MUNGKIN tiga wanita ini kurang popular jika dibandingkan dengan selebriti tempatan. Namun, bagi penonton setia TV Alhijrah, wajah mereka pastinya tidak asing lagi. Jom kita ikuti momen Aidilfitri ketiga-tiga hos ini.
Bagi pengacara program Assalamualaikum ini, Nadzirah Sharingat, sambutan hari raya di zaman kanak-kanak adalah yang paling dirindu.
Hari raya dirasakan sebagai masa paling sesuai untuk memastikan wang tabungan semakin bertambah. Bahkan, paling tidak sabar adalah untuk menyarung baju raya yang telah siap disediakan untuknya.
"Aidilfitri zaman kanak-kanak dan dewasa tentunya satu pengalaman berbeza. Namun, malam raya, tetap menjadi saat yang paling menyeronokkan kerana kami sekeluarga saling bekerjasama menyiapkan persediaan makanan, menghias rumah demi menyambut kedatangan sanak-saudara dan rakan-rakan," kata anak jati Tanjong Karang, Selangor ini.
Memilih beraya di kampung suami di Teluk Intan, Perak, tahun ini, akui Nadzirah, kali pertama menyambut hari raya sebagai wartawan penyiaran pada 2011 di TV Alhijrah, banyak mengajarnya erti pengorbanan.
"Meskipun, Aidilfitri hari yang sangat dinantikan, tugasan tetap perlu dilaksanakan demi menyediakan rancangan terbaik untuk penonton Assalamualaikum. Balik kampung ketika malam atau pagi raya bukan pengalaman luar biasa kerana masih ada rakan-rakan lain yang terpaksa bertugas di hari raya pertama, kedua dan ketiga," katanya tahun ini antara Aidilfitri yang paling membahagiakan kerana telah bergelar isteri lima bulan lalu.
Dalam pada itu, kata Nadzirah, dia masih terkenangkan arwah datuknya yang kembali ke rahmatullah tiga tahun lalu.
"Saya rasa agak terkilan, setibanya saya di kampung pada pagi raya, datuk terlantar di katil hospital dalam keadaan yang amat menyedihkan. Saya tidak pernah diberitahu tentang situasinya yang agak kritikal sebelum ini. Itulah kali terakhir saya menatap wajah dan mencium tangan halusnya," katanya sewaktu insan lain gembira menyambut hari kemenangan itu, mereka sekeluarga menangisi pemergiannya.
Impi Syawal di Makkah - Nurazidah
Pengacara Majalah Islam ini memberitahu, dia dan suaminya memasang impian untuk menyambut Aidilfitri di Makkah sementelah pengalaman berada di sana baru-baru ini telah memberikan seribu satu makna kepada mereka.
Jelasnya, meskipun tidak tahu bila impian mereka dapat ditunaikan namun dia berharap ALLAH SWT memberi peluang dan menjemput mereka sekali lagi ke rumah ALLAH itu.
Bagaimanapun, akui Nurazidah Mohamed ini meraikan lebaran di sini juga adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
"Setiap tahun, Aidilfitri adalah pengalaman berharga bagi saya kerana itu adalah hari kemenangan bagi semua umat Islam. Tetapi, 2012 adalah tahun yang paling menggembirakan buat saya kerana pertama kali menyambut Aidilfitri bergelar isteri. Malah suasana menjadi lebih meriah apabila dapat berkenalan dengan lebih rapat dengan saudara-saudara sebelah suami.
"Walaupun itulah kali pertama saya beraya jauh dari keluarga, namun saya gembira kerana mereka tetap berhubung dengan saya," katanya berharap tahun seterusnya Aidilfitri menjadi lebih meriah dengan kehadiran zuriat.
Pulang meraikan Aidilfitri di Johor Bahru dan Singapura tahun ini, akuinya, masakan Johor seperti lontong dan nasi impit adalah menu wajib yang perlu ada di hari raya.
"Jika pulang ke kampung Melaka pula, saya juga sangat gemar dengan dodol yang dibuat sendiri oleh arwah nenek sebelum ini," katanya yang memulakan tugasan pada raya ketiga tahun ini.
Syafinaz terkenang arwah bapa
Berbeza pula dengan pembaca berita TV Alhijrah ini, tahun lalu merupakan sambutan Syawal yang paling duka dalam kehidupannya.
Kata Syafinaz Yunus, pemergian bapa tercinta tahun lalu menjadikan hari raya dia dan keluarga menjadi suram dan tidak bermakna.
"19 Syawal tahun lalu tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Hari raya pertama pun seakan tidak bermakna kerana arwah ayah tidak sihat. Dan itu merupakan sambutan terakhir Syawal kami bersama arwah bapa. Ia juga kali terakhir saya mengucup tangan ayah di pagi Aidilfitri. Apa pun, saya doakan semoga arwah bapa ditempatkan bersama para solihin," katanya.
Dalam pada itu, akui Syafinaz, tahun 2012 merupakan Syawal yang sangat berharga kepadanya kerana itulah kali pertama dia meraikannya bersama suami dan anak tersayang.
"Ketika itu, semuanya baru, pengalaman baru dan hidup baru. Persediaan raya pun lain daripada yang lain. Jika sebelum ini sibuk membeli belah untuk diri sendiri namun bila dah berkeluarga kita membeli-belah bersama-sama. Hari raya pertama lebih meriah dan bermakna kerana riuh dengan keletak anak," ujarnya setiap tahun meraikan Aidilfitri di Melaka dan Mantin, Negeri Sembilan.
Tambahnya, seperti insan lain, sudah menjadi kewajipannya bersama keluarga untuk mengemas rumah, membakar lemang, menganyam ketupat, memasak rendang dan kuah kacang bersama-sama.
Katanya, dia hanya bersiap sederhana untuk Aidilfitri kerana lebih mengutamakan anaknya, Raikhan Wildan, 3.
0 Comment to "Personaliti TV Alhijrah kongsi momen Aidilfitri"
Post a Comment