IRONI, bagi penggemar barisan naskhah filem mahupun sinetron dari Indonesia, karakter Habibie dalam filem biopik romantis Habibie & Ainun yang dilakonkan aktor kacak Reza Rahadian pasti masih meniti segar dalam jaringan memori penonton.
Diambil dari kisah cinta bekas Presiden Republik Indonesia ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie yang dibukukan pada tahun 2010, filem tersebut benar-benar menjulang nama Reza ke puncak. Sementelah, lakonannya di samping Bunga Citra Lestari (Ainun) dilihat begitu serasi antara satu sama lain.
Sewaktu namanya memuncak di gunung populariti, dia kini dilamar membintangi sebuah siri terbaharu terbitan HBO Asia, berjudul Halfworlds.
Penggambaran siri bergenre fantasi, cinta dan dendam itu sudah berjalan sejak tiga minggu lepas. Ia merupakan arahan sutradara hebat dari Indonesia, Joko Anwar yang sebelum ini pernah membikin Janji Joni dan Kala.
Menariknya, siri lapan episod yang menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris itu menampilkan barisan pelakon terbaik dari rumpun Melayu termasuklah aktor Bront Palarae, Arifin Putra, Ario Bayu, Salvita Decorte dan Aimee Saras.
Reza memegang watak sebagai Tony, seorang manusia jelmaan jin yang mempunyai kuasa luar biasa. Dia paling berpengaruh dalam kelompok jin yang bergelar The Demits.
Berlatarbelakangkan zaman kini di sekitar kota Jakarta, penggambaran siri tersebut dilakukan di sebuah studio yang dibina di Batam, Indonesia iaitu Infinite Studios.
Bertemu aktor berusia 28 tahun itu di Batam, Indonesia baru-baru ini, Reza menyatakan, ini merupakan kali pertama beliau menerima tugasan membawa karakter ketara berbeza berbanding watak-watak yang pernah dijayakan sebelum sejak muncul dalam dunia perfileman pada 2007.
“Sejujurnya, saya sangat teruja apabila ditawarkan watak Tony. Selepas membaca skrip dan mengamati karakter Tony, watak itu merupakan sebuah eksperimental yang dinamik dan unik sekali. Ia sangat berbeza daripada mana-mana watak yang pernah ada dalam naskhah filem di Indonesia.
“Bekerja pula dengan Joko, seorang yang banyak pengalaman dalam industri, malah karya-karyanya juga tidak boleh disangkal mutunya. Jadi, alasan itu banyak membantu saya menjadi lebih semangat untuk mencuba watak istimewa ini,” tutur aktor yang meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Indonesia 2009 menerusi filem Perempuan Berkalung Sorban itu penuh semangat.
Impak Habibie
Lantaran namanya cukup terkenal sebagai pembawa watak Habibie, Reza dengan penuh berhemat menyuarakan, perasaannya tidak pernah tergugat sekiranya peminat masih belum mampu mengusir bayangan Habibie daripada dirinya.
SALAH satu babak dalam filem Habibie & Ainun lakonan Reza bersama Bunga Citra Lestari. Filem itu mengangkat kisah cinta dan suka duka pasangan suami isteri bekas Presiden Republik Indonesia yang ketiga, Bacharuddin Jusuf Habibie dan arwah isterinya, Hasri Ainun Habibie.
“Saya sangat berterima kasih dengan Habibie kerana ‘dialah’ yang membantu menaikkan nama saya dalam industri hiburan Indonesia. Tanpa dia, mana mungkin saya mampu menjadi Tony.
“Secara logiknya, bagi mana-mana pelakon di dunia sekali pun, mereka pastinya mahukan lebih daripada apa yang sudah diperolehi, begitu juga dengan saya. Perkembangan karakter sangat penting untuk kerjaya seni. Daripada situ saya boleh membentuk kepelbagaian karakter dalam lakonan, membiak ‘benih emas’ yang boleh menumbuhkan kualiti lakonan,” ulas aktor kelahiran Jakarta itu bersungguh-sungguh.
