Sunday 1 March 2015

Uqasha Senrose: Jangan cepat melatah





PERTEMUAN Sensasi Bintang bersama Nik Zaris Uqasha Senrose pada Selasa lalu membuka ruang kepada pelakon berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu bercerita tentang kisah kerjaya serta kontroversi yang sering menghimpit dirinya.



Aktres jelita yang menggunakan nama pentas sebagai Uqasha Senrose itu tanpa berselindung rancak menyusun butir bicaranya berkongsi tentang cerita kurang enak yang selama ini menyelebungi diri.



Apa tidaknya, selepas satu kontroversi, timbul lagi kontroversi baharu yang menghimpit pelakon drama Sebenarnya Saya Isteri Dia itu. Kali ini, menerusi ruangan gosip yang diterbitkan sebuah akhbar mingguan tempatan, Uqasha dikatakan diintai oleh seorang anak hartawan.



Lebih mengejutkan, pelakon berusia 23 tahun itu dikatakan pernah keluar bersama dengan lelaki terbabit yang didakwa tunang kepada seorang pelakon baharu.



Ketika ditebak tentang dakwaan kononnya dia dilamar oleh jejaka yang pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita itu, Uqasha dengan tenang menafikan perkara tersebut.



Bagaimanapun, dia dengan jujur memberitahu, pernah bertemu lelaki tersebut, namun pertemuan itu hanyalah berlangsung sekali sahaja dan tiada apa-apa yang berlaku antara mereka.







"Sejujurnya ketika membaca gosip yang mengaitkan saya dengan seorang anak hartawan yang didakwa tunang kepada pelakon baharu, saya seakan-akan dapat ‘menangkap’ lelaki yang dimaksudkan itu dan berasa terkejut kerana saya tidak tahu-menahu mengenai dirinya.



"Cuma kami pernah terserempak ketika saya bersama keluarga di sebuah restoran kira-kira tiga tahun lalu. Bagaimanapun, pertemuan yang berlaku secara tidak sengaja itu tidak berlanjutan," ujarnya yang mengakui terkejut dan memberitahu, dia langsung tidak pernah didekati mana-mana anak hartawan.



Biarpun sering dilanda kontroversi, aktres jelita ini dilihat tetap optimis memajukan dirinya dan tidak mengambil pusing setiap cerita buruk yang bakal merosakkan kerjaya lakonannya dalam industri seni tanah air.



"Bagi saya, selepas bergelar figura awam, inilah harga yang perlu dibayar. Saya buat benda baik orang mengata, saya buat perkara yang tidak baik lagi orang akan menghentam. Jadi, saya mengambil pendekatan untuk tidak melatah atau memberikan sebarang komen.



"Walaupun ada teguran yang kadangkala menyakitkan hati tetapi saya tidak pernah melayan komen negatif itu. Bagi saya, apa yang perlu dilakukan adalah cuba sedaya upaya untuk memperbaiki diri dan sentiasa berfikiran positif," jelas Uqasha yang kini dikatakan menjalin hubungan cinta dengan pelakon Syafiq Kyle.





BAGI Uqasha, pelakon Syafiq merupakan rakan lelaki yang baik dan rapat dengannya buat masa ini.



Hubungan direstui



Hubungan istimewa Uqasha dengan pelakon Bila Hati Berbicara itu bukan lagi satu rahsia. Buktinya, pasangan itu sering kali kelihatan bersama di majlis hiburan dan memuat naik gambar di laman sosial Instagram masing-masing.



Sungguhpun begitu, ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan pelakon yang mula menempa nama selepas menyertai program Hero Remaja 2011/2012 itu, kata Uqasha, mereka sedang dalam proses mengenali hati budi masing-masing.



"Apa yang boleh saya katakan, Syafiq adalah lelaki yang rapat dengan saya buat masa ini. Bagaimanapun, kami masih dalam proses mengenali antara satu sama lain.



"Pengalaman lalu banyak mengajar saya untuk tidak mudah jatuh cinta. Saya tidak mahu terlalu terburu-buru menjalin perhubungan. Terus terang, saya telah belajar banyak perkara ketika bercinta dahulu. Oleh itu, biarlah cinta itu hadir dengan sendiri tanpa paksaan.



"Lagipun, fokus utama kami sekarang adalah untuk mengukuhkan karier lakonan dan tidak mahu masyarakat melihat kisah cinta saya sahaja. Ini kerana, cinta itu terlalu peribadi untuk dikongsikan. Kalau ada jodoh pasti tidak ke mana," ujar Uqasha.



Diajak bercerita mengenai dakwaan tidak mendapat restu keluarga, terutama ibu Syafiq sehingga menyebabkan mereka tidak berani mengaku bercinta, jelas Uqasha, khabar angin tersebut adalah tidak benar.



"Hubungan saya dengan keluarga Syafiq memang tiada masalah. Saya dan ibu Syafiq sangat rapat dan mengenali antara satu sama lain. Kalau saya tahu perkenalan kami tidak mendapat restu, awal-awal lagi saya tidak akan berkawan dengannya.



"Ini kerana, sebagai anak lelaki, perlu utamakan keluarga, jadi takkan saya tergamak melihat dia membelakangkan orang yang dia sayang. Kalau betul ibunya tidak menyukai saya, takkan kami boleh berkawan sehingga kini," kongsi Uqasha sambil memberitahu, Syafiq seorang lelaki yang kelakar dan sentiasa berfikiran terbuka.



Bisnes



Siapa sangka selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, kini Uqasha dan adiknya, Nelydia Senrose melebarkan sayap dalam dunia perniagaan produk kecantikan, Secret of Senrose.



Lebih mengujakan, biarpun usia perniagaan baru menjangkau enam bulan, namun produk kecantikan itu sudah mendapat tempat dan perhatian banyak pihak hingga ke luar negara.



Ketika ditanya apakah yang menyebabkan dia menceburi bidang perniagaan itu, Uqasha memberitahu, bidang tersebut lebih menjamin masa depan serta memberi kepuasan.



"Selain dapat menjamin masa depan, saya lakukan kerja ini untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Saya masih memberi fokus terhadap kerjaya seni.



"Bagi saya, lebih baik berusaha dan berdikari sendiri untuk mencari rezeki dan buat sesuatu perkara selagi mampu dan masih dalam keadaan sihat.



"Alhamdulillah, setakat ini saya menerima maklum balas yang positif daripada pengguna produk Secret of Senrose. Paling mengejutkan, produk kesihatan ini sudah memasuki edisi pengeluaran yang keenam," ujarnya yang bakal membuka sebuah syarikat produksi bersama tiga rakan kongsinya pada awal Mei nanti.



Menyentuh mengenai perkembangan terbaharunya, kata Uqasha, dia sedang menjalani sesi penggambaran telemovie berjudul Cik Puan Bibi terbitan RTM.



Menceritakan telemovie yang menjalani sesi penggambaran selama 10 hari di Cherating, Pahang itu, Uqasha memberitahu, dia begitu teruja untuk berlakon dalam telemovie tersebut kerana ia merupakan pengalaman pertamanya berlakon disamping adiknya.



"Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Nelydia. Saya dapat bayangkan kami pasti akan bergelak tawa bersama sepanjang sesi penggambaran berlangsung," kongsi Uqasha sambil memberitahu, tawaran lakonannya masih ada biarpun dia mengambil keputusan untuk berhijab tahun lalu.





- Uqasha Senrose: Jangan cepat melatah

SHARING GOOD

0 Comment to "Uqasha Senrose: Jangan cepat melatah"

Post a Comment