Wednesday, 15 July 2015

Fizz, Almy teruja sambut lebaran


Fizz, Almy teruja sambut lebaran.

TANYA saja pada mana-mana pasangan yang sudah berkahwin, pastinya sambutan Aidilfitri menjadi lebih bermakna selepas menerima kedatangan ‘orang baharu’ dalam keluarga.

Apa tidaknya, sebelum ini hanya beraya berdua, bahkan persiapannya pula dilakukan secara ala kadar saja.

Bagaimanapun, apabila dikurniakan cahaya mata pertama ia sekali gus menimbulkan perasaan teruja dalam diri pasangan ibu bapa terbabit.

Rasa teruja itu turut dialami oleh pasangan selebriti, Fizz Fairuz dan Almy Nadia yang nyata tidak sabar meraikan Syawal bersama-sama buah hati mereka, Nur Afrina Arianna, yang kini berusia lima bulan.

Bahkan, baik Fizz mahupun Almy, kedua-duanya mengakui kini lebih mengutamakan persiapan dan kelengkapan si kecil termasuklah anak angkat mereka, Nur Afrina Darwisyah, yang kini berusia enam tahun.

Biarpun sibuk dengan jadual penggambaran, Fizz mengakui sentiasa mencari masa terluang untuk melengkapkan persiapan buat si kecil.


"Tahun ini, saya sangat seronok dan teruja kerana buat pertama kalinya dapat beraya bertiga.

"Pasti saja, persiapan raya kali ini, lebih kepada si kecil manakala buat kami suami isteri cukuplah sekadar apa yang perlu saja.

"Apabila keluarga dah bertambah ini, saya juga perlu bijak dalam berbelanja,” katanya sambil tergelak.

Tambah Almy, meskipun anak angkatnya kini menetap bersama ibunya, Roshida Hashim di Pulau Pinang, itu tidak bermakna tanggungjawabnya akan diabaikan begitu saja.

"Ya, memang apabila sudah punya anak ini, setiap keperluan dan kelengkapan seperti baju dan kasut semuanya lebih kepada anak.

"Dua-duanya dapat sama rata. Baru adil. Lagipun, si kakak memang sangat sayangkan adiknya. Apa yang dia dapat, adik pun kena dapat sama. Saya memang sudah mempraktikkan sejak dari awal lagi," katanya.

Pada masa sama, pelakon berusia 29 tahun ini turut menzahirkan rasa syukurnya kerana dikurniakan bayi yang tidak banyak ragam dan senang dijaga sementelahan lagi Almy kini lebih selesa menguruskan sendiri anaknya tanpa mendapatkan khidmat daripada pembantu rumah.

Oleh kerana ini pengalaman pertama bergelar ibu, kata Almy, dia juga kerap merujuk kepada orang tuanya untuk meminta nasihat tentang penjagaan bayi.

"Arianna juga menyusu badan sepenuhnya. Jadi buat sementara waktu ini saya lebih suka menjaga sendiri anak saya daripada menggunakan orang luar.

"Biarlah saya dan suami saja yang memikul tugas menjaga anak," katanya lagi.


Giliran rumah mertua

Pada masa sama, Almy juga bakal menimba pengalaman baharu apabila berpeluang menyambut ketibaan 1Syawal di rumah mertuanya di Raub, Pahang.

"Berbeza tahun lalu, kami beraya di rumah ibu saya di Pulau Pinang. Kiranya, ini tahun pertama sambutan Aidilfitri di rumah mertua.

"Perasaan berdebar itu pasti ada. Malah, saya juga tak dapat membayangkan bagaimana sambutannya di rumah mertua nanti.

"Mungkin, emosi saya tak tentu hala kerana buat pertama kalinya beraya tanpa keluarga di sisi. Tak tahu macam mana nak berdepan saat mendengar takbir di malam raya. Nak tsunami, hujan lebat atau hujan renyai," jelas Almy saat ditanya mengenai perasaan yang bakal dihadapinya menjelang 1Syawal nanti.

Sebagai anak sulung, jelas Almy, perbezaan pasti jelas terasa memandangkannya adalah ‘orang kanan’ ibunya.

Segera ditenangkan suaminya yang berada di sisi, Fizz memberitahu, suasananya mungkin sedikit berlainan lantaran persiapan menyambut Hari Raya di kampungnya biasanya dilakukan oleh adik-beradiknya.

"Ikut rancangan asal, kami akan pulang ke kampung tiga hari sebelum menjelang Syawal.

"Insya-ALLAH, selepas raya ketiga barulah kami akan pulang ke rumah keluarga Almy di Pulau Pinang.

"Kemudian, kami akan pulang ke Kuala Lumpur kerana saya terikat dengan jadual penggambaran filem Hantu Rumah Sakit Jiwa pada 23 Julai ini," kata Fizz mengakhiri perbualan.

- Fizz, Almy teruja sambut lebaran

SHARING GOOD

0 Comment to "Fizz, Almy teruja sambut lebaran"

Post a Comment