TIDAK mahu dibayangi nama Hyper Act, Ronnie meneruskan langkah bergelar penyanyi solo dengan kelahiran single terbaharu berjudul, Dikoyak Waktu.
BIARPUN terpaksa menelan perit apabila namanya digugurkan daripada kumpulan Hyper Act ketika band tersebut meniti jalan sukses, Ronnie tetap meneruskan langkahnya sebagai penyanyi solo dalam usaha untuk memeriahkan industri muzik tempatan yang penuh dengan pancaroba.
Tidak mahu dibayangi nama band yang pernah mencipta fenomena dengan lagu hit Hanya Aku, bekas vokalis Hyper Act itu mahu dikenali sebagai Ronnie Hussein. Dia menyifatkan perpisahan dengan Hyper Act bukan berakarkan khilaf daripada mana-mana anggota kumpulan, malah dedah Ronnie, perkara itu berpunca daripada campur tangan pihak ketiga.
Namun, untuk tidak mengeruhkan situasi kumpulan yang pernah menaikkan namanya itu, Ronnie enggan mengulas lebih lanjut.
“Hubungan saya dengan Hyper Act masih baik seperti dahulu. Walaupun saya bukan lagi vokalis kumpulan tersebut, kami masih berhubung dan bertanya khabar antara satu sama lain.
“Saya tidak mahu menyimpan dendam atau sebagainya hanya kerana saya ‘dibuang’ daripada Hyper Act. Kami bersikap profesional dan saya yakin, rezeki ada di mana-mana walaupun saya tidak lagi bersama Hyper Act,” ujar Ronnie.
Dia ditemui pada sidang akhbar pelancaran single terbaharunya berjudul Dikoyak Waktu di Restoran Chuckles, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sudah menjadi adat dunia hiburan, jalan sendiri yang dipilih oleh mana-mana vokalis pasti mengundang pelbagai spekulasi tidak baik. Ronnie juga tidak terkecuali. Dia pernah diherdik dan dianggap sebagai punca permasalahan dalaman kumpulan Hyper Act.
Namun, vokalis yang pernah popular menerusi lagu duet bersama seorang penyanyi bernama Yanti berjudul Bintang Kehidupan sekitar 2006 itu mempunyai alasan tersendiri untuk menangkis tohmahan ke atasnya.
“Selama ini saya berdiam diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Situasi menjadi lebih rumit apabila isu saya dengan Hyper Act diperbesar-besarkan oleh sesetengah pihak, seolah-olah mereka lebih mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
“Ingin saya tegaskan, saya dan Hyper Act tiada masalah atau permusuhan. Kami tetap kawan walaupun tidak lagi bersama,” ujarnya sambil mengukir senyuman.
Terdahulu, salah seorang anggota Hyper Act iaitu Toi (pemain bass dan vokalis kedua) telah mengumumkan penyingkiran Ronnie secara rasmi melalui temu ramah dengan sebuah stesen radio.
AKUI Ronnie, hubungannya dengan Hyper Act tetap baik.
Kemelut antara Ronnie dan Hyper Act dipercayai bermula apabila Ronnie dikatakan sering mengambil tawaran persembahan solo. Situasi itu menyebabkan Hyper Act terpaksa menggunakan khidmat penyanyi undangan lain sekiranya ada pertembungan jadual.
Sebelum ini, Ronnie atau mana-mana anggota Hyper Act yang lain sering mengelak daripada mengulas lanjut kemelut berkenaan.
Ditebak persoalan sejauh mana kesediaan Ronnie membawakan lagu-lagu yang pernah melonjakkan namanya ketika bersama kumpulan Hyper Act sekiranya diminta penganjur dalam persembahan solonya kelak, Ronnie berkata, dia tidak kisah sekiranya itu yang diminta penganjur.
“Semuanya bergantung kepada permintaan. Jika penganjur ingin saya menyanyikan lagu popular ketika bergelar vokalis Hyper Act, saya akan penuhi.
“Bagaimanapun, hanya beberapa lagu yang sempat diterbitkan ketika saya masih bergelar vokalis utama kumpulan tersebut seperti lagu Hanya Aku.
“Ada juga beberapa lagu yang sempat saya rakam bersama Hyper Act tetapi belum lagi diterbitkan. Jadi, saya tidak akan nyanyikan lagu berkenaan atas sebab-sebab tertentu,” tutur Ronnie yang sempat mengecap kejayaan bersama Hyper Act apabila lagu Hanya Aku mendapat tempat kedua pada Anugerah Juara Lagu 2014.
Beralih kepada jalan solo yang diteruskan kini, Ronnie teruja dengan kelahiran single terbaharunya berjudul Dikoyak Waktu. Dia yakin sokongan peminat terhadapnya masih lagi utuh, meskipun tidak lagi bergerak secara berkumpulan.
Terbitan Indigital Sdn. Bhd. dan ciptaan sepenuhnya oleh Aepul (Drama Band), Dikoyak Waktu masih sebuah lagu, namun bersifat lebih universal.
“Pesanan yang cuba disampaikan melalui lagu ini bukanlah hanya kepada kekasih semata-mata. Ia juga sebuah lagu cinta untuk keluarga dan sebagainya.
“Lagu ini adalah sebuah lagu yang sangat istimewa buat saya kerana ia berentak balada, berbeza dengan lagu-lagu dirakam terutama ketika bersama Hyper Act dahulu yang genrenya lebih menjurus ke arah rock balada.
“Saya harap single solo saya ini dapat memberi jalan baharu kepada saya untuk kelangsungan dalam industri muzik,” tutur Ronnie atau nama penuhnya, Shahron.
Bercakap tentang masa depan, Ronnie juga tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan band sendiri jika ada rezeki.
“Saya sebenarnya tidak berani nak cakap (ketawa). Doakan sahaja yang baik-baik. Saya memang ingin menyanyi bersama band. Cuma, buat masa ini biar saya fokus dengan karier solo dahulu,” ujarnya menutup bicara.
0 Comment to "Ronnie, Hyper Act tiada dendam"
Post a Comment