“Selama 12 tahun saya tidak berhari raya. Saya rindu keluarga dan mahu beraya betul-betul dengan mereka kali ini,” begitu mendatar suara lelaki yang duduk di hadapan kami meluahkan gejolak hatinya yang dipendam selama ini.
Lelaki itu, bicaranya tersusun rapi dan tenang. Sesekali beliau ketawa, diselangi getar suaranya terdengar jelas, bercerita tentang kehidupannya. Beliau, Zamani, vokalis Slam yang pernah mencampakkan benih bahagia yang rimbun hidup dengan untaian hit alunannya termasuk Gerimis Mengundang, Kembali Terjalin dan Jika Kau Rasa Getarnya sejak tahun 90-an sehingga kini.
12 tahun yang disifatkan lompong itu merupakan satu jeda waktu yang panjang buat Zamani. Tempoh tersebut adalah tahun-tahun yang menyaksikan beliau hidup dalam dunianya sendiri sebagai seorang penagih dadah tegar. Maka, 12 tahun yang lalu itu diisi dengan kesendirian kecanduan dadah yang membuatkan beliau mempunyai jarak dengan bukan hanya keluarga tetapi dunia umumnya.
Bertemu di Rumah Pengasih Malaysia (Pengasih), kelibat Zamani segak bergaya dengan sepasang baju Melayu berwarna merah jambu terang. Beliau ramah menyapa kami, membuang rasa kekok yang sempat bertamu di hati. Pertemuan tersebut diisi dengan kisah ‘sungai kehidupannya’, yang banyak menyentuh tentang keluarga dan kedatangan Syawal. Beliau mendengar setiap soalan dengan takzim dan kemudian menjawab pertanyaan kami seikhlasnya. Sesekali dalam bicaranya, Zamani melemparkan senyum tipis.
Senyum tersebut ditelan kelat dengan hakikat mengenai sikap terkilannya kerana kehilangan momen indah Syawal selama 12 tahun lalu.
Jika 12 tahun lalu Ramadan dan Syawal langsung tidak memberikannya apa-apa makna, kini keazamannya sungguh ketara dalam lakaran hidup seorang lelaki bernama Zamani Ibrahim.
Kerinduan, keinsafan Zamani
ZAMANI pertama kali menikmati kemenangan Ramadan dan Syawal selepas 12 tahun tidak mementingkan kehadiran dua bulan mulia ini.
“Sebelum ini pernah juga saya beraya di rumah abang, tetapi seperti tiada beza. Kalau ada saudara mara datang menziarah, saya hanya keluar beramah mesra dengan mereka untuk seketika. Selepas itu saya kembali terperuk di dalam bilik dan hidup dalam dunia sendiri. Ibaratnya saya beraya dalam dunia khayalan yang dicipta.
“Kadang-kadang, bukan kerana pengaruh dadah semata-mata membuatkan saya mengasingkan diri, tetapi wujud rasa segan dengan diri sendiri. Macam mana mahu seronok beraya kalau sebenarnya saya tidak berpuasa. Jadi apa yang ingin saya banggakan dan menyambut hari kemenangan itu?,” ujarnya tanpa berselindung.
Akui Zamani, acap kali air mata lelakinya menitis tatkala malam melabuhkan tirai. Semuanya gara-gara rasa kerinduan yang mendalam mengenang dosa lalu. Apatah lagi kerinduan itu turut terlekat pada memori buat kedua-dua orang tuanya yang sudah lama pergi menghadap Ilahi sejak lebih 18 tahun lalu.
Bapanya, Ibrahim Abdul Majid, meninggal dunia pada tahun 1985, disusuli ibu tercinta, Kamariah Abdul Majid pada tahun 1997. Sejak itu, beliau yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik hidup sepi tanpa kasih sayang orang tua.
“Tahun ini saya mahu melunaskan hajat menziarahi kubur arwah ibu di Keramat. Itu perkara yang paling saya mahu lakukan selain beraya dengan keluarga dan sanak saudara.
“Sebelum ini saya banyak mengabaikan ikatan persaudaraan baik dengan keluarga sendiri mahupun saudara-mara. Jadi, saya rasa Syawal tahun ini merupakan peluang terbaik untuk bersama mereka,” lantunnya dalam nada ceria.
Meskipun memilih untuk beraya di Pengasih pada tahun ini, namun beliau masih berpeluang untuk keluar menjenguk keluarga serta sanak-saudara sementelah keluarganya hanya tinggal berdekatan sekitar Kuala Lumpur sahaja.
Puasa penuh
Hikmah berada di Pengasih membuatkan figura terkenal itu kembali bangkit dari khayalan yang selama ini membelenggu jiwa dan nalurinya. Memasuki bulan Ramadan, cukup lima bulan Zamani menghuni tempat yang meneduhkan limpahan kasihnya buat golongan seperti beliau untuk terus mencari sinar baharu dalam hidup.
Bercerita kisah ibadahnya di Pengasih, penyanyi berusia 44 tahun itu bersyukur kerana dapat menjalani ibadah suci itu dengan penuh tanpa meninggalkannya walau sehari. Malah, momen indah tatkala menjalani solat tarawih dan tadarus secara berjemaah bersama penghuni Pengasih yang lain cukup memberi kesan buat fizikal dan rohaninya.