Bagi bukan penggemar filem, mungkin nama Reza masih sedikit asing dalam masyarakat di Malaysia, tetapi menyusur kembali portfolio seninya, lelaki itu cukup laris diberi kepercayaan memegang watak besar. Sekiranya diberikan watak tempelan, lakonannya tetap berbekas di hati penonton.
Seperti benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, sandarkan apa sahaja karakter ke bahunya, pasti akan menjadi. Itu gambaran awal sebagai pengenalan kehandalan Reza di mata peminat perfileman Indonesia yang kini menebarkan sayap ke rantau Asia pula.
“Populariti bukan perkara yang perlu untuk saya fikirkan setiap hari. Betul, sekarang nama saya berada di atas, tetapi belum pasti lagi selamanya kerana terma popular itu akan mengekori saya sampai ke hujung nyawa.
“Apa yang penting, kesempatan berlakon dalam siri ini adalah platform terbaik untuk saya menjengah pasaran antarabangsa selain menjadi mewakili negara Indonesia ke pentas dunia,” ujarnya ceria.
Jelas Reza, beliau bukanlah calon tunggal bagi siri yang mempunyai lapan episod itu. Sebaliknya, Joko sempat membuat satu sesi uji bakat bagi memilih aktor lain yang bersesuaian memegang watak Tony.
Reza antara salah seorang aktor yang dipanggil dan melepasi ujian saringan. Tuah dan rezeki memihak kepadanya sementelah karakter misteri Tony dikesan sedang mudah berkembang dalam jiwa aktor tinggi lampai itu.
Bersekutu dengan Bront
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya bekerja di samping individu hebat seperti Joko Anwar dan Bront Palarae, Reza sedikit malu-malu saat diunjurkan soalan berupa itu.
Katanya, teruja itu memang ada, tetapi terkadang dia berasa sedikit gusar kerana berdampingan dengan individu yang hebat.
Siri terbaharu keluaran HBO Asia, Halfworlds bakal menyaksikan gandingan pertama kali Reza dengan aktor popular tanah air, Bront Palarae yang memegang watak sebagai Detektif Gusti.
“Kali pertama bertemu Bront, saya lihat karakternya sangat dingin, pendiam dan serius. Lantas, saya menyimpulkan imej Bront sebagai individu yang sukar didekati dan langsung tidak boleh diajak bergurau.
“Namun, ternyata perkiraan saya itu meleset sama sekali. Jujurnya, dia seorang yang kelakar, banyak bicara dan mudah mesra. Selepas mengenali sisi sebenar Bront, saya sudah tidak gusar untuk bercanda lebih-lebih dengannya,” tutur Reza spontan sambil menghambur tawa besar.
Malah katanya, peluang menggalas tanggungjawab sebagai bintang utama naskhah arahan Joko merupakan sesuatu yang jarang diperoleh seumur hidup.
“Karyawan perfileman di Malaysia pasti ada yang mengenali Joko Anwar dan bagaimana kriteria orangnya. Dia sangat bagus, malah karya-karyanya juga mempunyai nilai tersendiri.
“Jadi, tunggu sahaja hasilnya siri Halfworlds nanti,” candanya sambil ketawa lagi.
Tidak terbatas setakat itu, himpunan bintang Asia dalam siri Halfworlds dijangka akan menempa sambutan hebat sebagaimana yang pernah diraih dari siri-siri terdahulu, antaranya Dead Mine (2012), Serangoon Road (2013) dan Grace (2014).
“Selain jalan cerita yang unik dan penuh fantasi, barisan bintang Asia yang ada dalam siri ini merupakan antara salah satu sebab, mengapa saya begitu teruja.
“Bayangkan sahaja, dengan nama-nama hebat seperti Bront dan yang lain-lain, saya sangat yakin siri ini akan berhasil sebaik mungkin saat disiarkan nanti,” katanya sambil mengakui kesemua barisan pelakon Halfworlds mampu menjadi ikon kecil untuk mempromosi Asia di peta perfileman pada peringkat global.
0 Comment to "Populariti bukan persoalan Reza Rahadian"
Post a Comment