Thursday 4 June 2015

Erra Fazira mencari perubahan dalaman



MENGAMBIL berkat malam Nisfu Syaaban, Erra kini bertudung penuh. Langkah itu disifatkan Erra, satu permulaan untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.

DIGELAR Primadona Filem Melayu Alaf Baharu, beliau dilihat memiliki kesempurnaan rupa dan kemasyhuran hidup, namun dalam hati kecilnya, aktres Erra Fazira tetap seorang wanita biasa.

Beliau tetap merintih gundah dan sering muhasahah diri tentang hari esok, hakikat hidup dan kemahuan yang belum pernah tertunai.

Salah satu daripada tuntutan yang saban waktu bergelora di laut jiwa, namun kerap kali ia diredakan dengan sauh karier ialah berhijab. Frasa yang membawa maksud bertudung itu merupakan fitrah bagi setiap Muslimah. Ia berbunyi mudah, namun atas faktor persekitaran dan gaya hidup, kewajipan yang dituntut syarak itu sering menjadi satu pilihan yang bersifat peribadi bagi sesetengah wanita.

Jelitawan dengan nama sebenar, Fazira Wan Chek, 41, tidak terke­cuali. Mengecapi hampir segala nikmat dunia bergelar selebriti, berada di puncak kegemilangan dengan puluhan judul filem pecah panggung, laris menghiasi dada media, digilai ramai dan serba-serbi kehendak mampu dipenuhi, beliau tetap wanita yang tidak boleh lari daripada fitrah.

Sehingga tiba satu saat, Erra akhirnya bersedia menunaikan kewajipan yang telah lama diamanahkan kepadanya iaitu bertudung dan menutup aurat. Itu satu-satunya hasrat yang tertangguh sekian lama.


“Hasrat untuk bertudung itu telah lama tersimpan. Rasanya sejak tahun lepas lagi tetapi hasrat itu sering ditunda dari sehari ke sehari. Saya ada banyak kebimbangan konon-kononnya pasal komitmen kerja, padahal itu semua alasan yang dicipta untuk menangguhkan hasrat tersebut.

“Sehinggalah pada malam Nisfu Syaaban (Isnin) baru-baru ini, perasaan itu bertambah kuat dan didorong oleh serba sedikit pemahaman saya terhadap maksud di sebalik kemuliaan alam tersebut,” jelas Erra mula bertudung sepenuhnya Selasa lalu.

Menceritakan momen pada malam penuh keberkatan tersebut, kebetulan anak­nya, Engku Aleesya ada bersama. Sebelum tidur mereka berborak dan Erra sempat bertanyakan pendapat Aleesya, bagaimana sekiranya beliau mahu bertudung.

“Dia (Alessya) bertanyakan semula kepada saya, kenapa perlu bertudung. Saya beritahu kepadanya, perkara itu merupakan kewajipan bagi semua wa­nita Islam, namun selama ini saya tidak cukup kuat untuk berbuat demikian. Saya luahkan kebimbangan dan rasa gementar saya kepadanya. Alessya pula seperti memahami, dia tenangkan saya dan kata, semuanya akan okey.

“Keesokan harinya, sewaktu hendak menghantar Alessya ke sekolah, dia asyik perhatikan saya. Sebelum ma­suk ke kereta, dia bertanya sama ada saya masih gementar atau tidak. Saya terkejut kerana sudah hampir terlupa tentang perbualan kami berdua malam pada malam sebelum itu.

“Terdetik di hati, betapa sensitifnya Alessya terhadap perubahan saya. Apabila dia beritahu, bahawa saya kelihatan cantik saat bertudung, hati saya sangat tersentuh,” ujar Erra yang turut meluahkan kemahuan bertudung kepada ibunya, Azizah Zaik.

Tambah Erra: “Selepas muhasabah diri dan bermonolog sendirian, pada malam itu saya menghubungi ibu bagi berkongsi getaran di jiwa. Ibu memberikan respons yang sangat positif dan me­nguatkan lagi keyakinan saya tentang hasrat yang satu itu.”

Mengakui bahagia dan semakin tenang meneruskan hari-hari seperti dibasahi rahmat dan keredaan Ilahi, pelakon yang pernah dua kali memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia itu tidak keberatan berkongsi kebimbangan yang pernah dirasai sebelum ini.

Secara umumnya, perubahan imej seseorang penyanyi atau pelakon yang memilih untuk berhijab akan melibatkan persoalan tentang watak dan tawaran kerja yang terbatas. Erra juga ada memikirkan perkara tersebut.

“Saya ada banyak komitmen, tiap-tiap bulan harus ada peruntukan perbelanjaan tertentu. Tipulah kalau saya tidak terfikir soal rezeki. Perubahan ini nampak kecil tetapi kesannya besar dan itu semua tidak boleh dijadikan alasan. Saya harus kuat, kena terus berdoa dan tawakal kepada Allah.

