Pelakon baharu, Sarah Hildebrand menyangkal dakwaan yang menyatakan dia hanya bergantung kepada rupa parasnya sebagai wanita kacukan untuk diterima dalam bidang seni.
Sarah atau nama sebenarnya Nur Sarah Marie Hilderbrand Asyraf, 25, berkata dia tidak pernah menjadikan rupa paras sebagai platform untuk diterima sebagai pelakon ataupun sekadar memilik watak tertentu agar kelihatan cantik di layar skrin.
“Saya tidak boleh mengelak daripada anggapan orang, biarlah orang nak cakap seperti itu tapi rasanya orang yang rapat dengan saya akan tahu yang saya bukan jenis utamakan kecantikan berbanding bakat.
“Saya sanggup terima apa jua watak walaupun saya diminta jadi orang gila sekalipun, saya tidak kisah kerana tidak semestinya saya perlu ditawarkan watak ayu dan cantik sahaja,” katanya kepada mStar Online.
Selain itu, Sarah berkata dia akan cuba membuktikan tanggapan orang ramai itu salah dengan memantapkan lagi lakonan dalam setiap watak yang diberikan.
Tambah Sarah, dia yang bakal tampil untuk teater Y Sebuah Muzikal pada Ogos nanti menjadikan teater sebagai kelas lakonan untuk dia belajar dengan lebih mendalam.
“Selepas ini, saya akan tingkatkan lagi usaha untuk membuktikan bakat lakonan saya kepada orang ramai.
“Saya terima tawaran teater kerana merasakan ia peluang yang bagus untuk saya belajar asas lakonan memandangkan saya masih baru dalam industri,” katanya.
Terdahulu, Sarah yang merupakan darah kacukan Melayu dan Amerika Syarikat bergelar sebagai model sejak pulang ke Malaysia dari Conway pada 2009.
Sarah juga merupakan kekasih kepada pengacara Harta Dalam Stor, Nabil Mahir dan sudahpun menjalinkan hubungan selama setahun.
Dalam perkembangan lain, Sarah baru sahaja selesai penggambaran untuk dua telefilem iaitu Hujan Pagi (Astro Prima) dan Jalan Singkat Ke Syurga (Astro Oasis).
0 Comment to "Sarah Hildebrand Sangkal Hanya Bergantung Pada Paras Rupa"
Post a Comment