Thursday 16 April 2015

Lubuk rezeki Nabil Ahmad





NABIL mengakui, hidupnya semakin bahagia apabila diserikan dengan kehadiran orang baharu dalam keluarga, Leyla Medina yang dilahirkan pada 18 Mac lalu.



MULA mengorak langkah sebagai pelawak solo atau stand up comedian di atas pentas pada tahun 2008 menerusi program realiti Raja Lawak musim kedua, nama Nabil Ahmad semakin gah dalam industri.



Punya aura tersendiri sebagai seorang pelawak, pelakon, penyampai radio dan pengacara, Nabil merupakan satu-satunya pelawak stand up yang masih kukuh berdiri dalam dunia hiburan sehingga kini. Tidak keterlaluan sekiranya sepotong nama itu disenaraikan sebaris dengan nama-nama besar yang lain.



Kini, siapa sangka anak muda yang pada asalnya cuma bekerja sebagai penghantar surat itu menawan khalayak dengan bakat semula jadi dimilikinya. Berkat kesungguhan dan kerja keras mendapatkan rezeki yang halal, Nabil, 32, kini semakin melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan.



Sempat bertemu bapa kepada dua cahaya mata itu, Naira Mikayla, 2, dan Leyla Medina, satu bulan, dalam satu majlis baru-baru ini, Nabil bercerita lanjut mengenai jalur kariernya dalam bidang pengacaraan yang semakin melimpah ruah pada tahun ini.






Rezeki



Diakui, selain menyertai pelbagai program lawak di kaca televisyen, tuah anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu dilihat semakin menyinar dalam banyak bidang, terutamanya pengacaraan.



Terkini, dia dipilih menjadi hos baharu program HBO Sentral musim kedua yang akan bersiaran setiap Ahad bermula 26 April ini menerusi saluran HBO dan HBO HD (411 dan 431) pukul 3 petang.



Nabil mengambil alih posisi sebagai hos rancangan tersebut bagi menggantikan tempat yang dipegang oleh aktres Lisa Surihani pada musim pertama.



Seloroh Nabil, bagaikan mimpi di siang hari, peluang keemasan yang cuma datang sekali seumur hidup itu diterima dengan tangan terbuka. Sementelah dia memikirkan inilah peluang terbaik bagi mengumpul lebih banyak pengalaman.



“Saya memang suka dengan bidang pengacaraan kerana bidang ini meluaskan ruang lingkungan kerjaya kami, tidak hanya sebagai pengacara di studio.



“Sewaktu menerima tawaran HBO Sentral, saya agak runsing kerana jadual sudah terlalu padat tetapi apabila difikirkan semula dengan teliti, mengapa diperlu tolak peluang besar seperti ini?



“Minat yang mendalam terhadap bidang pengacaraan, pengembaraan dan jelajah di tempat orang membuatkan saya tidak mengambil masa lama untuk memberi jawapan kepada pihak Astro,



“Saya jadi teruja dan tidak sabar mahu mengendalikan program ini kerana sedar, program ini merupakan platform utama untuk menembusi Academy Awards sama seperti Datuk Aznil Nawawi yang sudah merasai pengalaman hebat itu baru-baru ini,” tutur anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu ceria.



Tutor



Tambah pemenang tempat ketiga Maharaja Lawak Mega 2011 (MLM2011) itu, dia hanya menyambung legasi yang ditinggalkan Lisa sementelah dia percaya, itu semua adalah takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan.



“Jika ini yang tertulis untuk saya, mengapa menolak. Ia rezeki untuk kerjaya, bahkan untuk keluarga juga. Saya anggap ini sebagai rezeki berganda selepas menimang cahaya mata kedua baru-baru ini.



“Kalau ditanya soal gementar, sudah tentu ya tetapi saya percaya, setiap artis itu ada kelompok peminat yang tersendiri. Walaupun tidak mempunyai peminat yang ramai seperti orang lain tetapi saya percaya punya peminat setia. Begitu juga dengan program ini yang pastinya sudah ada pengikutnya tersendiri,” kata Nabil.



Akui Nabil, atas tuntutan kerjaya dan kepentingan diri sendiri, dia merancang untuk mengambil kelas bahasa Inggeris di rumah demi membolehkan dirinya menguasai bahasa tersebut dengan mahir. Tanpa berselindung, dia mengerti, program besar seumpama itu memerlukannya fasih bertutur dalam bahasa tersebut.



Jadual



Berbicara rancak mengenai perjalanan kariernya yang begitu padat sepanjang tahun ini, Nabil yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Bopeng, bakal turun ke lokasi bagi menjalani penggambaran dua buah telemovie sempena Aidilfitri. Rezeki melimpah ruah yang mengalir laju dalam kalendar kariernya membuatkan Nabil tidak menang tangan membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga.



“Alhamdulillah anak dan isteri saya, kedua-duanya dalam keadaan baik. Sekarang isteri sedang menghabiskan tempoh berpantang di rumah keluarga.



“Jadual memang padat tetapi sebagai seorang ketua keluarga, saya harus bijak mengawal situasi untuk memastikan ada masa berkualiti bersama keluarga. Kerja adalah kerja tetapi keluarga tetap nombor satu buat saya,” tutur pengacara rancangan MeleTop itu tegas.



Pada masa sama, mengakui tidak banyak mengambil tawaran lakonan, Nabil jujur berkongsi mengenai sisi karakternya yang kurang menyerlah dalam bidang lakonan.



“Saya lebih rela ambil tawaran mengacara sahaja sepanjang tahun daripada berlakon!” seloroh Nabil.



Merendah diri, Nabil mengakui, kebolehan memainkan watak dalam lakonan adalah sesuatu yang sukar buat dirinya.



“Saya memang tidak pandai berlakon. Sebab itu jarang keluar dalam drama mahupun filem. Jarang sekali saya terima tawaran lakonan kecuali watak yang diberi itu kena dengan karakter saya.



“Lagi pula, saya tidak berapa gemar untuk berlakon kerana memikirkan kerjaya seorang pelakon menuntut mereka menghabiskan masa berjam-jam lamanya di set penggambaran. Saya bukan jenis orang begitu. Bagi saya, daripada menghabiskan masa begitu saja, lebih baik buat kerja lain. Sebab itu saya suka dengan dunia pengacaraan,” ketawa Nabil ceria.



Dalam perkembangan lain juga, jejaka tinggi lampai itu bakal membuka sebuah kelas tarian zumba, Jimba Zumba di Ara Damansara, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor pada awal Mei depan.






- Lubuk rezeki Nabil Ahmad

SHARING GOOD

0 Comment to "Lubuk rezeki Nabil Ahmad"

Post a Comment