KELMARIN kecoh seketika apabila sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu gerai menjual produk tiruan Pelikat Pants BOB Afdlin Shauki di Sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur.
Serbuan dijalankan di bawah Akta Cap Dagangan 1976 susulan satu laporan dilakukan pihak Afdlin, Jumaat lepas.
Empat anggota penguat kuasa diketuai pegawai penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur menjalankan operasi itu di beberapa buah gerai membabitkan rampasan berjumlah RM1,280.
Difahamkan beberapa peniaga lain sempat melarikan diri ketika serbuan dijalankan. Operasi yang bermula pada jam 2 petang itu tamat pada jam 5 petang.
Afdlin ketika dihubungi berkata, dia sudah lama berdiam diri sejak mengetahui namanya diguna pakai oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam menghasilkan dan menjual Pelikat Pants tiruan.
Bagaimanapun setelah Pelikat Pants BOB dipatenkan dua tahun lalu, dia terpanggil untuk bertindak dan mencari pihak yang bertanggungjawab demi kepentingan 60 ejen berdaftar di bawah syarikatnya.
“Sebelum ini saya diam dan beri peluang. Tapi apabila jenama BOB dipatenkan, saya perlu bertindak demi menjaga ejen-ejen berdaftar di bawah saya. Tidak adil untuk mereka kerana mereka mengeluarkan modal untuk menjadi pengedar sah.
“Apabila ada pihak yang menjual produk tiruan dengan paten yang sama pada harga murah, ini akan menjejaskan perniagaan saya dan ejen saya. Semua orang tahu hendak mempatenkan juga menelan kos. Malah dengan menjual harga murah dan menawarkan kualiti rendah, ia merosakkan nama jenama saya,” katanya.
Afdlin berkata, dia akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan guaman kepada pihak pengedar yang menjalankan kegiatan mengedar pelikat pants tiruan itu kepada peniaga.
“Saya berterima kasih kepada penguat kuasa yang sangat efisien. Serbuan juga dijalankan dalam keadaan baik malah rampasan hanya dibuat ke atas produk tiruan Pelikat Pants jenama BOB by Afdlin Shauki sahaja. Barangan lain tidak,” katanya.
Siapa aniaya siapa?
Ditebak dengan pandangan sinis yang mengatakan tindakan menyerbu peniaga kecil ibarat penganiayaan, Afdlin meminta masyarakat faham dan tidak memandang serong tindakan penguat kuasa tersebut.
“Mereka menjual barangan tiruan dengan kualiti rendah pada harga RM50 sedangkan harga sebenar dengan kualiti yang baik adalah RM75. Malah terdapat kedai menjualnya pada harga RM80. Adilkah untuk ejen berdaftar saya yang mengeluarkan kos untuk berniaga secara sah?
“Pada asalnya siapa yang menganiaya siapa. Saya hanya bertindak balas atas perbuatan tidak baik pihak lain yang meniru produk saya. Pada saya jika mahu menghasilkan produk sama, buatlah inovasi yang mempunyai ciri-ciri lain serta tidak menggunakan jenama sama,” sambungnya yang mengakui rugi jutaan ringgit akibat tiruan ini.
Dalam pada itu, Afdlin menitipkan tips kepada penggemar Pelikat Pants BOB agar membezakan kualiti kain sebelum membuat pembelian.
Menurutnya, ejen berdaftar mempunyai tauliah dan surat sebagai ejen. Namun cara paling mudah mengetahui ia original adalah dengan melihat pada sulaman di bahagian belakang kaki, reka bentuk poket dan logo BOB di bahagian belakang serta getah pinggang yang berkualiti.
0 Comment to "Afdlin Shauki lapor polis, ambil tindakan guaman"
Post a Comment