SAAT ini, hati selebriti yang bernama Mariah Carey sedang berbunga ceria dek penangan cinta yang terserlah daripada sang kekasih.
Masakan tidak, hanya selang enam bulan bercerai iaitu pada Disember tahun lalu dengan bekas suaminya, Nick Cannon, penyanyi yang popular dengan lagu My All ini dikhabarkan mula mesra dengan seorang jutawan dari Australia bernama James Packer.
Hubungan mereka juga semakin intim dan Carey dilihat semakin terbuka berkongsi kisah percintaannya itu.
Menguatkan lagi hubungan, Carey dikatakan menerima seutas rantai berlian daripada jutawan Australia itu.
Malah menerusi Daily Mail, rantai 18 karat berbentuk hati itu dianggarkan bernilai sehingga AS$500 ribu (RM1.9 juta).
Teruja dengan hadiah istimewa daripada kekasihnya itu, Carey turut merakam dan memuat naik foto dirinya memakai rantai tersebut menerusi akaun Instagramnya dan seterusnya menjadi perhatian ramai peminat.
Pemberian terindah itu dilakukan sebelum Carey membuat persembahan di Caesars Palace Colosseum, Las Vegas, baru-baru ini.
Pemberian istimewa itu, sekali gus menolak semua khabar angin mengatakan hubungan pasangan ini sudah berakhir.
Malah, Carey turut mengambil peluang mendedahkan status sebenar hubungannya bersama jutawan itu ketika mengadakan konsert di Las Vegas itu.
“Saya punya hati yang baharu malam ini (ketika itu). James ada di dalamnya sekarang.
“Dia juga pahlawan untuk saya,” katanya.
Menelusuri permulaan bibit percintaan mereka beberapa bulan yang lalu, penyanyi berusia 45 tahun itu dilihat mula bercuti bersama kekasihnya itu di Pulau Capri, Itali menggunakan jet peribadinya.
Pasangan itu dilihat berpegangan tangan ketika bersiar-siar di sekitar Capri sebelum terbang ke Cannes dan St Tropez bagi meneruskan percutian.
Menurut laporan Forbes, James, 47, memiliki kekayaan dianggarkan berjumlah AS$4.6 bilion (RM17.2 bilion) menerusi rangkaian perniagaan hotel dan casino di Australia dan beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat.
James juga adalah lelaki keempat terkaya di Australia.
Perkenalan pasangan itu bermula setelah pengarah filem, Brett Ratner memperkenalkan James kepada Carey selepas beberapa bulan James memintanya untuk dipertemukan dengan penyanyi lagu Butterfly itu.
Pesanan bekas suami
Di saat Carey sedang menikmati saat terindahnya bersama sang kekasih, pastinya ada yang ingin mengetahui pula reaksi bekas suaminya, Nick Cannon mengenai perkembangan bekas isterinya itu.
Menurut sumber yang dipetik dari E! Online, Cannon melihat perkara itu sebagai satu yang positif buat Carey.
Melalui sebuah wawancara E! News dengan satu sumber juga memberitahu, Cannon sentiasa menginginkan Carey bahagia selepas berpisah dengannya.
“Dia juga merasakan selagi anak-anaknya berada di bawah jagaan yang baik, maka dia sentiasa menyokong setiap keputusan dibuat Carey,” kata sumber tersebut.
Selain sibuk dengan hal peribadinya, Carey mempunyai perkembangan terbaharu dalam bidang muzik apabila namanya terpilih diabadikan dalam Hollywood Walk of Fame.
Ia hasil usahanya selama lebih dua dekad berkarya dan menjual lebih daripada 200 juta keping album di seluruh dunia, justeru namanya akan sebaris dengan bintang terkenal seperti Elvis Presley dan John Lennon, secara rasminya pada 5 Ogos depan.
“Terima kasih banyak kepada peminat dan penyokong yang mewujudkan semua ini untuk saya,” kata Carey menerusi Twitter miliknya.
Mariah terkenal dengan jolokan bintang pop dunia sejak 1990 dan penyanyi itu juga memenangi lima Grammy Awards sepanjang kerjayanya.
0 Comment to "Mariah Carey terima rantai berlian RM1.9 juta"
Post a Comment