sebenarnya semakin banyak perkara atau ilmu yang kita tidak tahu. Jadi perjalanan saya masih belum terhenti di sini,” katanya.
Tidak terlalu selesa: Siti Nurhaliza terus kejar hasrat
Biarpun kejayaan demi kejayaan telah dimiliki, namun buat Siti itu bukan alasan buat dirinya terlalu selesa dengan kedudukannya kini.
Sebagai seorang yang komited dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, penyanyi berusia 36 tahun ini terus bekerja keras mengejar hasrat yang belum tercapai.
“Kalau nak diikutkan, macam-macam lagi perancangan yang saya mahu lakukan dalam karier nyanyian saya.
“Contohnya sekarang saya dalam perbincangan untuk mengadakan konsert jelajah Malaysia dan Indonesia.
“Selain itu saya ada juga fokus tentang beberapa perkara di mana sepanjang karier saya masih belum mendapat kejayaan dalam beberapa kategori iaitu seperti kulit album terbaik mahupun muzik video terbaik.
“Jadi setiap kali menghasilkan album dan muzik video yang saya akan titik beratkan semua aspek untuk pastikan hasil yang diberikan memuaskan,” ujarnya.
Bukan sahaja berjaya dalam bidang seni dan juga perniagaan kosmetik, Siti turut berkongsi hasratnya untuk mengembangkan cabang perniagaannya dalam bidang kesihatan.
“Bidang nyanyian adalah minat dan kecintaan utama saya dan yang keduanya adalah kecantikan. Mungkin selepas ini bidang kesihatan pula.
“Kalau ada rezeki saya memang rancang untuk buka farmasi sendiri tambahan pula saya seorang yang gemar ke farmasi untuk membeli ubat dan vitamin yang baik untuk kesihatan saya dan keluarga,” kongsinya yang turut berhasrat memperkenalkan produk berasaskan sunah Rasulullah jika impian memiliki farmasi sendiri tercapai.
Mother’s Day Miracle Night
Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, Siti memberitahu dia bakal meraikan golongan ibu menerusi persembahan ‘Mother’s Day Miracle Night With Datuk Siti Nurhaliza’ anjuran OMGFest Ventures yang bakal berlangsung pada 15 May ini bertempat di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen TM, Menara Telekom.
Selepas tiga tahun tidak terlibat dalam persembahan hari ibu, kali ini Siti menjanjikan kelainan dan keistimewaan buat peminat yang hadir.
“Saya bersetuju menerima tawaran nyanyian ini kerana menganggap hari ibu sebagai sesuatu yang istimewa jadi saya mahu lakukan sesuatu yang luar daripada kebiasaan.
“Selalunya jika seorang ibu mahu meraikan anak-anak, mereka akan masak makanan kegemaran dan saya terfikir, apa kata pada persembahan itu nanti, saya buat perkara yang sama.
“Pada malam tersebut, kami akan memilih seorang ibu yang bertuah. Saya akan masak dan makan bersama ibu bertuah itu di atas pentas sambil menyanyi menghiburkan ibu yang lain,” katanya teruja.
Tiket persembahan yang dijual pada bermula harga RM399 sehingga RM990 boleh ditempah menerusi pembelian online di www.redtix.airasia.com atau maklumat lanjut di www.omgfest.my.
Selain daripada itu Siti turut memberitahu bakal mengadakan konsert muzikal sempena 20 tahun penglibatannya dalam industri seni tanah air di pentas Istana Budaya pada November nanti.
Warisi sifat ibu
Tidak ada ungkapan yang mampu diberikan seorang anak terhadap pengorbanan seorang ibu dalam memastikan anak-anak membesar dalam keadaan yang baik.
Mengagumi sifat-sifat yang dimiliki ibunya, Siti Salmah Bachik, penyanyi yang kini terkenal dengan lagu ‘Jaga Dia Untukku’ ini mengakui ketegasan wanita itu dalam mendidik anak-anak telah membentuk dirinya menjadi seorang yang lebih baik.
“Sifat kesabaran yang saya miliki hari ini adalah daripada ibu saya. Walaupun dia seorang yang suka tersenyum namun dia juga tegas dalam mendidik anak-anaknya.
“Sejak dahulu ibu selalu berpesan supaya saya selalu menjaga tingkah laku. Bayangkan, dahulu jika saya buat perkara yang tidak sepatutnya, dia akan terus tegur saya dan dia memang tegas.
“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih kepada ibu kerana dialah saya insan yang banyak mengajar saya,” ujarnya dengan penuh rasa bangga.
- Siti Nurhaliza Berkat dua dekad
0 Comment to "Siti Nurhaliza Berkat dua dekad"
Post a Comment