Friday, 28 August 2015

Elizabeth Tan Pelik Masih Jadi Sasaran Gosip


Elizabeth Tan muncul dengan filem pertamanya yang berjudul Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.

Penyanyi Elizabeth Tan berasa pelik apabila namanya sering menjadi sasaran gosip dan kontroversi sejak akhir-akhir ini.

Elizabeth atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei, 22, bagaimanapun berkata, dia enggan memikirkan perkara itu kerana yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya seboleh-bolehnya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan gosip tetapi ia terjadi juga malah banyak pula cerita kurang enak yang keluar.

"Mula-mula takut dengan situasi itu tetapi saya buat tidak tahu sahaja kerana tidak melakukan sebarang kesalahan," katanya kepada mStar Online.



Elizabeth Tan mula pupular dengan lagu Knock Knock.

Elizabeth ditemui pada tayangan perdana filem Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium di Cathay e@Curve di sini, Khamis.

Selain Elizabeth, filem berkenaan turut dibintangi oleh Ucop Wilcha, Nasir Bilal Khan, Namron dan Hitler Azmi.


Ia bakal menemui penonton pada 3 September depan.

Dalam pada itu, Elizabeth berkata, dia lega apabila gosip mengatakan dia menjadi punca keretakan hubungan penyanyi Adira dan bekas tunangnya selesai.

Dia juga terharu apabila Adira sendiri tampil membersihkan namanya daripada terus menjadi sasaran.

"Dia menelefon saya dan menjelaskan situasi sebenar dan saya hargai dengan niatnya untuk membersihkan nama saya.

"Saya belum berkesempatan bertemu dengannya tetapi saya harap kami dapat berbuat demikian pada masa hadapan," ujarnya.

Tambah Elizabeth, biarpun ada lelaki cuba mendekatinya tetapi dia belum bersedia untuk bercinta.

"Saya masih muda dan karier adalah keutamaan saya buat masa ini," katanya.



Barisan pelakon filem dan mereka yang terlibat dalam filem Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.
Sementara itu, bercakap mengenai peranannya dalam Ucop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium, Elizabeth menjelaskan dia teruja apabila mendapat tawaran tersebut kerana memang minat berlakon sejak kecil.

Bagaimanapun kata Elizabeth, dia menyedari menjadi seorang pelakon bukan mudah selain memerlukan persediaan untuk menghayati watak diberikan.

"Saya terima tawaran ini kerana say minat berlakon dan peluang diberikan pihak produksi membuatkan saya tidak berfikir panjang.

"Biarpun berlakon itu tidak mudah sebenarnya tetapi saya seronok dikelilingi oleh individu berpengalaman termasuk Mamat Khalid dan Usop Wilcha yang banyak membantu sepanjang penggambaran berlangsung," ujarnya.

Jelasnya lagi, pada masa hadapan dia berharap dapat diberi peluang berlakon dalam filem aksi yang menjadi minatnya.

"Kalau boleh hendak berlakon dalam filem aksi tetapi bukan sekarang kerana saya perlu buat persediaan terlebih dahulu seperti memasuki kelas lakonan.

"Sekarang saya fokus kepada karier nyanyian sahaja," katanya yang bakal ke United Kingdom untuk mengadakan persembahan bersempena pembukaan Hotel YTL di sana.

- Elizabeth Tan Pelik Masih Jadi Sasaran Gosip

SHARING GOOD

0 Comment to "Elizabeth Tan Pelik Masih Jadi Sasaran Gosip"

Post a Comment