KATA Erra keputusannya berhijrah telah difikirkan sebaiknya selepas beliau memperkemas fizikal dan mental.
Bismillah, pertama sekali saya harus menyatakan bahawa tulisan ini tidak dinukilkan untuk bermegah-megah atau menunjuk kehebatan diri selepas berhijrah kerana saya percaya menutup aurat atau tidak, itu hitungan diri sendiri dengan Allah. Siapalah kita sebagai manusia mahu menjatuh hukum sesama kita. Sementelah, bukan saya seorang yang berpeluang diberi kesempatan untuk memperbaiki diri seumpama ini.
Sebaliknya, saya hanya memenuhi permintaan pihak akhbar Kosmo! yang mahu coretan ini lahir dari lubuk hati saya sendiri. Kosmo! mahukan saya menulis tentang penghijrahan yang saya lakukan bukan untuk mempersonakan khalayak, sebaliknya inilah kehidupan yang patut saya jalani dengan sebaiknya. Saya juga diminta berbagi kisah tentang emosi sepanjang penghijrahan saya bermula malam Nisfu Syaaban yang lalu dan bagaimana Ramadan tahun ini memberi sejuta semangat berbeza buat diri saya. Ia signifikan dengan bulan kemenangan iaitu Syawal yang akan diraikan lusa.
Saya, mungkin dikenali sebagai seorang selebriti. Hakikatnya, pada mata sendiri, saya hanyalah seorang wanita yang sangat kerdil dengan pengenalan nama Fazira Wan Chek di sisi Allah SWT walaupun ada yang melabelkan saya sebagai superstar atau primadona negara. Saya berharap agar coretan ini dapat memberi manfaat sesama kita sempena bulan mulia ini.
Saya mengambil keputusan penuh untuk menutup aurat pada malam Nifsu Syaaban 1436/2015 selepas mempersiap fizikal dan mental sejak sekian lama. Ironi, pada usia 12 tahun, saya telah punya keinginan yang besar untuk menutup aurat kerana mahu mengikut rakan. Hasrat itu bagaimanapun minta dipertimbangkan oleh wanita yang melahirkan saya, Azizah Zaik. Emak bimbang mendengar hasrat saya mahu menutup aurat seawal usia 12 tahun yang sebagai orang yang lebih dahulu makan garam, tentu beliau lebih faham mengenai pancaroba dan godaan yang barangkali tidak mampu saya menepisnya. Emak nasihatkan agar saya memikirkan hasrat itu sebaiknya kerana bukan beliau tidak bangga seorang anak semuda saya mahu mentaati agama sebaiknya tetapi beliau bimbang saya akan berubah hati menayang aurat (membuka tudung) saat masa berputar. Akhirnya, hasrat besar itu saya pendamkan.
Masa bergulir, saya menjalani kehidupan seperti yang khayalak lihat. Seawal perjalanan karier bermula dari dunia modelling hingga saya meraih gelaran Ratu Cantik Malaysia/World 1992, penyanyi, pelakon, pengacara dan sebagainya. Pejam celik, telah 20 tahun saya berjuang dalam arena seni ini. Jujurnya, biar emak pernah membantah hasrat saya untuk menutup aurat pada usia muda tapi beliau sebenarnya seorang yang sangat menjaga tatasusila pemakaian saya dan menentang saya memakai pakaian yang terlalu terdedah. Meskipun usia saya mencecah 40-an, beliau masih akan menegur dan memantau setiap pakaian yang saya gayakan selagi tidak terlepas pandang.
Kemudian, hasrat menutup aurat muncul kembali sekitar usia 30-an. Bagaimanapun, sebagai manusia yang lemah, saya mencipta alasan sendiri. Alasan yang saya cipta membabitkan soal karier dan tanggungjawab untuk keluarga. Saya perlu melunaskan banyak tanggungjawab mengenai keluarga yang pada mata kasar khalayak melihat menjadi Erra Fazira itu serba mewah atau kaya, ironinya hanya diri sendiri yang sedar betapa besar tanggungjawab yang digalas di bahu saya.
