Wednesday, 29 July 2015

Fouziah Gous Hamil 5 bulan, Hadiah ulang tahun perkahwinan


DALAM diam sudah hampir dua tahun pelakon dan pengacara jelita ini mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta Zhafran Yusof.

Di sebalik kebahagiaan rumah tangga mereka, keduanya mengakui tidak kisah dikurniakan cahaya mata di awal perkahwinan atau bila-bila masa sahaja kerana yakin zuriat adalah urusan ALLAH SWT.

Dek kerana itu walaupun sering diajukan pertanyaan berkaitan kehamilan, wanita berusia 32 tahun ini sangat tenang menjawab dan tidak pernah berasa tertekan.

Seperti mendengar doa suaminya, Fouziah Gous berkata, dia tidak menyangka ulang tahun perkahwinannya yang kedua September nanti diberikan hadiah paling berharga oleh ALLAH SWT kepada mereka.

"Sebelum ini memang kami tidak kisah apabila saya masih belum hamil. Lagipun saya dan suami bercinta selepas nikah. Jadi di awal perkahwinan itu memang kami masih dalam proses mengenali diri masing-masing.

"Selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga, tiba-tiba suami menyuarakan hasratnya untuk mempunyai anak dan ketika itulah keajaiban berlaku apabila pada bulan Mei lalu saya disahkan hamil," ujar Fouziah usia kandungannya kini sudah mencecah lima bulan.

Bicaranya yang sedang popular sebagai hos program TV Nona ini, dia bagaimanapun sangat bersyukur kerana sepanjang proses kehamilan, dia tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.


"Setakat ini semuanya ok sahaja. Mula-mula dahulu adalah rasa badan gatal-gatal, tetapi sekejap sahaja sudah hilang," katanya turut tidak mengidam.

Berkongsi perasaan suaminya pula, akui Fouziah, Zhafran adalah insan yang paling gembira apabila mendapat tahu khabar gembira itu.

"Semuanya berlaku di saat dia mula bersedia bergelar seorang ayah. Jadi memang dia seronok sangatlah.

"Malah, tanggungjawabnya sebagai suami semakin menjadi-jadi kini. Sekejap-sekejap dia tanya, nak makan apa, nak minum apa, ada sahaja yang dirisaukan," katanya.

Dalam pada itu, akui Fouziah, meskipun hamil, dia tidak pernah bermalas-malas dan menyerahkan semua tanggungjawabnya kepada suami semata-mata.

"Raya ni pun saya masih di dapur menyiapkan juadah seperti orang lain. Lagipun bagi saya hamil bukan alasan untuk kita hanya berehat dan tidur sahaja.

"Tetapi ia bukan bermakna saya tidak menjaga kandungan, sebaliknya saya tidak akan sesekali melakukan kerja-kerja berat seperti mengangkat barang dan sebagainya.

Disiplinkan diri

Mengakui kehamilan tidak pernah mengganggu tugasannya sebagai hos Nona, kata Fouziah, dia sebaliknya semakin selesa menggalas tanggungjawab tersebut walaupun sedang berbadan dua.

"Pada awalnya ada juga terfikir hendak menarik diri sahaja, tetapi sokongan dan kepercayaan pihak penerbitan membuatkan saya meneruskan tugasan tersebut.

"Lagipun untuk mengelakkan saya lesu atau pitam sewaktu penggambaran, saya biasanya akan makan suplemen dan memastikan perut tidak kosong sebelum keluar bekerja.

"Setakat ini memang tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang sesi penggambaran," katanya baru sahaja menjalankan penggambaran bagi episod Nona ke 31.

Menurutnya, dia sentiasa mendisiplinkan diri supaya tidak menyusahkan orang lain ketika bekerja.

"Bayangkan saya satu-satunya hos Nona yang mengendalikan program itu ketika hamil. Memang rasa luar biasa, jadi saya tidak mahu jadikan hamil alasan untuk saya buat sambil lewa sahaja," jelasnya.

Tambahnya, setakat ini dia tidak pernah mengehadkan sebarang kerja yang perlu dilakukan untuk Nona.

"Sebelum ini pun saya sudah melakukan kerja-kerja outdoor, rasanya untuk indoor tidak menjadi masalah bagi saya. Selagi ia tidak menjejaskan kandungan, saya ok sahaja," katanya.

Ditanya apakah dia pernah mengimpikan bayi lelaki atau perempuan, Fouziah memberitahu, dia dan suaminya tidak kisah dengan jantina bayi mereka asalkan anak yang dilahirkan nanti sempurna dan sihat.

"Ini anak pertama kami, kami hanya doakan yang terbaik untuknya," jelasnya.

- Fouziah Gous Hamil 5 bulan, Hadiah ulang tahun perkahwinan

SHARING GOOD

0 Comment to "Fouziah Gous Hamil 5 bulan, Hadiah ulang tahun perkahwinan"

Post a Comment