KEHADIRAN dua cahaya mata Putra Rayfal, 2, dan Putri Raysha Jemaima yang kini berusia lapan bulan melengkapi kehidupan aktres jelita, Fasha Sandha dan suaminya Rizal Ashram.
Akui kini berada di fasa kebahagiaan, Fasha sering meletakkan keluarga sebagai fokus utamanya.
“Alhamdulillah, saya berada di fasa bahagia bersama anak-anak dan suami. Kehadiran mereka menambahkan lagi seri hidup saya.
“Walaupun penat menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, namun semuanya berbaloi tambahan pula inilah kehidupan yang seronok,” luahnya ketika ditemui pada Tayangan Eksklusif Program Raya Astro 2015 di Hotel Majestic, baru-baru ini.
Meletakkan keluarga sebagai keutamaan bagaimanapun tidak menghalang pelakon telefilem Hidupku Solatku Matiku ini terus aktif menguruskan bidang perniagaan dan lakonan.
“Alhamdulillah, dalam sibuk menguruskan rumah tangga, saya sempat menguruskan tiga bisnes iaitu Salon Chinta, produk Jemyma dan label Jiwa by FS.
“Jiwa by FS adalah label baju kanak-kanak yang saya dedikasikan kepada anak lelaki saya iaitu Rayfal dan Rayqal, manakala Jemyma untuk anak perempuan saya.
“Suami tidak menyekat aktiviti saya, malah dia suka melihat saya berdikari dalam bidang yang diceburi,” katanya akui lebih selektif dalam memilih tawaran lakonan.
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Fasha memberitahu bakal tampil dengan lakonan filem terbaharu Dukun Doktor Dani arahan Sabri Yunus dan Anak Mami Nasi Kandar arahan Prof Madya A.Razak Mohaideen.
0 Comment to "Sisi bahagia Fasha Sandha"
Post a Comment