Wednesday, 15 July 2015

Nora, Hanis dahulukan insan tersayang


Nora Danish dan Hanis Zalikha

DI sebalik kejayaan seorang wanita, pastinya terdapat insan tersayang yang sentiasa menyokong di belakangnya.

Kehadiran individu penting itu juga mampu menjadi kekuatan buat seseorang meneruskan kehidupan lebih bermakna.

Kejayaan yang dilakar mewarnai karier yang dibina dirasakan tidak lengkap tanpa insan istimewa di sisi.

Buat figura terkenal, Nora Danish dan Hanis Zalikha keluarga sentiasa menjadi keutamaan dalam kehidupan mereka lebih-lebih lagi menjelangnya kehadiran Syawal yang jatuh pada Jumaat ini.
Sejak bergelar ibu tunggal, teraju utama filem Suamiku Ustaz ini mengakui sentiasa mendahului anaknya Putera Ryqal, 6 dalam segala perkara.

“Alhamdulillah, persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini semuanya saya sediakan sederhana dan apa yang lebih penting adalah buat Ryqal.

“Memandangkan kami tidak merasa beraya di kampung, saya mahu menggembirakan Ryqal untuk merasai kemeriahan hari raya.

“Tambahan pula tahun ini Ryqal sudah mula belajar berpuasa, jadi biarlah dia rasai kemeriahannya,” luahnya ketika ditemui pada majlis Iftar Safi di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Berbeza pula dengan pengacara program Raikan Cinta, kehadiran lebaran tahun ini membawa seribu satu kebahagiaan buat dirinya apatah lagi kali pertama dia bakal menyambutnya bersama suami tercinta, Hairul Azreen.

“Pastinya tahun ini lebih meriah dengan kehadiran suami di sisi. Persiapan raya juga berganda tidak seperti dahulu lagi.

“Paling seronok memiliki keluarga yang lebih besar dan saya dan suami akan lebih mengenali saudara mara masing-masing dan ikatan persaudaraan akan menjadi lebih rapat,” katanya teruja.


Erat silaturahim

Kehadiran Aidilfitri setahun sekali menjadikan semua umat Islam teruja menyambutnya dengan penuh meriah mengikut cara yang tersendiri.

Enggan berlebih-lebihan dalam membuat persiapan, Nora akui pengertian Syawal sebagai masa yang sesuai menziarahi sanak saudara adalah lebih bermakna.

“Pada kebiasaannya, selepas bermaaf-maafan dengan keluarga, saya dan Ryqal akan ke rumah bekas mertua saya dan itulah rutin setiap pagi raya kami sebelum menziarahi saudara-mara yang lain.

“Mereka masih keluarga saya tambahan pula itulah masanya Ryqal bersalaman dengan ayahnya.

“Ikatan silaturahim antara saya dan keluarga itu tidak akan terputus dengan kehadiran Ryqal. Saya juga telah menganggap mereka sebagai keluarga sendiri,” katanya yang akui akan ketinggalan beraya ke rumah keluarga teman lelakinya, Nedim Nazri di Shah Alam.

Kemanisan hidup berumah tangga telah memancarkan sinar kebahagiaan buat Hanis tambahan pula inilah Syawal pertama disambut bersama suami tercinta.

“Hampir dua bulan berkahwin, saya akui bahagia dengan kehidupan sekarang.

“Lebih seronok apabila dalam masa yang singkat itu, saya dapat merasai sambutan Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.

“Memang teruja kali ini persiapan saya lakukan bersama suami dan tahun kami memilih tema warna hijau untuk baju raya kami.

“Saya juga bersyukur kerana dapat orang Lembah Klang, jadi setiap tahun kami tidak perlu berebut untuk balik beraya di rumah keluarga,” katanya.


Rahsia lokasi percutian

Selain terlibat dalam bidang lakonan, Nora kini membuka cabang baharu dalam hidupnya dengan pembukaan kafe Kopi & Xoxo bersama rakan kongsi yang lain sejak beberapa bulan lalu.

“Alhamdulillah, sambutan yang kami terima amatlah memberangsangkan. Sepanjang Ramadan ini juga pelanggan yang datang tidak pernah putus.

“Atas sambutan itu juga, kami merancang untuk memanjangkan masa operasi namun semuanya bergantung pada kapasiti pekerja.

“Pekerja adalah salah satu cabaran buat kami uruskan kafe ini, tambahan pula rakan kongsi semua perempuan dan memerlukan pekerja yang tetap,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nora memberitahu terlibat dengan penggambaran drama 60 episod ‘Rumi dan Jawi’ bergandingan dengan aktor Remy Ishak.

“Sebelum terlibat dengan penggambaran ini, saya akan bawa keluarga untuk bercuti di luar negara dan lokasinya terpaksa yang rahsiakan demi faktor keselamatan kami,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.


Hanis percaya suami

Sejak mendirikan rumah tangga, Hanis mengakui suami tidak meletakkan sebarang syarat untuk dia menjalani karier seninya.

“Sebenarnya sejak sibuk buat persiapan kahwin sehinggalah hari ini, saya masih belum bekerja dan masih dalam mood bercuti.

“Buat masa ini, Hairul tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada saya untuk bekerja malah dia sendiri yang meletakkan syarat buat dirinya sendiri.

“Kami banyak luangkan masa bersama kerana dalam tempoh ini Hairul hanya menerima tawaran telefilem yang hanya melibatkan masa yang singkat,” katanya.

Pada masa yang sama, Hanis yakin sebagai seorang pelakon dan suami, Hairul mengetahui batasan sekiranya digandingkan dengan pelakon wanita lain

“Sejujurnya, sepanjang dia berlakon belum ada babak yang buat saya terpaksa meletak syarat kepadanya.

“Dia sendiri pun pandai jaga diri sendiri dan saya percaya padanya.

“Tidak kisahlah dia akan bergandingan dengan sesiapapun dalam lakonan, yang penting sepanjang mengenali, Hairul tidak pernah melakonkan babak yang melampaui batas,” katanya.

- Nora, Hanis dahulukan insan tersayang

SHARING GOOD

0 Comment to "Nora, Hanis dahulukan insan tersayang"

Post a Comment