Tanggal 12 Jun lalu genap lima tahun usia mahligai perkahwinan yang dibina pelakon dan pelawak terkenal Harith Iskander, 49, dan isterinya, Dr. Jezamine Lim, 32. Menjadikan sambutan ulang tahun itu lebih bermakna, Jezamine kini hamil anak ketiga.
Walaupun berasa teruja, mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlalu menghebohkan berita gembira itu kerana masih di peringkat awal.
Jelas Harith, kandungan ketiga isterinya itu turut berdepan satu masalah, namun mereka tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menambah zuriat.
“Mulanya Jezamine disahkan mengandung anak kembar tetapi terdapat komplikasi pada awal kehamilan menyebabkan salah seorang daripada janin tidak dapat diselamatkan.
“Sekarang, saya sudah tidak mahu terlalu memikirkan soal jantina anak lelaki atau perempuan, cukuplah jika bayi yang lahir nanti sempurna sifat dan proses kelahirannya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Ambi Pur Therapy Session di Sunway Pyramid, baru-baru ini.
Harith dan Jezamine sebelum ini telah mempunyai sepasang cahaya mata, Zander Xayne Iskander, 3, dan Alessandrea Jayne Iskander, 2.
Rahsia bahagia
Enam tahun melayari bahtera rumah tangga, Harith dan Jezamine percaya bahawa perkahwinan merupakan satu pekerjaan yang memerlukan usaha berterusan dan bukannya terhenti selepas bergelar suami isteri.
Menurut Jezamine yang bertindak selaku pengurus kerjaya suaminya, sifat tolak ansur dan memahami antara satu sama lain amat penting bagi mengekalkan hubungan erat dalam rumah tangga.
“Mungkin kerana saya terlibat sama dalam dunia seninya, maka saya tahu kesibukan dan tuntutan kerjaya suami. Bagi saya, selagi ada kepercayaan, semua perkara boleh diselesaikan,” jelasnya lagi.
Mengiakan perkara itu, Harith bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sentiasa menyokong kerjaya seninya tanpa berbelah bahagi.
“Saya masih ingat ketika dia sedang sarat mengandung anak kedua, Alessandrea, kebetulan saya ada jemputan ke Singapura untuk menjayakan satu persembahan. Saya agak keberatan meninggalkannya, namun Jezamine berkeras agar saya menerima tawaran tersebut.
“Dia seorang yang kuat dan berdikari, walaupun bergelar doktor, pengurus dan sekali gus masih dalam proses menyelesaikan pengajian PhDnya, dia masih boleh menguruskan rumah tangga dengan baik,” tuturnya jujur.
Festival komedi
Bercerita lanjut tentang perkembangan kariernya, Harith yang pernah menjayakan persembahan terbesar komedi stand up, Laugh Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil, Oktober pada tahun lepas, tahun ini dia menapak selangkah lagi dengan menganjurkan Festival Komedi Kuala Lumpur yang julung kali dijayakan di negara ini.
HARITH dan isterinya, Jezamine yang kini sedang hamil anak ketiga.
Bertindak selaku penganjur, Harith menjelaskan, festival yang dijadualkan pada September nanti menampilkan 65 orang pelawak dari 13 buah negara. Mereka akan berkampung di Stadium Putra, Kuala Lumpur selama seminggu bermula 16 hingga 23 September.
Bagaimanapun, Festival Komedi yang menjadi sebahagian daripada acara Kuala Lumpur Art Festival itu belum menetapkan lokasi utama penganjuran.
“Selepas projek Laugh Malaysia, saya dan Jezamine mula memikirkan apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengetengahkan stand up komedi kepada peminat tempatan.
“Saya nampak tahap komedi stand up kurang berkembang di Malaysia. Daripada situ, kami mula mendapat idea untuk menganjurkan festival lawak ini sebagai platform agar komedi stand up mampu memikat hati khalayak,” jelasnya yang sempat menganjurkan Laugh Malaysia untuk khalayak di Sabah pada 5 Jun lalu.
0 Comment to "Petua bahagia Harith Iskandar"
Post a Comment