Sunday 1 March 2015

Nur Afrina Ariana nama anak Almy Nadia





"Nama anak saya Nur Afrina Ariana. Maksudnya, cahaya putih kemerah-merahan yang penuh dengan kesejahteraan," kata Almy Nadia kepada Sensasi Bintang mengenai nama anak sulungnya.



Hari ini juga genap 14 hari pelakon Dunia Baru The Movie itu berpantang selepas melahirkan anak sulungnya pada 16 Februari lalu. Bayi perempuan seberat 3.25 kilogram itu dilahirkan di Hospital Columbia, Setapak, Kuala Lumpur pukul 6.49 petang.



Tiada kata dapat menggambarkan perasaan Almy apabila buat pertama kali memandang wajah anaknya itu. Pelakon berasal dari Ipoh, Perak itu juga bersyukur dapat melahirkan anaknya itu secara normal.



"Alhamdulillah, seronok dan syukur dapat tatap wajah dia setiap hari. Lebih membuatkan saya teruja apabila dapat menyusu badan sepenuhnya untuk Ariana," luahnya.



Hari-hari Almy juga bahagia apabila suaminya, Fizz Fairuz ringan tulang membantu menjaga anak mereka.



Kata Almy, biarpun Fizz sibuk berlakon, namun apabila anak mereka berjaga malam pelakon itu tidak keberatan mengangkat anaknya.



"Mujur dia (Ariana) tidak kerap berjaga malam. Dia cuma bangun sekali sahaja iaitu pada pukul 3 pagi untuk menyusu," ujar Almy lagi.



Meskipun sudah mendedahkan nama anak mereka, Almy dan Fizz masih belum bersedia mendedahkan wajah anak perempua mereka itu lagi.



Fizz dan Almy bernikah pada 26 April tahun lalu.







NAMA ANAK



Saya tidak mahu nama anak yang kelihatan hebat, janji dia mampu membawa nama Nur Afrina Ariana itu tanpa rasa beban. Lebih daripada itu, saya lebih suka memberi maksud nama-nama yang baik kepada anak saya. Nama dia lebih kurang sama dengan nama anak angkat saya iaitu Nur Afrina Darwisya, 6.



PANTANG



Saya mengamalkan pantang tradisional yang ketat. Bermula pukul 7 pagi, saya sudah bangun untuk bertungku. Diikuti dengan bertangas, mandi air akar kayu, berurut, memakai bedak panas, berbengkung dan mengenakan pilis di dahi. Alhamdulillah, saya tidak tertekan berpantang secara ketat seperti itu. Sebabnya saya mahukan bentuk badan seperti sediakala.



KURUS



Banyak lagi yang perlu saya turunkan supaya dapat kembali ke berat asal iaitu 53 kilogram. Selagi tidak dapat berat sebegitu, saya tidak akan berlakon tetapi tidak tahu pula hati saya esok atau lusa. Mungkin selepas pantang dapat tawaran, saya ambil.



MINUM HORLICK



Sebenarnya selama dua hari selepas bersalin, saya tidak mempunyai susu badan. Mujur, adik ipar yang baru melahirkan anak memberitahu supaya minum Horlicks. Katanya, ia boleh membanyakkan susu badan. Alhamdulillah, lepas minum Horlicks, susu badan mulai keluar. Sehingga kini, anak saya hanya minum susu badan. Selain itu, seminggu di awal pantang saya cuma makan nasi panas dengan ikan bilis goreng atau ikan talang bakar.



BARANGAN TAJAAN



Alhamdulillah, anak saya Nur Afrina murah rezeki. Banyak peniaga yang memberi barangan percuma kepadanya. Saya juga tiada masalah memuat naik gambar tersebut di Instagram bagi membantu mereka meningkatkan jualan.





- Nur Afrina Ariana nama anak Almy Nadia

SHARING GOOD

0 Comment to "Nur Afrina Ariana nama anak Almy Nadia"

Post a Comment