DUO kembar yang semakin membina nama dalam persada industri seni tanah air, Aisha (kiri) dan Hanim menyifatkan kedua-dua single mereka yang dijadikan runut bunyi drama popular mampu membantu menaikkan nama Aisha Hanim.
LINGKUNGAN usia pertengahan 30-an bukan suatu alasan yang mengekang pendatang baharu dalam lapangan muzik tanah air, Aisha Hanim untuk mengukir nama sebagai penyanyi.
Bagi yang belum mengenali pemilik nama berkenaan, Aisha Hanim mudah dianggap sebagai penyanyi solo. Namun, Aisha Hanim merupakan gabungan dua nama dan mereka sebenarnya sepasang kembar!
Hadir dalam industri seni dengan single pertama berjudul Mata Kunci Cinta sebagai pengenalan diri, Aisha atau nama sebenarnya, Nooraisha Farizan Abu Bakar dan Hanim atau nama sebenarnya, Hanim Fariza mula dikenali ramai selepas lagu tersebut menjadi runut bunyi bagi beberapa buah drama popular.
“Saya rasa tiada masalah dengan usia lewat sebegini. Lagu yang dibawa juga bersesuaian dengan imej dan suara kami, jadi rasanya tidak timbul soal usia.
“Walaupun kami baru bergelar penyanyi dalam industri secara rasmi sejak setahun lepas, tetapi pengalaman dalam bidang nyanyian selama 15 tahun memberi bonus buat kami sebelum melangkah dalam industri. Sekurang-kurangnya perlu ada sedikit ilmu sebelum mencuba sesuatu yang baharu,” tutur Hanim mesra.
Menyelak cerita mengenai perjalanan mereka sebelum bergelar artis di bawah syarikat rakaman Universal Music, kembar kelahiran Ipoh, Perak itu memberitahu, impian untuk memiliki lagu sendiri sudah lama dipendam.
“Sebelum ini kami sudah banyak menyertai pertandingan nyanyian, namun rezeki tidak memihak kepada kami. Sehingga akhirnya impian untuk mempunyai lagu sendiri menjadi nyata selepas bertemu dengan komposer Ajai.
“Pada ketika itu juga, Ajai bersetuju kerana dia menganggap penyanyi kembar sebagai sesuatu yang unik. Sudah lama industri kita tidak mempunyai penyanyi kembar. Jadi dia menerima kami dengan tangan terbuka.
“Selepas mendengar kesesuaian nada, imej dan suara kami, barulah dia putuskan untuk menghasilkan lagu Mata Kunci Cinta dan single kedua, Benar Cinta. Alhamdulillah, penantian bertahun-tahun kami kini berbaloi,” tutur mereka ceria.
Ironi, meskipun baru kini nama mereka dikenali ramai, namun sebenarnya Aisha dan Hanim masing-masing pernah mencuba nasib dalam bidang nyanyian dalam pelbagai pertandingan sementelah kerjaya mereka sebelum ini adalah penyanyi di Majlis Bandaraya Ipoh.
Aisha berkhidmat di Majlis Bandaraya Ipoh selama 15 tahun serta aktif membuat pelbagai persembahan, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan memberi fokus kepada bidang nyanyian sejak setahun lalu. Begitu juga dengan kakaknya, Hanim yang pernah bekerja di tempat sama selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan untuk bekerja sendiri.
Hanim, pernah bergelar juara bagi sebuah program nyanyian Girl Are You Ready di sebuah stesen televisyen tempatan sekitar tahun 2001. Aisha pula yang sebelum ini telah berkhidmat sebagai penyanyi di Majlis Bandaraya Ipoh selama 15 tahun pula pernah mencuba nasib menerusi Bintang RTM pada tahun sama, namun terkandas di peringkat suku akhir.
Kini, semakin meniti jalur populariti, kembar itu sedang hangat dengan single kedua berjudul Benar Cinta yang menjadi runut bunyi drama Syurga Nur untuk tayangan Ramadan lalu.
Mengakui bertuah kerana dua kali percubaan mereka menerusi single baharu dijadikan runut bunyi drama popular, Aisha dan Hanim pada mulanya tidak meletakkan harapan yang tinggi dengan penerimaan peminat.
Namun, ternyata dengan cara itu ia sedikit sebanyak membantu melonjakkan nama mereka sebagai pelantun irama lagu di sebalik drama tersebut.
“Sewaktu merakamkan kedua-dua lagu ini, kami memang meletakkan sasaran untuk mengusulkan lagu tersebut kepada penerbit drama bagi dijadikan runut bunyi. Namun, tidak sangka selepas lagu itu digunakan untuk drama Tabir Zulaikha, ia terus mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan runut bunyi bagi drama lain.
“Kami anggap ini sebagai rezeki dan kesempatan terbaik. Jika tidak, mungkin nama kami tidak akan dikenali pada hari ini. Kami percaya dengan cara menjadi runut bunyi drama, ia mampu menaikkan nama lagu dan penyanyi itu sendiri,” tutur Aisha ceria sambil menambah bahawa selain lagu Melayu, mereka juga fasih menyanyikan pelbagai lagu bahasa lain seperti Tamil, Filipina, India, Latin dan Thailand.
Mempunyai raut wajah dan bentuk tubuh yang seiras membuatkan Aisha dan Hanim sukar dibezakan. Namun, bagi mereka yang sudah lama mengenali kembar itu, ia tidak menimbulkan masalah untuk membezakan kedua-duanya.
“Pada awal kemunculan, perkara ini memang memberi sedikit masalah buat kami. Manakan tidak, disebabkan nama komersial Aisha Hanim yang kami guna pakai, ia menyebabkan orang menganggap kami merupakan penyanyi solo.
“Sengaja kami memilih nama sebenar sebagai nama pentas memandangkan usia lewat sebegini sudah tidak sesuai sekiranya menggunakan nama-nama pelik.
“Dalam klip video lagu-lagu kami juga, kebanyakan peminat menganggap muka penyanyi Aisha Hanim diberi kesan khas seperti biasan cermin atau teknik photoshop sebelum mereka mengetahui kami adalah pasangan kembar,” cerita Hanim sambil ketawa besar.
0 Comment to "Aisha Hanim Usia lewat bukan penghalang"
Post a Comment