TIDAK mahu isu putus tunangnya terus diungkit, Adira meminta maaf kepada semua pihak yang pernah disakitinya.
SEMARAK Aidilfitri terus bersemi walaupun kini telah masuk hari keempat seluruh umat Islam di dunia meraikannya. Bagi penyanyi bersuara merdu, Adira, Aidilfitri kali ini membawa seribu satu erti buat dirinya dan keluarga setelah bermacam-macam dugaan terpaksa ditempuhi.
Tidak mahu lagi mengungkit kisah lalu berkenaan cerita putus tunangnya dengan Pengerusi Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamarudin, Adira menyifatkan perkara tersebut telah menjadi sejarah lama yang menjadi pengajaran berguna buat dirinya.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 23, kini tegas ingin memberi fokus dan komitmen sepenuhnya kepada kerjaya serta keluarganya.
“Apa yang sudah terjadi, biarlah berlalu. Usah diungkit cerita saya dan dia (Shahrul). Sekarang ini, saya dengan jalan hidup baharu, begitu juga dengan dia.
“Insya-Allah kalau ada rezeki dan jodoh, saya akan dipertemukan dengan lelaki lain yang lebih sesuai. Saya juga berdoa agar dia dipertemukan dengan jodoh yang baik-baik,” kata naib juara Akademi Fantasia musim kelapan itu mengenai sensasi putus tunangnya yang cukup mengejutkan industri hiburan.
Optimis dengan kehidupan, Adira menyifatkan cerita putus tunangnya tidak lagi menjadi buah mulut orang memandangkan dia kini mempunyai perkara lain untuk diberi keutamaan. Dia juga percaya Shahrul tidak mahu lagi dikaitkan dengannya.
“Saya pasrah dengan apa yang berlaku. Ini adalah harga yang perlu dibayar untuk menjadi anak seni. Tapi, sudah tiba masa isu ini dihentikan.
“Semua orang ada hidup untuk diteruskan. Bulan baik ini, tiada perkara lain yang saya ingin lakukan selain memaafkan orang. Saya juga ingin memohon maaf kepada sesiapa sekiranya saya ada melakukan kesilapan,” tutur penyanyi berkulit mulus itu.
Raya sederhana
Berbicara mengenai Aidilfitri, Adira mengatakan dia menyambut Syawal dengan sederhana, tetapi mewah dalam emosinya tersendiri.
Memandangkan kampung halamannya iaitu Ranau, Kundasang masih lagi terlibat dengan bencana gempa bumi, Adira lebih menitikberatkan keberadaannya bersama keluarga tersayang pada hari raya.
“Setiap kali raya, saya dan keluarga tidak akan berlebih-lebih. Cukuplah kami sekeluarga dapat berkumpul dan beraya bersama. Itu sudah mencukupi.
“Seperti biasa, pulang ke Ranau selama seminggu. Selepas puas beraya, saya akan kembali aktif dengan aktiviti seni di Kuala Lumpur,” tutur Adira bersemangat.
Bercerita lebih lanjut soal kampung halamannya yang terlibat dengan bencana gempa bumi, Adira mendedahkan keadaan kediamannya turut menerima kesan akibat bencana tersebut yang melanda beberapa bahagian di negeri Sabah.
“Lantai dan dinding rumah retak akibat gegaran daripada gempa bumi. Tipulah kalau cakap saya tidak risau dengan keadaan tersebut kerana keluarga saya semua berada di sana.
“Ibu saya pula tidak mahu beraya di Kuala Lumpur walaupun didesak oleh saya berulang kali. Jadi, saya akan tetap beraya di sana bersama keluarga,” ujarnya.
Namun begitu, Adira tetap akan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Ranau walaupun banyak kekurangan pada lebaran kali ini.
Untuk rekod, tahun lalu Adira menerima kunjungan lebih 1,000 peminat di kediaman keluarganya di Sabah.
“Ibu saya akan masak, kami tidak akan membuat tempahan katering atau sebagainya. Kalau sesiapa mahu datang beraya, pintu rumah kami sentiasa terbuka menerima kunjungan tetamu.
“Tahun lepas peminat datang dari merata tempat. Ada yang datang dari Semenanjung, Brunei, Sarawak dan juga Singapura.
“Saya berharap tahun ini peminat sudi berkunjung ke rumah saya walaupun dilanda musibah gempa bumi,” jelasnya sambil mengukir senyuman.
0 Comment to "Adira mohon maaf sempena Syawal"
Post a Comment