“Kalau bercakap soal perbezaan Ramadan tahun ini dengan sebelumnya, memanglah ada banyak beza (ketawa). Sudah lama saya tidak menjalankan tanggungjawab wajib seorang Muslim dengan sempurna.
“Maklum, dulu mana pernah puasa, Alhamdulillah tahun ini saya dapat laksanakan rukun Islam ini dengan sebaiknya,” katanya yang juga menjelaskan sejak kecil telah diterapkan dengan ilmu agama daripada ibu bapanya, namun beliau sendiri leka mentaatinya.
Bercerita mengenai proses pemulihannya, Zamani bakal menjadi penghuni Pengasih selama setahun. Kini, beliau mempunyai baki lima bulan lagi untuk benar-benar pulih dan mempunyai kekuatan mental serta fizikal untuk berhadapan dengan godaan dunia luar.
Kata Zamani, andai perancangan itu diizinkan Tuhan, pasti semuanya berjalan lancar. Namun, dalam masa sama beliau tidak mahu terlalu galak mencanang perihal itu. Menyifatkan dirinya sebagai manusia biasa yang terkadang tidak tentu arah tuju dalam hidup, cukuplah jika perancangan itu disusuli dengan kemahuan yang tinggi.
“Saya tetap manusia biasa. Mahu bercakap lebih tentang perkara ini, saya tidak berani. Walaupun sekarang saya sudah bebas najis dadah, tetapi tetap perlu berwaspada. Jujurnya, saya takut bila keluar nanti kembali menagih. Jadi saya perlu memperkemas jati diri agar mampu menikmati hidup normal seperti orang lain,” tuturnya optimis.
Hati
Sambil tersenyum hambar, Zamani memberitahu, pada peringkat awal berada di Pengasih, beliau tidak dapat mengawal perasaan sehingga sampai satu ketika terasa ingin lari dari dunia yang sungguh asing baginya. Tatkala itu, lambaian keluarga kembali memaut erat tangannya supaya bertahan dan jangan mudah terikut dengan perasaan.
“Bulan pertama saya masuk ke sini, memang perasaan memberontak untuk lari sangat kuat. Sebabnya, saya tidak mampu melawan pengaruh dadah. Sehingga masuk bulan ketiga, beransur-ansur saya dapat mengawal perasaan daripada terus dibelenggu dengan najis itu,” akuinya lagi.
Melihat dirinya seperti baru hidup semula, Zamani memberitahu buat masa ini, beliau telah bebas dadah. Sebab itu ketika buat persembahan, terkadang beliau berasa kekok dan janggal. Katanya, kerana selama ini, setiap kali sebelum membuat persembahan beliau akan mengambil dadah agar berasa selesa menghiburkan khalayak.
“Kalau dulu saya menyanyi di bawah pengaruh dadah, perasaan itu lain. Sekarang saya risau jika perasaan itu kurang, maka apa yang saya mahu sampaikan kepada peminat tidak akan sampai dari hati. Sebab saya percaya sesuatu yang ikhlas seperti menyanyi perlu datang dari hati,” luahnya.
Meskipun hidup dalam lingkungan proses pemulihan, namun keberkatan Ramadan membuka seluas-luasnya pintu rezeki buat penyanyi kelahiran Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu. Sejak awal Ramadan, beliau semakin galak mendapat undangan persembahan dalam majlis berbuka puasa.
“Alhamdulillah, rezeki Allah bagi. Walaupun duduk di sini nampak seperti membataskan pergerakan, tetapi sebenarnya pihak Pengasih memberi kelonggaran untuk saya kekal aktif dengan dunia nyanyian. Jika tidak keluar pun, saya tetap boleh bernyanyi di hadapan kawan-kawan lain,” selorohnya gembira.
Cinta
Sebelum pulang, sengaja kami mengusik lelaki yang terkenal dengan sifat pemalunya itu. Kami mengusik beliau tentang hati dan perasaannya. Siapa wanita yang pernah mendiami hati penyanyi yang tanpa sangsi pernah membuat banyak orang tertawan. Beliau hanya tersenyum, lama, dan akhirnya perlahan-lahan membuka cerita.
Sebagai seorang lelaki normal, hatinya pernah ditawan dengan cinta dua wanita. Cinta pertamanya dipupuk sewaktu zaman persekolahan, manakala kasih kedua disimpul sewaktu meniti zaman popular bersama Slam. Hanya dua sahaja pengalaman bercinta dan kedua-duanya tidak mampu dipertahankan seperti salah satu lagu hitnya, Suratan.
“Dua kali bercinta dan sehingga kini saya tidak pasti untuk bercinta lagi buat kali ketiga. Saya bimbang perasaan yang terbit bukan cinta, tetapi hanya getar simpati pada pasangan saya kelak. Namun, saya berharap untuk mendirikan rumah tangga dan punya cahaya mata selepas keluar dari Pengasih kelak. Cuma calonnya saya tidak pasti siapa kerana setakat hari ini belum ada wanita yang mampu merempuh tembok hati saya selepas dua kali gagal bercinta.
“Perkahwinan suatu ikatan suci, jadi kalau berkahwin, saya mahu ia kekal. Saya mahu bertanggungjawab dengan keluarga yang dibina. Doakan saya, ya,” luahnya yang mengaku rapat dengan wanita merangkap pembantu peribadinya, Nur Juliana Abdul Rani yang ditahan bersamanya.
0 Comment to "Kerinduan, keinsafan Zamani Slam"
Post a Comment