Siti dan Datuk K pulang ke Kuala Lipis, Pahang, manakala anak-anak tirinya berhari raya dengan ibu mereka.
Tahun ini disebabkan kepadatan jadual kerjanya, penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak berkesempatan untuk mengadakan sesi fotografi raya bersama Kosmo!. Namun, sebagai ganti buat tatapan peminatnya, Siti bermurah hati dan menitipkan aksi keluarga bahagianya yang dirakam bersama suami, Datuk Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) dan tiga daripada empat orang anak tirinya iaitu Muhammad Adib, Muhammad Asyraf dan Muhammad Aazief. Muhammad Anas Zawawi tidak menyertai sesi fotografi tersebut.
Jelas terpancar kebahagiaannya bersama suami serta kemesraan bersama anak-anak tirinya. Bercerita tentang lebaran, kali ini merupakan tahun kesembilan beliau meraikannya sebagai isteri kepada Datuk K. Meskipun anak-anak tirinya semakin meningkat dewasa, kata Siti, rutin yang dijalani adalah sama setiap tahun.
“Setiap tahun rutin sambutan raya sama sahaja. Kami akan berkumpul di rumah saya di Kuala Lumpur terlebih dahulu kerana keluarga Datuk K semuanya ada di sini. Selepas solat raya dan bersalaman bersama keluarga, barulah masing-masing akan pulang ke kampung halaman.
“Seperti saya dan Datuk K, kami pulang ke kampung saya di Kuala Lipis, Pahang, manakala anak-anak tiri pula beraya dengan ibu mereka. Bagaimanapun, suasana tetap meriah dan kecoh seperti keluarga lain,” katanya.
Disoal tentang persiapan rayanya, jelas Siti, keluarganya tidak mengamalkan konsep sedondon, sebaliknya, hanya mengikut cita rasa masing-masing. Kebiasaannya, beliau hanya mengikut warna baju raya Datuk K dan anak-anak pula diberi kebebasan untuk memilih warna dan fesyen yang dikehendaki.
“Keluarga saya menyambut raya serba ringkas. Disebabkan anak-anak tiri semuanya sudah besar panjang, mereka sudah boleh buat keputusan sendiri seperti baju apa yang ingin dipakai dan ke mana mereka mahu menyambut raya. Mereka sekarang lebih berdikari.
“Namun, detik wajib dan paling penting buat kami sekeluarga adalah bersalaman di pagi raya. Tidak lengkap rasanya raya tanpa adegan bersalaman dan bermaafan antara satu sama lain,” terang Siti jujur.
Sungguhpun begitu, sambutan raya tahun ini agak syahdu buat keluarga sebelah Siti selepas neneknya, Teh Te’ek meninggal dunia pada 12 Mei lalu akibat sakit tua. Tutur Siti, insan yang paling terkesan dengan pemergian arwah neneknya sudah pasti ibunya, Siti Salmah Bachik yang menjaga wanita tersebut sehingga ke akhir hayatnya.
“Memang diakui, sambutan raya kali ini agak berbeza buat keluarga sebelah Siti kerana arwah nenek telah tiada. Emak paling terkesan dengan pemergiannya kerana dia yang menjaga nenek sehingga ke akhir hayat. Jadi, kami semua pulang ke kampung untuk mengembirakan hati emak,” ujar Siti.
MENYAMBUT raya untuk tahun kesembilan sebagai pasangan suami isteri. Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk K masih mementingkan tradisi bermaafan di pagi raya.
Pengalaman raya
Bercerita tentang pengalaman raya yang tidak boleh dilupakan, masih terpahat di ingatannya adalah sambutan raya pada zamannya sedang popular dengan lagu Jerat Percintaan.
Waktu itu, Siti baru sahaja popular dan keputusannya untuk mengadakan rumah terbuka di Kuala Lipis telah menyebabkan rumahnya dibanjiri seramai 3,000 orang peminat hampir setiap hari.
