Sunday, 22 March 2015

Jejaka kacak setia menemani Miera Leyana



Kata bidalan, berjagung-jagung dahulu sebelum menanti padi masak. Begitu juga halnya dengan kehidupan. Namun kalau sudah namanya rezeki, siapa kita untuk melawan takdir Ilahi.



Kilas kembali perjalanan karier lakonan Miera Leyana, ia bermula dengan pengesanan wajah di jalanan ketika usianya 15 tahun.



Sekadar bersiar-siar bersama rakan, dia disapa pengarah popular, Aziz M. Osman.



“Hai, awak kenal saya? Awak minat berlakon? Saya mahu awak datang ofis saya esok,” kata Aziz.



Selepas itu, kehidupan Miera berubah secara total.



“Tujuh tahun lalu, ketika saya bersiar-siar dengan kawan-kawan, Aziz yang saya panggil abang Long menyapa. Abang Long ketika itu sedang mencari heroin yang mempunyai wajah Jepun untuk drama online pertamanya, Luna Fantasiku. Saya diterima berlakon drama tersebut dan itu permulaan karier saya,” katanya mengenai permulaan kariernya yang mungkin belum diketahui peminat.



Mungkin langkahnya ke dunia hiburan terlalu mudah, namun Miera tidak pantas mencuri tumpuan peminat. Sebaliknya, gosip liar yang menyambar dulu dirinya.



Siapa yang boleh melupakan dua khilaf yang dilakukan pelakon berusia 22 tahun itu. Mengenakan gaun pendek sehingga menampakkan sebahagian buah dadanya di satu acara, empat tahun lalu.



Dia kemudian muncul berbikini di kolam renang, selain melakukan adegan ranjang dengan Fizz Fairuz dalam filem Dendam Orang Mati. Itu khilaf semalam yang dilakukan Miera.






“Bila pandang belakang semula kontroversi yang terjadi seperti putus cinta dengan Shahrizal Jaszle dan bergaun seksi, sampai satu tahap nekad untuk membuktikan yang saya bukan seorang pelakon kontroversi seperti yang diperkatakan.



“Saya mahu orang kenal saya sebagai pelakon yang berbakat. Ia berjaya dibuktikan selepas memenangi anugerah Pelakon Pembantu Filem Terbaik menerusi filem Pecah di Anugerah Skrin 2013.



“Sejak itu, ramai orang sedar yang saya sebenarnya boleh berlakon. Bukan pelakon pelapis yang muncul dengan kontroversi murahan.



“Bagaimanapun, selepas suatu ketika apabila filem Dendam Orang Mati ditayangkan, ia menghancurkan balik persepsi orang ramai. Saya sedar akan kesilapan tersebut kerana ia mengajar untuk memilih watak yang bagus,” ujarnya dengan nada kecewa.





Miera bakal muncul menerusi watak antagonis psiko dalam drama Memori Cinta Suraya.



Enggan membajai fikiran dengan dosa semalam, selain berazam lebih bersikap matang pada hari ini, Miera juga berharap agar para peminat tidak terus menghukum dirinya.



Antagonis



Biarpun permulaan kerjayanya ditawarkan dengan watak baik-baik namun selepas itu, anak kepada Datuk Seri Kasmi Arsat ini sering kali ditawarkan dengan watak antagonis.



“Saya tidak tahu kenapa sering ditawarkan dengan watak sedemikian. Sebagai pelakon, saya boleh bawa apa jua watak. Mungkin mereka nampak saya lebih menyerlah menerusi watak sebegitu,” katanya yang bakal muncul menerusi watak antagonis psiko dalam drama Memori Cinta Suraya untuk siaran Astro Bella (Saluran 133).



Optimis dengan watak antagonis, Miera juga mengakui, ia sebenarnya kuat dan adakalanya mampu mengatasi watak heroin.



Lebih daripada itu, katanya, watak antagonis mampu menghidupkan lagi jalan cerita dan juga menonjol dari segi ekspresi.



Bagaimanapun, pelakon Apokalips X ini menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa mereka yang membawakan watak antagonis perlu berpenampilan seksi.



“Bagi saya, seksi itu bukan apa yang kita pakai tetapi pada karakter kita bawa. Tidak semestinya watak antagonis kena berpakaian seksi. Mungkin dengan cara solekan, bercakap dan bahasa tubuh mampu memainkan peranan seksi itu,” kongsinya.



Ditebak di manakah tahap keseksian Miera, anak kedua daripada tiga beradik ini mengakui, dirinya sebenarnya bukan seorang yang seksi. Sekadar baju-T dan berseluar jean Miera boleh keluar ke mana sahaja.





Mengakui dahulu seorang yang boros, sekarang Miera mula sedar diri apabila berjumpa ramai golongan susah dalam industri hiburan.



Teman lelaki misteri



Pada usia 22 tahun, Miera dilihat semakin cantik. Wajah oriental yang dimiliki, ditambah pula dengan keperibadian manja dan selamba memudahkan dirinya didekati sesiapa sahaja.



Selama menemu bual Miera di suite mewah Hotel Prince, Kuala Lumpur, pelakon berasal dari Johor Bahru ini setia ditemani adiknya dan seorang lelaki muda yang kacak.



Apabila penulis bertanya dan mengusik mengenai keberadaan lelaki itu, Miera ketawa kuat sementara lelaki itu pula kemerah-merahan malu.



“Ini kawan saya. Kami kawan baik. Satu geng. Kebetulan hari ini dia tak sibuk, jadi dia datang lepak. Sebenarnya, kami dah tak jumpa. Sebabnya, saya sibuk berlakon drama Memori Cinta Suraya sebanyak 148 episod. Dekat set ada protokol tidak boleh bawa orang luar.



“Apabila tidak berlakon, saya sibuk sesi fotografi pula. Jadi, hari ini baru ada masa berjumpa,” jelas bekas kekasih kepada pelakon Shahrizal Jaszle ini.



Miera mengakui, dia berkeinginan untuk bercinta namun kesibukannya membataskan niatnya itu. Faktor lelaki tidak faham kariernya sebagai pelakon juga menjadi sebab mengapa dia masih belum mempunyai kekasih.



“Hendak cari lelaki yang betul-betul faham kerja kita susah. Lagipun sekarang, saya tengah sibuk berlakon drama sebanyak 148 episod. Tahun depan baru habis penggambaran.



“Saya mengakui mempunyai ramai teman lelaki tetapi masih belum ada yang istimewa,” ujarnya yang mengakui, tidak mempunyai masa rehat yang cukup kerana sibuk menjayakan drama berkenaan.



Lahir daripada golongan berada, barangkali ada yang tertanya-tanya kenapa Miera masih gigih berlakon sedangkan boleh hidup senang dengan harta yang dimiliki.



Sungguhpun begitu, Miera memberitahu, dia berlakon kerana minat dan kepuasan.



“Berlakon memang minat dan kepuasan saya. Ia tetap diteruskan biarpun harus menunggu lama untuk diterima” katanya lagi.





- Jejaka kacak setia menemani Miera Leyana

SHARING GOOD

0 Comment to "Jejaka kacak setia menemani Miera Leyana"

Post a Comment