SETIBANYA Ramadan, seluruh umat Islam bukan sahaja berlumba-lumba melaksanakan amal ibadah, namun bulan barakah ini juga menjadi lubuk rezeki.
Artis berniaga bukan lagi perkara asing malah, rata-rata daripada mereka menggunakan kelebihan masing-masing mencari pendapatan sampingan.
Aiman Hakim Ridza tidak terkecuali melakukan perkara sama dengan memperkenalkan jenama pakaiannya AHR.
“Sebenarnya, perniagaan ini telah dijalankan sejak tahun lalu lagi tapi hanya secara kecil-kecilan untuk saya melihat bagaimana respons pasaran sekarang.
“Setelah belajar dari kesilapan, tahun ini saya ambil kelebihan Ramadan untuk perkenalkan koleksi jubah untuk lelaki sebagai permulaan perniagaan.
“Selepas ini, saya akan teruskan dengan koleksi lain dan tidak hanya fokus kepada Ramadan dan sambutan Aidilfitri semata-mata,” katanya teruja ketika ditemui pada sesi pembacaan skrip teater Y Sebuah Muzikal di Istana Budaya, kelmarin.
Pada masa sama, Aiman memberitahu keinginannya untuk menghasilkan koleksi jeans sendiri.
“Buat masa sekarang ini saya memang fokus pada perniagaan dan buat sementara waktu saya berehat sebentar dari lakonan,” katanya yang sudah pun memiliki butik di Ara Damansara.
Lebih matang
Empat tahun menjalani karier sebagai anak seni sudah cukup membuatkan dirinya matang.
“Sejujurnya, semua orang berubah tapi bagi saya sendiri tempoh kematangan lebih laju. Selama berada dalam industri ini banyak yang saya belajar dan itu yang memberi kematangan kepada saya,” katanya.
Aiman mengakui pengalamannya membantu dia memperbaiki prestasi dan mutu lakonannya.
“Saya tak nafikan sering membawa watak sama, bagi saya setiap pelakon memiliki keinginan masing-masing untuk diberikan peluang dan watak yang lebih menarik.
“Saya memilih juga, tapi dalam industri ini skrip tidak banyak yang berubah. Kebanyakannya seakan sama, jadi peluang untuk saya dapat skrip yang lebih baik agak sempit.
“Jadi saya perlu bekerja lebih kuat untuk menonjolkan diri tambahan pula kita ada ramai barisan pelakon yang lebih hebat yang memegang karakter yang saya impikan.
“Sekarang ini bagi saya, kualiti adalah lebih penting dari kuantiti. Saya belajar dari kesilapan dan memilih skrip untuk tampil dengan sesuatu yang segar dan berlainan,” katanya mengakhiri perbualan.
0 Comment to "Aiman Hakim Ridza fokus perniagaan"
Post a Comment