Friday 10 April 2015

PU Hafiz teraju baharu Man Jadda Wajada



PU HAFIZ kini menyandang tugas sebagai hos program MJW di TV AlHijrah.



SEBAGAI usaha membantu golongan miskin yang ingin mengubah taraf hidup dengan menjalankan perniagaan, stesen televisyen AlHijrah memenuhi tuntutan Tanggungjawab Khidmat Korporat (CSR) syarikat, menerusi rancangan Man Jadda Wajada (MJW).



Mendapat kerjasama daripada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), MJW yang telah memasuki musim ketujuh, sudah menemui penonton menerusi episod pertamanya yang bersiaran pada 6 April lalu pukul 9 malam.



Menampilkan sebanyak 13 episod, MJW membuat sedikit perbezaan apabila buat pertama kalinya menggunakan khidmat pengacara lelaki iaitu juara Pencetus Ummah (PU) musim pertama, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa.



Bersesuaian dengan pemilihan judul MJW yang bermaksud siapa yang berusaha, dia pasti berjaya, program itu mencerminkan matlamat saluran televisyen tersebut yang lebih menjurus kepada soal keagamaan. Selain relevan dengan situasi semasa, ia juga mampu bersaing dengan syarikat penyiaran lain.






“Program seumpama ini memiliki ciri-ciri pengisian berteraskan ajaran agama Islam. Cara ini juga dapat mendidik masyarakat dan mengajak setiap umat Islam menjalinkan hubungan dengan Tuhan.



“Rancangan ini berjaya meraih hampir dua juta penonton sejak kali pertama ditayangkan sehingga kini. Perkara itu jelas menunjukkan TV AlHijrah setaraf seperti stesen televisyen lain, sekali gus menepis tanggapan bahawa kami tidak mampu kukuh dan bersaing dalam dunia penyiaran,” jelas Pengurus Saluran TV AlHijrah, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.



Sehubungan itu, Mohd. Yusof cuba menampilkan kelainan pada musim terbaharu MJW dengan pengisian kerohanian dan memberi motivasi kepada responden terpilih, selain berkongsi memberi pengajaran kepada penonton.





Pengerusi TV AlHijrah, Mohd. Yusof Noor (empat dari kanan) bergambar kenangan dengan pihak penerbitan dan penaja PHB sempena pelancaran program MJW di Khadijah Kitchen, Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.



Berusaha untuk memberi kepuasan kepada penonton, tanggungjawab itu digalas oleh Noor Harlida Abu Bakar selaku Penerbit Eksekutif. Halida mengambil mandat tersebut daripada Siti Noraida Hashim yang merupakan Penerbit Eksekutif bagi siaran musim pertama hingga keenam.



“Saya dapat merasakan cabaran baharu apabila pengisian MJW dipertingkatkan dengan menambah slot motivasi dan sokongan moral kepada responden yang terpilih.



“Pada musim terdahulu, kami menggunakan khidmat selebriti dan personaliti televisyen wanita sebagai hos, namun berbeza dengan kali ini apabila seorang ustaz dilantik untuk memikul tugasan tersebut,” ujar Noor Harlida yang ditemui usai majlis perasmian MJW di Kuala Lumpur baru-baru ini.



Bagi menyempurnakan tanggungjawab mereka, pihak PHB juga telah mengeluarkan zakat untuk disalurkan kepada golongan memerlukan dan membantu mencapai taraf kehidupan yang lebih baik.



Demi merealisasikan impian itu, kru MJW menjelajah ke seluruh Semenanjung agar dapat menemukan golongan kurang berkemampuan yang rajin berusaha, namun tidak diberi perhatian dan pendedahan untuk berjaya.



“Menjadi cabaran apabila kami ingin mendapatkan responden yang rajin, gigih dan mempunyai matlamat mahu mengubah taraf hidup mereka kerana kebanyakannya hanya lebih senang menerima bantuan zakat.



“Disebabkan itu, pihak kami perlu membuat penelitian secara terperinci sebelum membuat keputusan menghulurkan bantuan seperti memberi kursus perniagaan, modal, membina premis dan peralatan,” tambah Noor Harlida.



Perkara itu turut diakui oleh pengacara MJW, Hafiz yang teruja atas pemilihannya selaku wajah baharu rancangan tersebut.



Berkongsi pengalaman mengacara rancangan MJW, Hafiz melahirkan rasa syukur dan gembira kerana diberi peluang untuk berdakwah dan melakukan kerja-kerja kebajikan.



“Pada awalnya saya mengambil masa agak lama untuk berfikir kerana ingin mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya sebelum berdepan dengan khalayak secara terbuka.



“Dalam setiap episod, selain memberi sokongan motivasi kepada responden, saya akan mengajarkan doa dan membacakan hadis berkaitan ibadah dalam mencari rezeki yang halal,” kata Hafiz.






- PU Hafiz teraju baharu Man Jadda Wajada

SHARING GOOD

0 Comment to "PU Hafiz teraju baharu Man Jadda Wajada"

Post a Comment