SIAPA sangka idea Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 Malaysia akan dijadikan salah satu filem fiksyen yang bertajuk Kapsul.
Kapsul merupakan sebuah penerbitan filem cereka genrekan fiksyen yang diterbitkan pihak Two Tones Sdn Bhd, diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Tun M.
Idea filem yang akan ditayangkan bermula 17 September depan ini adalah hasil interpretasi penulis selaku pengarah tentang bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul tersebut mengenai amanat Tun M menjelang tahun 2020.
Filem ini merupakan satu idea bercita-cita besar dan cubaan berani gabungan di antara penulis serta pengarah, Allahyarham Martias Mohd Ali dan penerbit, Amru Osman mengangkat detik-detik sejarah perjuangan orang Melayu membangunkan negara merentasi zaman.
Kemudian dipersembahkan ke layar perak dalam bentuk yang agak kontemporari berbeza dengan filem-filem berasaskan sejarah yang lain.
Menurut Amru selaku penerbit Two Tones berkata, memandangkan sambutan dingin penonton terhadap pasaran filem sejarah di negara ini serta rekod kutipan jualan tiket yang kurang memberangsangkan untuk filem sebegini, Kapsul cuba memberikan kelainan dalam persembahannya.
“Ia diisi dengan suntikan elemen-elemen moden menerusi teknologi imej janaan komputer (CGI) serta plot cerita yang jarang dilihat dalam penerbitan filem mahupun drama di negara ini,” katanya kepada Zass.
Filem ini mengisahkan sebuah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Tun M telah dicuri dan membawa Zohri (Faizal Hussein) kembali ke zaman silam. Zohri kini terperangkap di tengah pergolakan bangsa Melayu untuk mencapai kemerdekaan serta membawa bangsa Melayu keluar dari kancah kemiskinan.
Zohri melihat dan merasa sendiri akan erti sebuah perjuangan bangsanya yang tidak pernah dia bayangkan selama ini. Dia melihat, merasai dan kini dia mulai memahami betapa peritnya liku-liku rentetan sejarah negara dan bangsa.
Kembara Zohri berterusan dari satu era ke era seterusnya dan tiada siapa yang mampu membawa pulang ke zamannya kecuali dirinya sendiri.
Justeru itu, Amru memberitahu, filem tersebut mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri dengan kemampuannya mengangkat mesej-mesej berat tetapi dipersembahkan mengikut trend terkini.
“Ia bagi menarik lebih ramai generasi muda menghayati sejarah perjuangan serta survival bangsa melalui filem fiksyen,” katanya.
Dialog sebenar Tun M
Buat pertama kali juga, filem Kapsul yang merupakan filem sulung terbitan Two Tones dan mengaitkan ilham Tun M telah menampilkan secara khas tokoh negara tersebut di dalam filem itu.
Menurut Amru, penampilan Tun M dalam Kapsul memang tidak dijangkakan mereka kerana sememangnya tidak memberi harapan tinggi untuk Tun terlibat sama berikutan jadual beliau yang diketahui amat padat.
“Ia seperti anugerah kepada kami, kerana memang tidak menyangka pihak Tun M boleh menerima untuk berlakon dalam filem tersebut.
“Sememangnya pada awal kami menghantar surat untuk menjemput Tun berlakon dalam filem ini telah ditolak oleh Yayasan Perdana.
“Namun oleh kerana itu adalah impian arwah Martias pada awal pembikinan, maka pihak kami berusaha lagi menghantar skrip yang lengkap kepada Yayasan Perdana, dan akhirnya kami berjaya membuat penggambaran bersama Tun,” katanya.
Istimewanya juga kata Amru, oleh kerana Tun adalah pemilik idea dan mengetahui kejadian sebenar dalam babak yang ingin diambil ketika itu, maka Tun lakukannya secara semula jadi berdasarkan apa yang dilalui olehnya.
“Masa yang kami ada bersama Tun hanya selama empat jam, justeru, kami gunakan sebaiknya masa itu untuk lakukan babak filem yang diinginkan.
“Tun juga menggunakan dialognya sendiri ketika dalam penggambaran, kerana beliau sendiri merasai, lalui dan hadapi babak yang ingin dilakonkan.
“Yang pastinya apabila Tun sendiri yang mengucapkannya, hati saya sendiri tersentuh dengan ayat Tun itu,” katanya.
Sedia hadapi risiko
Amru sebagai penerbit ketika permulaan pembikinan filem ini memang mengakui yang penerbitan filem genre sejarah kemungkinan besar tidak akan laku berbanding menerbitkan filem lain.
“Kami tahu selama ini, kebanyakan filem yang berunsurkan sejarah memang kurang mendapat sambutan hangat daripada penonton. Kebanyakan pengarah sekarang hasilkan filem aksi dan seram kerana itu yang selalu disukai penonton.
“Tetapi kerana niat saya mahu mengimbau kembali sejarah negara dan ada isi dalam filem ini, maka saya teruskan juga dengan mempersembahkannya dengan cara berbeza dan saya sanggup hadapi risikonya.
“Alhamdulillah setakat ini, segala yang dirancang dipermudahkan ALLAH termasuk kehadiran Tun,” katanya.
Menceritakan pula mengenai kos pembikinan filem, Amru memberitahu pada awalnya kos mungkin mencecah sehingga RM4 juta.
“Tetapi oleh kerana kami ada CGI sendiri, maka kos itu dapat kami jimatkan yang hanya menggunakan RM2.3 juta,” katanya.
Amru turut berharap, yang penonton tidak mengaitkan pembikinan filem ini dengan apa-apa spekulasi yang kini dilihat sedang hangat melanda politik Malaysia.
"Saya tidak ada niat langsung membuat filem ini ada kaitan dengan sebarang perkara, kerana niat saya hanya mengimbau kembali sejarah.
"Saya risau juga kerana tarikh tayangan filem ini ditayangkan ketika politik sedang hangat dengan bermacam perkara, padahal ia hanya filem sejarah fiksyen," katanya.
Kagum komitmen pelakon
Perjalanan filem tambah menarik apabila setiap pelakon memberikan komitmen yang tinggi dari mula sehingga akhir penggambaran.
“Saya perhatikan semua pelakon lebih mementingkan kualiti lakonan yang ada unsur sejarah dan tidak sangat berkira hal bayaran apabila masing-masing telah membaca skrip.
“Terutama Faizal Hussien dan Datuk Rahim Razali serta beberapa lagi pelakon amat komited dalam watak yang diberikan.
“Saya juga amat kagum dengan Faizal apabila, segala peralatan gajet yang digunakan dalam filem ini ketika babaknya adalah kepunyaan dirinya sendiri.
“Justeru, inisiatif itu memberi penjimatan kepada penerbit untuk menyediakan alatan itu untuk menjayakan lakonan ini,” katanya.
0 Comment to "Amanat Tun M"
Post a Comment