Sunday 1 March 2015

Nina Iskandar: Saya masih bertudung





ADAkalanya dalam hidup, kita sebagai manusia agak terleka. Terkhilaf baik dari segi percakapan mahupun perbuatan. Itu lumrah sebagai insan di muka bumi ini. Tiada siapa yang tidak pernah melakukan kesilapan, sama ada disengajakan atau tidak.



Begitu juga dengan apa yang dilalui oleh pelakon Nina Iskandar apabila ada pihak yang mendakwa dirinya kini sudah tidak lagi berpenampilan berhijab. Semuanya, gara-gara sekeping foto yang dimuat naik menerusi akaun laman sosial Instagram miliknya.



Gambar yang menampakkan dirinya tidak menutup bahagian rambut itu kemudian mendapat maklum balas negatif dalam kalangan peminatnya. Tindakannya itu juga telah mencetuskan tanda tanya kepada pengikut industri hiburan apabila dia dikatakan sudah kembali semula kepada penampilan lamanya yang tidak bertudung.



Bagaimanapun, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual aktres berumur 24 tahun itu bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara tersebut. Pelakon filem Muka Surat Cinta itu yang kini berada negara kelahirannya, Brunei Darussalam tenang menjawab isu berkenaan.







Sensasi Bintang: Baru-baru ini ada pihak yang mendakwa Nina Iskandar sudah tidak lagi bertudung. Adakah Nina maklum mengenai perkhabaran tersebut?



Nina Iskandar: Saya tidak ada mendengar cerita mengenai itu dan saya sendiri tidak maklum mengenai perkara berkenaan.



Perkara tersebut dipercayai timbul selepas Nina ada memuat naik beberapa keping gambar di Instagram yang menampakkan beberapa bahagian yang dianggap aurat. Adakah Nina sedar mengenai perkara berkenaan?



Memang sebelum ini saya ada memuat naik sekeping gambar dalam bentuk kolaj. Tanpa sengaja, gambar yang dikongsikan itu ada menampakkan bahagian rambut saya. Memang ketika itu, selepas dimuat naik, ramai peminat meluahkan rasa tidak senang dengan apa yang saya lakukan. Ekoran perkara tersebut, saya telah membuang gambar berkenaan.



Apakah yang membuatkan Nina berkongsi gambar tersebut dengan peminat?



Gambar itu dirakam ketika saya menghadiri majlis perkahwinan sepupu. Ketika itu, saya bermalam di rumah sepupu kerana sama-sama meraikan ‘malam jaga-jaga’ (budaya berkampung di rumah pengantin perempuan). Memandangkan ketika berada di dalam rumah, saya hanya ada bersama ahli keluarga, saya tidak mengenakan tudung. Saya memuat naik gambar berkenaan kerana mahu memberitahu orang lain di sana mengenai aktiviti apa yang saya lalui. Itu sahaja.



Baru-baru ini juga, Nina ada memuat naik gambar Nina yang menutup bahagian kepala tetapi masih menampakkan leher. Perkara tersebut mungkin menguatkan lagi dakwaan bahawa Nina sudah tidak lagi bertudung. Komen Nina?



Gambar itu saya mengenakan hoodie (penutup kepala). Bagaimana saya ingin terangkan. Beginilah, sebenarnya setiap orang mempunyai definisi tersendiri mengenai hijab. Ada orang memakai turban, ada yang jenis menutup sahaja kepala dengan selendang. Perkara itu bagi saya sudah menjadi kebiasaan. Mungkin yang membezakan hanyalah cara penggayaan saya.



Dengan erti kata lain, dakwaan tersebut tidak benar dan Nina masih lagi berhijab?



Ya, saya masih lagi berhijab. Cuma apa yang berlaku tempoh hari itu merupakan kesilapan saya sendiri. Saya anggap apa yang berlaku itu sebagai satu pengajaran. Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada membuat salah. Apa yang dilalui setiap hari merupakan tempoh untuk belajar dan memperbaiki diri.



Apa perkembangan terbaharu Nina?



Saya kini berada di Brunei. Saya pulang ke kampung halaman untuk berehat seketika dan menenangkan diri. Insya-Allah, saya akan kembali ke Malaysia pada April nanti. Bagaimanapun, saya bakal muncul dengan drama terbaharu yang dijangka pada bulan ini berjudul Dendam Semalam. Kemudian ada lagi sebuah drama di slot Azalea berjudul Padamu Aku Bersujud.





- Nina Iskandar: Saya masih bertudung

SHARING GOOD

0 Comment to "Nina Iskandar: Saya masih bertudung"

Post a Comment