Bermula awal pagi sehingga ke tengah malam, Siti dan seluruh ahli keluarganya tidak menang tangan untuk melayan peminat yang hadir dari seluruh negara.
“Bayangkan dari awal pagi sehingga pukul 1 pagi masih lagi ada orang datang beraya di rumah saya. Ada peminat sampai menjenguk ke dapur rumah semata-mata ingin melihat Siti Nurhaliza, sedangkan waktu itu saya curi-curi ke dapur untuk makan.
“Selain tidak sempat makan, pinggang dan kaki saya juga sakit akibat berdiri terlalu lama. Bagi saya, itu antara pengalaman raya yang tidak mungkin dilupakan. Mengenangnya kembali membuatkan saya ketawa sendirian dan berterima kasih kerana sokongan peminat yang tidak pernah berhenti,” katanya.
Bagaimanapun, senario berkenaan berubah secara automatik sebaik sahaja Siti mendirikan rumah tangga bersama Datuk K pada tahun 2006. Tiada lagi serbuan mengejut di rumahnya seperti zaman anak dara.
“Saya fikir peminat juga faham, saya sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen terhadap suami. Jika saya beraya di Kuala Lipis, kebetulan ada peminat yang datang, mereka akan bertemu dengan saya,” tuturnya.
Menyentuh tentang kuih raya, Siti mengaku tidak pernah membuat kuih raya sejak bergelar penyanyi. Meskipun merupakan peminat tegar kuih tart nanas dan pernah mencuba untuk membuatnya, kata Siti lebih baik beliau membeli sahaja kuih kerana rasanya lebih sedap.
“Saya suka kuih tart nanas dan pernah cuba untuk buat. Biasanya resipi yang ada dalam buku tidak disertakan dengan tip, hendak dijadikan cerita, inti nanas sedap tetapi pastrinya sangat keras. Sejak itu, saya tidak pernah buat kuih raya, hanya kuih tunjuk (beli) sahaja (ketawa),” tutur Siti.
Baju Kallista
Istimewanya tahun ini, Siti tidak mengayakan busana daripada mana-mana pereka fesyen. Sebaliknya, beliau menyarungkan baju raya daripada koleksi miliknya sendiri iaitu Kallista.
“Tahun ini agak istimewa kerana pada pagi raya saya akan menyarungkan baju daripada koleksi sendiri. Rasanya agak berbeza, seronok dan berbangga dengan diri sendiri sebab berjaya melahirkan satu koleksi pakaian yang boleh dijual,” katanya.
Sungguhpun begitu, jelas Siti yang memulakan koleksi Kallista hanya untuk suka-suka, beliau tidak menyangka menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Tujuannya bukan untuk meraih keuntungan semata-mata sebaliknya berkongsi selera fesyen yang sama dengan peminat yang ingin memiliki pakaian yang tersarung di badannya.
“Saya tidak setanding pereka fesyen yang terkenal, tiada juga niat untuk bersaing dengan peniaga dalam talian yang lain. Saya bermula sebagai hobi dan tidak sangka orang ramai akan suka dengan koleksi tersebut.
“Buat masa ini belum ada sebarang perancangan untuk menambah koleksi yang lain kerana saya hanya mengeluarkan tudung dan pakaian sempena hari raya sahaja. Jika ada peluang pada masa depan saya akan fikirkan kerana saya sendiri seronok mereka pakaian mengikut cita rasa sendiri,” ujarnya.
Sambung Siti, dia sendiri cukup terkejut dengan sambutan apabila pakaiannya habis dijual dalam masa beberapa minit sahaja.
“Barangkali fesyen adalah perniagaan seterusnya yang boleh saya fikirkan. Bagaimanapun, buat masa sekarang memang belum ada perancangan untuk membuka butik, saya lebih selesa menjual tudung dan pakaian secara dalam talian sahaja,” jelas Siti.
0 Comment to "Rumah Sit Nurhalizai pernah diserbu 3,000 peminat"
Post a Comment