“Persoalan dan kebimbangan paling besar saya sebelum ini lebih kepada kekuatan dalaman. Adakah perubahan luaran saya nanti, akan seiring dengan perubahan dalaman. Bagi saya, setiap orang ada bahagian dan rezeki masing-masing.

“Jika nanti, saya didatangi rezeki yang selama ini tidak pernah diperoleh ketika tidak bertudung, saya mungkin berfikir dua kali, adakah itu benar-benar rezeki atau satu dugaan buat saya,” jelas bekas isteri Engku Emran Engku Zainal Abidin itu berhati-hati.

Mengakui masih menadahkan periuk nasi terhadap bidang seni, Erra juga akur, ada keterbatasan dalam karier yang bakal dilaluinya selepas ini.

“Saya kena jaga batasan yang sepatutnya. Sebagai anak seni, saya tidak boleh katakan tidak kepada dunia hiburan. Lakonan adalah periuk nasi saya. Saya tidak boleh berhenti me­lakukan pekerjaan ini. Apa yang pasti saya harus menjaga batasan, biar sesuai dengan imej tetapi kalau saya anak jutawan, saya boleh terus berhenti berlakon,” katanya dengan nada berseloroh.

Tambahnya: “Setakat ini semua­nya berjalan seperti biasa. Sebe­lum berhijab lagi, saya sudah bersedia dan menerima tawaran melakonkan watak wanita yang memakai tudung. Tidak lama lagi saya terlibat dengan dua buah produksi drama, salah sebuah drama tersebut bawah arahan Michael Ang dan satu lagi, bersama Erma Fatima.

“Kedua-duanya menawarkan saya watak wanita bertudung,” kata Erra yang pernah melakonkan karakter bertudung bergandingan dengan Faizal Hussein menerusi filem Longkai dua tahun lalu.

Fesyen dan Muslimah

Selama bergelar pelakon terkenal sejak tahun 1984, wanita kelahiran Sungai Choh, Ra­wang, Selangor itu cukup terbilang dalam lapangan fesyen. Melangkah ke mana pun, kehadirannya pasti mencuri perhatian. Beliau bukan sahaja seri panggung, bahkan ‘dewi fesyen’ yang menjadi idola penggila fesyen tempatan.

Lantas, perubahan yang berlaku (bertudung) juga melibatkan perubahan fesyen dan penampilan kepada bekas Ratu Cantik Malaysia/World 1992 di depan khalayak umum. Soal pemakaian dan pemilihan fesyen yang sesuai, harus menjadi aspek penting yang harus dititikberatkan Erra.

Baru bertudung dan merasakan belum la­yak untuk bercakap tentang fesyen Muslimah, Erra bagaimanapun cukup sedar tentang tanggapan dan perhatian khalayak terhadap fesyen seseorang selebriti yang bertudung.

“Saya tidak mahu menghakimi sesiapa. Wanita yang tidak bertudung bukan bermakna tidak baik. Saya harap langkah ini akan menjadi titik tolak kepada permulaan saya untuk menjadi wanita dan hamba Allah yang lebih baik. Soal iman, amalan dan ibadah itu satu perkara lain tetapi penampilan fizikal antara perkara nyata yang melengkapi imej seseorang Muslimah.

“Saya tidak berani untuk bercakap lebih tetapi insya-Allah, dengan bantuan dan soko­ngan rakan-rakan, saya akan berhati-hati dalam berfesyen selepas ini,” katanya yang baru-baru ini dipilih sebagai wajah koleksi terbaharu rekaan Rizman Ruzaini, Aurora by Rizman Ruzaini.

Pengalaman suka duka kehidupan berumah tangga dengan dua kali pernikahan dan dua kali perceraian juga banyak mendewasakan sisi wanita Erra menjadi lebih matang mendalami erti kehidupan.

“Apa yang lebih indah, perubahan saya ini tanpa desakan daripada mana-mana pihak, keluarga atau rakan-rakan. Ia datang sendiri da­ri dalam diri kerana selama ini, ke mana sahaja saya pergi, berada di kedudukan mana sekalipun, sebagai manusia, saya tidak pernah berhenti mencari dan berdoa.

“Faktor usia juga bukan satu dorongan untuk saya berubah. Ya, perubahan ini berlaku kerana sudah sampai masanya tetapi ia bukan disebabkan faktor usia. Seperti yang telah saya katakan, setiap orang ada bahagian masing-masing. Semua ini urusan Tuhan, Dia yang menunjukkan saya jalan. Saya bersyukur kerana doa saya selama ini telah dimakbulkan Tuhan,” kata Erra.

- Erra Fazira mencari perubahan dalaman

SHARING GOOD

0 Comment to "Erra Fazira mencari perubahan dalaman"

Post a Comment