Sebenarnya juga, saya masih berbolak-balik menutup aurat kerana tidak mahu sekadar menutup ‘kosong’. Seiring keinginan menutup aurat semakin kuat, saya penuhkan rohani yang kosong secara perlahan-lahan. Selain membeli pelbagai jenis tudung dan baju yang jauh lebih sopan berbanding dahulu sebagai satu motivasi. Saya mula menghadiri kelas-kelas agama untuk memantapkan rohani. Ini kerana saya percaya perkara yang baik perlu dipaksa. Melalui paksaan ia akan menjadi rutin dan kemudian rutin yang dilakukan berulang kali akan menimbulkan ikhlas.
Pintu malam Nisfu Syaaban
Beberapa tahun saya mengumpul pengisian rohani dan jasmani itu dan akhirnya, Nisfu Syaaban 1436/2015 menjadi pintu buat saya melangkah deras memeluk impian sejak berusia 12 tahun - menutup aurat.
Jika mengikut perancangan, saya mahu melakukan hasrat tersebut pada bulan Ramadan atau dalam tahun ini juga. Namun, entah bagaimana pada malam tersebut yang diketahui sebagai terbukanya pintu baharu, hati saya bulat untuk berhijrah. Saya bertanya kepada anak saya, Engku Aleesya mengenai keputusan yang ingin diambil juga tak lupa restu ibu. Alhamdulillah semua positif. Pada malam Nisfu Syaaban, saya mengambil masa untuk berdialog dan monolog dengan diri sendiri, minta Allah dorong dan kuatkan iman. Usah dibolak-balik hati ini. Minta diampunkan segala dosa silam. Saya siapkan sehelai tudung untuk dipakai keesokan hari. Saya mahu hidup yang baharu. Alhamdulillah, Allah perkenankan hasrat murni tersebut pada bulan yang mulia itu.
Saya kira ia juga terjadi sebagai ‘balas janji’ kepada Yang Maha Esa. Jika beberapa tahun lalu saya memberi alasan belum bersedia kerana banyak tanggungjawab perlu dilunaskan, namun awal tahun ini semua tanggungjawab besar itu dihapus perlahan-lahan tanpa saya perlu berkejar-kejar seperti dahulu. Justeru, mengapa perlu saya tangguhkan dan apa alasan lagi yang mahu saya reka untuk memberi kembali kepada Pencipta Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah terhadap kehidupan saya sepanjang 40 tahun ini. Jadi saya tidak perlu menunggu sehingga Ramadan untuk melakukan kebaikan kerana Allah.
Kini selepas hampir sebulan lebih berhijrah saya berasa seperti sedang melalui kehidupan baharu. Semuanya serba baharu dan lancar. Tidak ada lagi banyak perkara yang saya bimbangkan kerana sebagai seorang manusia yang hanya mempunyai impian sederhana tetapi diberkati Allah, saya kira penghijrahan ini melengkapkan saya. Ramadan kali ini telah terisi dengan pengisian yang lebih bermakna dan memberi rasa yang tidak boleh saya ungkapkan dengan kata-kata. Semuanya serba lancar dan rasa lebih sempurna. Tidak ada apa lagi yang saya mahukan. Penghijrahan ini juga memberi saya semangat berbeza terhadap diri sendiri.
Saya kini lebih yakin dan berasa damai berjalan seorang diri tanpa perlu risau akan mata-mata nakal yang memandang. Walaupun tertutup, saya rasa bebas. Saya lebih selesa menjadi Erra Fazira yang sekarang. Nikmatnya sukar untuk digambarkan.
Selepas pelbagai dugaan hidup yang dilalui, saya kini lebih memahami dan bersyukur kerana pernah diberi kesempatan melalui jalan tersebut. Apa yang pasti, tidak saya lakukan penghijrahan ini kerana manusia lain. Saya simpati jika masih ramai yang berfikiran sedemikian kerana sebagai seorang manusia yang kurang serba-serbi dan melakukan khilaf yang bukan sedikit hama, tujuan hidup saya kini mencari husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Saya kira semua kita mempunyai matlamat yang serupa.
Mencari husnul khatimah. Doakan saya semoga istiqamah dan semoga Syawal tahun ini saya mampu beroleh kemenangan di mata Allah.
Dalam kesempatan ini juga, saya Erra Fazira ingin memohon maaf jika banyak melakukan khilaf tanpa atau dengan sengaja pada semua. Selamat menyambut Syawal dengan meriah bersama orang tersayang. Maaf Zahir & Batin.
0 Comment to "Erra Fazira Mencari Husnul Khatimah"
Post a Comment