SEJAK mencipta nama menerusi drama bersiri Cinta Ibadah, Hisyam Hamid kini semakin rancak menerima tawaran seni dan telah diberi kepercayaan terbabit dalam alih suara filem Transformers: Age of Extinction menerusi watak Optimus Prime.
Teruja dengan tanggungjawab diberi, Hisyam memberitahu, dia menggunakan pengalamannya bersama anak-anak menjayakan program alih suara tersebut.
“Secara peribadinya, saya dengan anak-anak memang sangat meminati siri Transformers.
“Kalau di rumah, kami selalu bermain, bergurau dan lakonkan aksi serta suara robot-robot dalam filem itu dan paling saya suka, Optimus Prime.
“Jadi, saya aplikasikan saja cara tersebut ketika melakukan proses pengalihan suara. Seronok melakukannya,” katanya.
Menyifatkan peranannya itu mencabar, Hisyam mengakui agak sukar mengekalkan momentum suaranya.
“Apa yang penting, suara perlu sama sepanjang masa. Dalam tempoh lapan jam, suara saya hampir-hampir pecah.
“Walaupun suara saya tak hilang tapi tekak saya agak perit juga. Tapi, ini adalah satu pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.
Tambah Hisyam, ini adalah penglibatan kali keduanya dengan projek HBO selepas pernah menjayakan filem Despicable Me 2 versi bahasa Melayu, tahun lalu.
Selain Hisyam, antara selebriti lain yang terlibat dalam projek ini, Fahrin Ahmad, Faizal Ismail, Ahmad Nabil, Sharnaaz Ahmad, Ayda Jebat, Akim Ahmad, Hazama, Syazwan Zulkifli, Scha Alyahya, Elizabeth Tan, Fakhrul Razi dan Syafiq Kyle.
Kisah aksi epik ini bakal bersiaran di saluran HBO/ HBO HD (411/431) pada Hari Raya Pertama kelak, 17 Julai (Jumaat) jam 9 malam.
Hisyam juga kini sedang terbabit dalam penggambaran telenovela 148 episod, Memori Cinta Suraya.
Ramadan lebih bermakna
Sementara itu, pelakon kacak ini mengakui sambutan Ramadan tahun ini lebih bermakna sementelah ahli keluarganya kini berada di sisinya.
“Alhamdulillah. tahun ini saya tak keseorangan lagi di Kuala Lumpur seperti tahun lepas. Isteri dan anak-anak semuanya berada di sini. Suasana terasa lain terutamanya ketika bangun bersahur dan berbuka.
“Kalau tahun lepas, semuanya saya kena siapkan sendiri sehinggakan bangun bersahur pun hanya masak meggi. Tapi tahun ini, semuanya telah lengkap tersedia.
“Balik saja dari kerja, saya disambut anak-anak dan isteri selain dapat berbuka puasa bersama-sama,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas majlis pelancaran Transformers: Age of Extinction dalam versi bahasa Melayu anjuran saluran HBO.
Bukan itu saja, pelakon drama bersiri Ariana Rose itu juga beranggapan sambutan Ramadan di negara ini lebih meriah berbanding di tanah kelahirannya, Singapura.
Bahkan, aktor berusia 28 tahun itu sangat menggemari kemeriahan bazar Ramadan di negara ini.
“Saya ini seorang yang suka makan. Sebab itu, saya tak kisah untuk ke mana-mana lokasi bazar Ramadan bersama keluarga.
“Walaupun di Singapura ada bazar Ramadan, tapi ia tak semeriah di negara ini. Dari Kampung Baru sehinggalah ke Wangsa Maju. Banyak juadah makanan tersedia. Paling saya suka kambing golek. Pasti kecur liur dibuatnya,” katanya.
0 Comment to "Hisyam Hamid jadi Optimus Prime"
Post a Comment