PELAKON mula meningkat naik, Shukri Yahaya, memohon maaf di atas lakonan sebagai Raden Amzar dalam drama bersiri, Dia Isteri Luar Biasa (DILB).
Bergandingan bersama aktres cantik, Fathia Latiff, drama yang mengisi slot Akasia TV3 terbitan Pena Creative Pictures, milik Ziela Jalil dan arahan Jamal itu, sudah tamat siarannya pada Selasa lalu.
Namun sehingga kini, masih ada yang memperkatakan tentang isu babak bersentuhan dilihat agak keterlaluan antara Shukri dan Fathia.
Akur dengan kontroversi yang melanda, Shukri berkata, adegan yang dilakukan itu hanya untuk menunjukkan keserasian sebagai sepasang suami isteri dalam drama itu sahaja.
“Sebenarnya saya mahu hidupkan watak suami isteri itu dan mewujudkan chemistry sahaja, tetapi jika adegan itu dianggap melebihi batas dan salah, saya minta maaf.
“Nak diikutkan drama di Malaysia banyak yang berpegang tangan, dan ada juga poster hero dan heroin siap berdukung, tetapi kenapa isu DILB ini pula menjadi persoalan,” katanya ketika ditemui pada majlis ‘Syukur Selalu Syawal’ anjuran Media Prima, baru-baru ini.
Katanya, sebagai pelakon dia juga terikat dengan kehendak pengarah dengan harapan mahu melakukan yang terbaik untuk lakonannya.
"Saya tidak boleh kata adegan itu tidak sesuai. Dalam apa juga perkara, saya akan bertanya pada pengarah terlebih dahulu dan ikut segala arahannya,” tegasnya.
Mengambil pengajaran dari kontroversi tersebut, Shukri berkata, dia akan lebih berhati-hati selepas ini dan akan lebih bersikap selektif dalam menerima tawaran lakonan.
“Kalau ada tawaran suami isteri, saya tidak mampu mengelak, tetapi saya akan cuba kurangkan adegan terlampau.
“Saya tidak meletakkan syarat tertentu untuk sesiapa mengambil saya berlakon. Tambahan saya masih baharu dan bujang.
“Tetapi, jika dirasakan ia terlalu di luar batasan, awal-awal lagi saya akan menolaknya,” katanya.
0 Comment to "Aksi keterlaluan, Shukri Yahya minta maaf"
Post a Comment