Wednesday, 8 July 2015

Zur Eda Terima Rawatan Disyaki Masalah Buah Pinggang


Zur Eda kini masih mendapat rawatan di PPUM.

Penyanyi terkenal tahun 1980-an, Zur Eda, 50, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada malam Selasa selepas mengadu sakit perut dan muntah.

Anak sulungnya Siti Sarah, 26, berkata, setakat ini doktor masih membuat pemeriksaan lanjut terhadap ibunya bagi memastikan punca sebenar penyakit yang dihadapinya itu.

"Dia sudah beberapa hari demam dan semalam dia mengadu sakit perut dan muntah, kira-kira pukul 12 malam kami bawa dia ke hospital.

"Buat masa ini keadaan dia masih lemah dan pihak hospital sedang buat rawatan lanjut untuk mencari punca sakit perut tersebut, sebentar lagi dia akan dibawa menjalani ujian ultra sound," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.


Penyanyi yang popular dengan lagu Kelmarin itu pernah membuat pembedahan buah pinggang akibat dijangkiti kuman di PPUM pada Oktober 2009.

Tambah Sarah, doktor ada mengesyaki sakit dialami ibunya itu sama seperti sakit buah pinggang yang pernah dialami empat tahun lalu.

Bagaimanapun, kata Sarah, dia enggan mengulas tentang penyakit yang dihidapi ibunya sehingga ia disahkan sendiri oleh doktor.

"Saya tidak boleh cakap apa-apa tentang penyakit itu selagi doktor tidak sahkannya menerusi pemeriksaan mereka. Cuma doktor ada beritahu ia sama seperti sakit sebelum ini yang melibatkan buah pinggang," ujarnya.

Sementara itu, Sarah mengakui keadaan kesihatan ibunya terjejas kerana terlalu sibuk berniaga pada bulan Ramadan.

"Dia terlalu penat dan sepanjang Ramadan ini sibuk berniaga biskut raya, mungkin disebabkan itu keadaan kesihatan terjejas," ujarnya.

Zur Eda berkahwin dengan Zulkifli Mohd Yusoff dan dikurniakan dua cahaya mata Siti Sarah, 26, dan Mohd. Naqib, 19.

- Zur Eda Terima Rawatan Disyaki Masalah Buah Pinggang

SHARING GOOD

0 Comment to "Zur Eda Terima Rawatan Disyaki Masalah Buah Pinggang"

Post a Comment