AARON AZIZ berharap Malaysia akan terus makmur selepas ulang tahun ke-58 yang disambut hari ini.
SAMBUTAN Hari Kemerdekaan Malaysia ke-58 semestinya membawa erti yang cukup signifikan kepada segenap masyarakat tempatan tanpa mengira bangsa, warna kulit dan pegangan agama.
Hal yang sama turut dirasai oleh pelakon popular kelahiran Singapura, Aaron Aziz yang telah bergelar penduduk tetap (PR) Malaysia sejak Jun 2012.
Akui Aaron, sejak bertukar status warganegara, banyak yang telah berubah dalam kehidupannya. Malah, semangat patriotisme terhadap Malaysia semakin menebal walaupun tidak dapat dinafikan bahawa rasa rindu terhadap negara kelahirannya iaitu Singapura tidak pernah pudar.
Kosmo! sengaja mengajak hero Ombak Rindu yang kini menetap di ibu negara bersama isteri tersayang, Diyana Halik, 34, serta tiga orang anak yang sedang membesar iaitu Danish Anaqi, 10, Dwi Ariana, 8, dan Dahlia Arissa, 4, tentang kemerdekaan.
Artis Meletop!: Aaron, setelah beberapa tahun bergelar rakyat Malaysia, boleh ceritakan tentang perbezaan sambutan kemerdekaan di negara kelahiran anda (Singapura) dan di Malaysia?
AARON AZIZ: Sejujurnya, tidak banyak perbezaan. Baik Malaysia atau Singapura, sama-sama dekat dengan diri saya. Apa yang penting adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat dalam memajukan serta menyumbangkan sesuatu yang berfaedah kepada bangsa, agama dan negara.
Secara peribadi, apakah erti kemerdekaan kepada diri anda sebagai seorang anak seni?
Bagi saya, kemerdekaan adalah apabila suara, hati, akal fikiran serta perasaan rakyat pelbagai bangsa dan agama bersatu. Di Malaysia terdapat pelbagai jenis kaum dan itu yang membuatkan ia sebuah negara yang sangat unik di mata dunia. Setiap individu di negara ini perlu bersyukur kerana negara kita masih lagi aman dan bebas daripada campur tangan orang luar.
Bagaimana anda melihat kemerdekaan dan semangat patriotisme yang tinggi menyumbang kepada pembangunan industri seni negara?
Sebagai seorang anak seni, semangat patriotisme adalah sangat penting. Pada pendapat saya, berkecimpung dalam industri seni membuatkan saya lebih berhati-hati dari segi percakapan dan tingkah laku kerana sedar kehidupan saya menjadi perhatian peminat. Sebagai seorang yang dikenali, saya rasa bertanggungjawab untuk menunjukkan dan menerapkan nilai-nilai positif dalam kalangan peminat terutama berkaitan hal yang melibatkan semangat patriotisme. Hal ini kerana saya yakin bahawa apa yang dilakukan seseorang anak seni itu mudah menjadi ikutan masyarakat.
Bercakap soal semangat patriotisme, apakah sumbangan atau pengorbanan yang paling besar pernah anda lakukan untuk negara?
Sejujurnya, perjalanan saya sebagai seorang manusia masih lagi panjang. Masih banyak lagi impian dan harapan saya dalam industri yang belum tercapai. Cuma, saya rasa berbangga dan gembira apabila orang lain melihat saya sebagai seorang pelakon yang bersih dan bebas daripada sebarang gosip liar. Dengan itu, saya merasakan telah menyumbang sesuatu yang baik dalam kehidupan orang lain.
Dalam keadaan ekonomi dan politik negara yang semakin meruncing, apakah harapan anda sebagai seorang bapa dalam memastikan kelangsungan masa depan anak-anak di Malaysia?
Saya akui, dunia semakin mencabar. Ia sekali gus menjadi satu cabaran yang begitu besar bagi generasi masa kini dalam mendepani perkara yang mereka tidak sendiri faham dan jangka pada masa hadapan. Saya selalu ingatkan anak-anak supaya berhati-hati dalam soal pergaulan. Saya percaya apabila mereka sudah besar, mereka yang akan membuat keputusan sendiri dalam kehidupan. Tiada apa yang saya harapkan melainkan mereka (anak) membesar dengan baik dan menghargai keamanan serta kedamaian negara yang telah dikecapi selama 58 tahun.
Bagaimana anda sendiri sebagai individu yang dikenali ramai dan juga seorang yang berstatus bapa menerapkan semangat cintakan negara kepada anak-anak anda?
Saya percaya setiap perkara baik yang ingin dicapai perlu bermula dengan diri sendiri. Sebagai bapa, saya selalu menitikberatkan soal hormat-menghormati dengan isteri dan anak-anak. Saya terapkan kepada bahawa mereka perlu hormat diri sendiri dahulu barulah orang lain akan melahirkan rasa hormat pada mereka semula.
Apakah harapan anda untuk pembangunan dan kemajuan Malaysia pada masa akan datang?
Harapan saya Malaysia akan terus maju pada masa hadapan. Walaupun Malaysia bukanlah negara kelahiran saya, banyak yang telah dipelajari dan di sinilah rezeki saya sebagai seorang pelakon mula bercambah. Jadi, saya berharap pemimpin dan rakyat bersama-sama berganding bahu dalam memastikan Malaysia terus berkembang sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 yang hanya berbaki beberapa tahun lagi.
Bercakap soal kerjaya, apa yang terkini daripada anda?
Bulan ini saya mula menjalani penggambaran drama berjudul Tuan Anas Mikhail. Insya-Allah ia bakal ditayangkan di Astro. Bulan November nanti, saya memulakan penggambaran drama Tentang Hati 2. Selain itu, dari segi pengarahan, sekarang saya sedang sibuk menjalankan proses suntingan untuk filem kedua arahan saya, Sayu Yang Syukur.
0 Comment to "Erti merdeka Aaron Aziz"
Post a Comment